SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, February 12, 2011

IKTIBAR KEJATUHAN HOSNI MUBARAK (THE PEOPLE'S POWER)

Bantahan jutaan rakyat Mesir selama 18 hari tanpa henti akhirnya memaksa Presiden Hosni Mubarak yang telah bertakhta tiga dekad, serta menghimpun kekayaan berjumlah melebihi RM200 ribu juta (USD 70 bilion) melarikan diri. Swiss Bank pula mengumumkan pembekuan serta-merta segala aset mantan diktator itu. Apakah nasib Hosni akan sama dengan Shah Reza Pahlavi, maharaja Iran terakhir sebelum revolusi yang dicetuskan oleh Ayatollah Khomeini pada tahun 1978?

Rakyat Mesir sebenarnya terlalu tertekan dengan kongkongan yang mereka hadapi daripada sebuah rejim diktator yang tidak mengenal kasihan belas terhadap rakyatnya sendiri. Dalam masa yang sama, kemesraan yang dihulurkan oleh Hosni kepada kerajaan haram Yahudi dan pelindung utamanya, Uncle Sam, mengundang rasa malu masyarakat Mesir terhadap pejuang Palestin tulen dan simpatisan mereka di seluruh dunia. Bukankah Mesir tuan rumah kepada universiti tersohor dunia, iaitu al-Azhar?

Perkembangan terbaharu di Mesir sudah pasti mengubah percaturan politik di rantau Medditeranean yang jaraknya sangat hampir dengan benua Eropah yang merupakan bekas-bekas penjajah yang masih bermentaliti tuan itu. Penonjolan nama seperti Dr. Mohamad al-Baradei, mantan ketua agensi tenaga nuklear Pertubuhan Bangsa Bersatu dilihat sebagai usaha terdesak Barat untuk mengekalkan tangan-tangan mereka di bumi anbiyak Mesir. Mungkin Barat berasa selesa dengan pembawaan al-Baradei yang dianggap oleh mereka sebagai pendukung fahaman sekular.

Gamal Abdul Nasser, Anwar Sadat dan Hosni Mubarak sangat besar jasanya kepada Barat kerana telah berjaya mengekang kemaraan organisasi dakwah yang menggelar diri mereka sebagai Ikhwanul-Muslimin (Persaudaraan Islam). Pengasas Ikhwan, Hasan al-Banna telah ditembak bertubi-tubi hingga gugur syahid atas tipu muslihat perisikan Mesir. Pengganti beliau, Syed Qutb yang begitu sinonim dengan naskhah Ma'alim fi't-Tariq (Petunjuk Jalan, Milestone) dan Fi Zilal-'il-Qur'an (Di Bawah Naungan al-Qur'an) syahid di tali gantung setelah dibicarakan di mahkamah tentera. 

Barat tentu tidak rela kumpulan seperti Ikhwan yang mereka cop sebagai ekstremis, fundementalis, militan, pelampau dan pengganas mengubah landskap siasah dunia Arab yang selama ini menjadi tunggangan yang patuh kepada kehendak mereka. Barat yang heboh dengan isu hak asasi dan demokrasi hanya membisu apabila kemenangan FIS di Algeria dan Hamas di Palestin tidak dihormati. Akibatnya, boneka yang diangkat sebagai pemimpin menjadi musuh kepada rakyat.

Kini, kebangkitan rakyat dikhabarkan telah merebak ke Algeria, Yaman dan Sudan. Pemimpin yang memperoleh kuasa secara tidak sah tidak lagi boleh senang duduk. Sukar untuk meramalkan pemulihan keamanan di rantau yang sedang bergolak, kerana epilog sebuah revolusi tidak tamat begitu sahaja...

No comments: