SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, February 14, 2011

"KIAN KITA LUPA" SAJAK KOMSAS TINGKATAN 1 (HISTORY REBUKE THE PRESENT, SHAPE THE FUTURE)

Pengenalan


Puisi karya Zulfazlan Jumrah yang mengandungi empat rangkap menghiasi slot pertama daripada enam buah sajak pilihan dalam antologi Kasut Kelopak Jantung, iaitu pada muka surat 19. Secara amnya, tema sajak ialah tentang  sikap manusia yang mudah lupa terhadap nikmat kesenangan yang diperoleh hinggalah nikmat berkenaan lenyap. Murid yang mempelajari sajak berkenaan diharapkan menyedari tentang jasa generasi silam, serta sentiasa bersyukur ke Hadrat Ilahi.

Analisis rangkap demi rangkap


          Kian kita lupa
          pada usul jerih bangsa
          bila mewah harta di birai mata.


Kita makin lupa terhadap sejarah perjuangan bangsa apabila dibuai hidup mewah di hadapan mata. Kita lupa bahawa kesenangan yang dinikmati ialah atas air mata, pengorbanan dan susah payah generasi dahulu. 


            Kian kita lupa
            pada derita moyang dahulu kala
            bila asyik riak dan berbangga.


Kita makin melupakan derita dan sengsara nenek moyang kita pada zaman silam apabila keterlaluan mengkagumi diri sendiri dan bermegah-megah.


            Kian kita lupa
            pada azab dan seksa di sana
            bila Tuhan melimpahkan kurnia.


Kita juga makin melupakan azab seksa pada hari pembalasan (akhirat) kelak. Kita terlupa untuk bersyukur apabila Tuhan melimpahkan kurnia-Nya.

           Tetapi 
           kita hanya tak lupa
           bila terlewat masa
           untuk menyesali segala
           terlanjur laku dan bicara
           bahagia bertukar derita
           gembira menjadi duka.


Ironinya, kita (manusia) tidak pula pernah lupa untuk berasa sesal apabila terlambat untuk menyedari segala kesilapan (ketelanjuran) dari segi perbuatan dan kata-kata. Pada masa itu, bahagia yang dinikmati bertukar menjadi derita, manakala gembira bertukar menjadi duka. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna...

2 comments:

Anonymous said...

Cikgu, sajak kian kita lupa bernada sinis atau melankolik? Terima kasih!

cikgu azhar said...

Salam,

melankolik lebih kepada mendayu-dayu, manakala sinis lebih kepada sindiran. Jika dideklemasikan terpulang kepada pelontar (pembaca) puisi nada yang mana satu hendak dipilih.

sajak kian kita lupa mungkin lebih sesuai dengan nada sinis (dan kesal).