Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat pagi, selamat sejahtera
Terlebih dahulu saya mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada majoriti atau sebahagian besar Michaelian yang telah menyumbang terhadap persekitaran pembelajaran yang selesa dan terbaik. Berdasarkan maklum balas guru, serta pemerhatian guru bertugas sepanjang minggu lalu, proses pembelajaran telah berjalan lancar. Tingkah laku melencong juga didapati tidak lagi dominan dalam kalangan pelajar.
Marilah kita sokong segala kebaikan yang pelajar lakukan walaupun mungkin dalam skala yang kecil sahaja. Misalnya pada minggu lepas banyak program peningkatan kecemerlangan dan prestasi diadakan. Saya berasa kagum dengan kesabaran dan perhatian yang pelajar SMI tunjukkan terhadap majlis yang membabitkan penceramah pakar yang dijemput khas. Termasuk juga program jati diri Muslim pada hari Jumaat kelihatannya sangat berjaya.
Rasa kesegeraan (urgency) juga dapat dilihat dalam kalangan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan awam. Sebahagian besar pelajar tingkatan 3, 5 dan 6 Atas saya lihat asyik memegang buku, pen dan kalkulator. Mereka sudah tiada masa melayan gosip yang berlegar di kawasan kantin atau facebook.
Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada semua warga SMI, teristimewa Michaelian yang hebat-hebat belaka. Teruskan tradisi kecemerlangan SMI. Buktikan kepada diri sendiri, orang lain dan dunia luar, SMI sentiasa boleh diharap dan boleh dipercayai.
Akhir kata, saya mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat menyambut Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan puasa yang bakal menjengah seminggu lagi. Sibukkan diri dengan amal kebaikan dan kebajikan. Mudah-mudahan Allah memberkati kita, Insya-Allah.
Sekian. Wabillahi taufiq wal hidayah.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat belajar...
No comments:
Post a Comment