SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, February 10, 2011

RISALAH PERUBAHAN SEMPENA MAULIDUR RASUL (PERMANENT AND CHANGE)

Ipoh, Jumaat: 11 Februari 2011 / 8 Rabiul Awwal 1432

Hanya tinggal empat hari untuk tarikh sambutan ulang tahun keputeraan Baginda Junjungan Besar Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam. Persiapan sambutan diatur di segenap peringkat, sama ada antarabangsa, serantau, negara, negeri, daerah, bandar atau kariah tertentu. Pendek kata, memperingati kelahiran Nabi menjadi rutin tahunan kebanyakan umat Islam.

Acara sambutan diisi dengan pelbagai program berdasarkan kefahaman dan akses masyarakat sesuatu tempat terhadap ilmu dan sumber sirah baginda. Sesetengah kelompok lebih cenderung membacakan riwayat hidup Nabi menerusi pelbagai cara seperti ceramah, kuliah, mahupun berzanji. Kaedah pengisahan sirah menerusi berzanji diasaskan pada kurun keempat oleh Ja'afar Barzanji (di Asia Barat) yang mendapati umat Islam ketika itu mulai leka daripada mengingati sirah baginda.

Acara sambutan yang sedemikian rupa memang dialu-alukan. Sekurang-kurangnya umat Islam mengimbas kembali sejarah perjuangan baginda yang penuh onak dan ranjau demi risalah tawhid yang hendak disampaikan kepada sekalian insan. Kitab al-Quran sebagai mukjizat yang dibawa oleh baginda dengan khabar gembira dan juga ancaman, menjadi asas aqidah, syariat dan akhlak umat hingga akhir zaman.

Baginda telah menunjukkan jalan perubahan yang mengangkat martabat umat sebagai umat terbaik (khaira ummah) dengan ciri beriman kepada Allah dan Rasul, menyeru ke arah kebaikan dan mencegah keburukan. Umat juga ditarbiyyah (dididik) supaya menjadi umat pertengahan / sederhana (ummatan wasatan), iaitu umat cemerlang yang sentiasa mementingkan kualiti iman, Islam dan ihsan sebagai rahmat kepada sekalian alam. Umat Islam menganjurkan kesejahteraan sejagat, negara, masyarakat, keluarga dan setiap individu.

Risalah tawhid yang dibawa oleh baginda telah mengeluarkan manusia daripada kegelapan jahiliyyah kepada cahaya iman. Amalan perhambaan sesama manusia bertukar kepada menghambakan diri kepada Maha Pencipta semata-mata (min 'ibadati'l- 'ibad ila 'ibadatillah). Kesetiaan para sahabat baginda yang dikenal dengan jolokan as-sabiqunal-awwalun (generasi awal Madinah) lebih berharga daripada seisi bumi, serta layak disifatkan sebagai bayangan masyarakat syurga.

Masyarakat Islam Madinah yang diikat dengan iman itu dengan segera berjaya membina kekuatan politik, ekonomi, sosial dan ilmu. Penindasan kaum Yahudi menerusi sistem riba dan khianat berjaya dipecahkan. Kaum Yahudi yang jahat dan licik itu akhirnya berkelana di serata pelosok dunia dengan menyimpan dendam kesumat yang tidak berkesudahan.

Walaupun empayar Uthmaniah Turki telah runtuh sepenuhnya pada tahun 1924, iaitu kira-kira 87 tahun yang lalu, kaum Yahudi yang bersekongkol dengan paksi kejahatan Barat tidak pernah berjaya melumpuhkan kekuatan iman umat. Bahkan, sejarah mencatatkan bahawa setiap seratus tahun (satu abad), bakal muncul proses tajdid (pembaharuan) yang akan membangkitkan semula kepimpinan Islam yang boleh diibaratkan sedang tidur.

Umat Islam tidak perlu menunggu tekad politik (political will) untuk meneruskan risalah perubahan yang dibawa oleh baginda. Apabila kemahuan umat ditunjukkan secara bersungguh-sungguh, kehendak umat akan dituruti justeru jumlah 1.3 bilion jiwa melambangkan kuasa beli yang cukup tinggi. Buktinya, sedikit demi  sedikit sistem kewangan dan perbankan konvensional akur dengan produk berasaskan prinsip muamalat.

Sesungguhnya umat lebih memerlukan kaum cendekiawan yang berupaya membentuk pasukan pemikir (think tank) daripada segelintir pemidato dan penceramah politik yang melalak di pentas-pentas. Risalah perubahan yang berteraskan dakwah mestilah diutamakan berbanding dengan niat tersembunyi yang seumpama api dalam sekam. Umat hendaklah dibimbing menelusuri sirah Junjungan yang menghargai kebijaksanaan, al-Hikmah dolatul-mukmin (kebijaksanaan itu ialah barang yang hilang daripada orang-orang beriman).

Wallahu a'lam...

(sedutan dan ulasan mimbar Jumaat di sebuah masjid di Ipoh)

No comments: