SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, February 27, 2011

"HANTU KAK LIMAH" DI ASRAMA SEKOLAH (THE STORY OF SCHOOL HOSTEL)

Ketika penulis blog (PB) bertugas di SM Teknik Ipoh (Persiaran Brash), budak-budak asrama mendakwa kononnya terlihat macam-macam makhluk misteri yang menyeramkan. Kebetulan di belakang blok asrama mereka ialah kawasan jirat Cina yang cukup luas, bersebelahan Padang Polo hingga ke Tambun Inn. Perkara yang sama juga tersebar dalam kalangan budak Izzuddin Shah dan Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR).

Ada individu yang bersungguh-sungguh mengatakan bahawa ketiga-tiga buah sekolah yang disebutkan ialah bekas zon operasi tentera Jepun menyeksa tahanan, dan ada juga yang mengatakan bahawa ketiga-tiga sekolah menjadi laluan jin yang tinggal di kawasan gunung-ganang berhampiran. Agak sukar untuk mengesahkan dakwaan demikian, kecuali daripada mulut orang kasyaf (pandang tembus). Namun, sebagai orang yang beriman, kewujudan jin dan iblis syaitan sebagai bahagian alam ghaib wajib dipercayai.

Sumber dari sebuah asrama puteri yang lain mengatakan seorang penghuni yang turut terkena histeria selepas ternampak seekor makhluk hitam bersaiz besar dan hodoh memandang ke arahnya. Di sebuah blok sekolah lain pula, pada waktu malam macam-macam bunyi yang menegakkan bulu roma akan didengari. PB sendiri pernah berurusan di aras 3 sebuah sekolah pada suatu malam apabila tiba-tiba ternampak suasana yang cukup riuh dan terang-benderang di satu sudut aras bumi, walhal kawasan sekeliling sebenarnya belukar!

Seorang rakan yang tidak begitu mempercayai gangguan makhluk halus akhirnya terpaksa mengangkat bendera putih. Setelah tiga bulan mengalami pelbagai peristiwa aneh dan menakutkan, rakan itu pindah ke rumah sewa yang lain. Walaupun jemaah surau dipanggil membaca Yasin, sebaik mereka balik, gangguan seperti bunyi air, botol susu anak disembunyikan, anak kelu ketakutan dan macam-macam lagi muncul semula.

Gangguan sihir yang dihembus oleh pengamal ilmu hitam yang jahat juga biasa kita dengar. Dalam satu kes di sebuah sekolah di Hilir Perak, seorang remaja perempuan berusia 14 tahun tiba-tiba berhenti sekolah kerana bernikah dengan seorang tua berusia 70-an yang yang layak dipanggil datuk sahaja. Sebagai ikhtiar, kita digalakkan menjadikan 3-Qul (surah al-Ikhlas, al-Falaq, an-Nas) amalan pendinding daripada hembusan dan simpulan jin atau manusia yang bermaksud jahat.

II


Beralih kepada cerita "Hantu Kak Limah". Sebenarnya PB tidaklah suka menonton filem di skrin televisyen yang sudah pasti mengambil masa yang panjang. Namun, atas ajakan "rakan", PB sempat juga menonton naskhah Hasan Mutalib, "Hantu Kak Limah Balik ke Rumah" menerusi saluran berbayar Astro First.


Filem lakonan Awie Wings, Umi Nazira, Johan Raja Lawak dan Zami itu masuk dalam kategori komedi ringan. Lokasi yang berkisar di kawasan gerai Pak Jabit, bapa Cik Nin (bekas tunangan Husin), rumah Kak Limah, rumah Husin dan balai raya tidak menjemukan kerana olahan kata bual (skrip) yang kelakar. Penonton pasti sukar melupakan dialek (loghat) Kuala Kangsar yang digunakan seperti:

1   Masuk le Kak Limah, nanti dikokak nyamuk tu karang, demam topioka nanti...

2   Ci cerita, ci cerita

3   Nampak benor nipunye


(maaflah kalau tersalah catat)


Elemen masuk akal memang perkiraan terakhir sesebuah filem yang bersifat hiburan per se. Namun, Hasan Mutalib bijak menyelitkan mesej di sebalik kelucuan yang timbul daripada tingkah laku watak penduduk kampung yang menonjolkan kaum lelaki dewasa. Misalnya, kebanyakan bomoh ialah kaki temberang.

Bomoh "Indon" yang kononnya telah menewaskan makhluk salji di Eropah dan menghapuskan mumia dekat piramid kecundang sebaik sahaja terpegang kepala Kak Limah. Kemudian, bomoh Siam yang berjaya memunculkan hantu-hantu belaannya akhirnya dikeronyok oleh Kak Limah yang gagah itu. Mantera yang dibaca juga berbunyi "pelawok, pelawok, pelawok..." (pelawak dalam kalangan masyarakat pantai timur bererti penipu).

Kak Limah yang disangka hantu itu sebenarnya ialah ibu kepada Musalman, pekerja Rosyam Noor (Suhan Movies), yang terlepas daripada Hospital Bahagia, Tanjong Rambutan. Hantu sebenar ialah Cik Nin (yang hanya dapat dilihat oleh Husin dan bomoh Siam), serta Ayu (dilihat Husin). Tindakan berasaskan sangkaan ternyata meleset.

Pada PB, Hasan Mutalib berjaya membuktikan bahawa sebuah filem yang memenuhi fungsi hiburan santai tidak perlukan adegan sentuh-sentuh (walaupun kononnya suami isteri) atau dipenuhi watak kaya yang bersandar dalam kereta mewah, serta menuturkan bahasa rojak. Hanya cukup dengan orang-orang kampung yang menunggang motosikal kuasa tinggi (Husin), basikal (Usop "lembut"), motor (Abi Hurairah) dan sebuah ambulans. Janganlah pembikin filem membuat pelbagai alasan darurat (pengecualian hukum-hakam) atas alasan ikut kehendak skrip yang dipengaruhi nafsu serakah orang-orang yang ada penyakit dalam kalbunya...

No comments: