Friday, April 22, 2011
LAUNGAN AZAN BERSINAMBUNGAN DI SEGENAP PENJURU ALAM (THE CALL FOR SUCCESS)
Perbezaan zon masa yang berpunca daripada bentuk bumi yang bulat (sfera) menjadikan penggiliran siang dan malam antara lokasi geografi tidak seragam. Sebagai contoh, waktu di Jakarta lewat sejam daripada waktu Kuala Lumpur. Maka, waktu seakan-akan diputar ke belakang dari Kuala Lumpur, dan sebaliknya dari Jakarta.
Katakan waktu berlepas dari KLIA ialah pukul 12 tengah hari dan akan tiba di Jakarta pukul 1 tengah hari. Secara kiraan konservatif, tempoh penerbangan hanyalah sejam, tetapi sebenarnya dua jam. Dari Jakarta pula pukul 3 petang, tetapi hanya tiba di KLIA pukul 6 petang. Macam 3 jam, tetapi sebenarnya masih 2 jam!
Bagi umat Islam yang wajib mengerjakan solat fardu lima waktu sehari semalam (Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak), maklumat tentang masuknya waktu solat sangatlah penting macam menjaga nyawa sendiri. Solat pada awal waktu dikategorikan sebagai afdal, iaitu keutamaan. Sikap menunda-nunda solat hingga hampir luput waktu dianggap sebagai cuai, lalai dan merugikan.
Tanda bermulanya waktu solat fardu ialah laungan azan oleh muazzin, atau lebih dikenali sebagai bilal dalam kalangan masyarakat Melayu, mengambil sempena nama sahabat Rasulullah Salallahu alaihi wasallam, Bilal bin Rabah. Tugas Bilal bin Rabah ialah mengumandangkan azan di menara masjid tanpa pembesar suara. Bilal bin Rabah juga sangat diingati justeru keteguhan imannya ketika diseksa olah kaum musyrikin apabila ditindihkan batu ke atas tubuhnya, namun yang dilafazkan oleh Bilal ialah "Ahad, Ahad, Ahad ..", iaitu Allah Yang Esa.
Laungan atau seruan azan sebenarnya sentiasa bersambung-sambung dari satu lokasi ke satu lokasi akibat perbezaan zon masa. Lafaz azan wajib dilakukan dalam bahasa Arab sahaja, walaupun nada alunannya mungkin berbeza mengikut kebiasaan dan lenggok pertuturan di tempat-tempat yang berbeza. Tidak dibenarkan sebarang pindaan dari segi lafaz atau tertibnya.
Azan dimulai dengan mengagungkan Kebesaran Ilahi, Allahu Akbar Allahu Akbar. Penegasan Allah Maha Besar bererti hanya Allah yang layak dinisbahkan dengan segala sifat kebesaran, sedangkan segala makhluk ciptaan-Nya yang lain kecil-kecil belaka di Sisi Allah. Kesedaran ini menjadi asas aqidah dan tawhid yang menjadi teras kekuatan umat.
Seterusnya, muazzin akan melaungkan syahadah (persaksian) bahawa "aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah", Asyhadu a'l-La ilaha illaLlah (2 kali). Pengisytiharan ini juga menandakan orang yang beriman menafikan "tuhan palsu" yang disembah oleh orang-orang yang sesat, sebaliknya membulatkan pengabdian semata-mata kepada Ilahi. "Tuhan palsu" yang dimaksudkan bukan sahaja berbentuk berhala secara fizikal, bahkan apa-apa jua yang boleh memesongkan perhatian manusia daripada Allah, termasuk segala fahaman yang bercanggah dengan aqidah, harta benda dan wang ringgit yang melalaikan mereka daripada kehidupan yang diredai Allah.
Persaksian bahawa Muhammad itu pesuuruh Allah, asyhadu anna Muhammadar-rasulullah (2 kali) bermaksud bahawa orang yang mengaku Islam dan beriman hendaklah memberikan kepatuhan tanpa berbelah bahagi terhadap risalah tawhid yang dibawa oleh baginda Junjungan Nabi Muhammad Rasulullah Salallahu alaihi wasallam. Melalui baginda, umat Islam dibekalkan dengan dua perkara yang menjamin bahawa mereka tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Umat Islam sentiasa meletakkan Nabi Muhammad Rasulullah Salallahu alaihi wasallam sebagai penanda aras keunggulan peribadi, kepimpinan dan segala amalan hidup di dunia.
Setelah itu, muazzin akan mengajak ahli kariah (penduduk sesuatu kawasan kejiranan) bersolat, dengan keutamaan solat secara berjemaah (beramai-ramai) di masjid dan surau yang berdekatan. Lafaz hayya alas-solah (2 kali) menggambarkan kepentingan mengerjakan solat pada awal waktu. Solat secara berjemaah akan mengukuhkan perpaduan umat.
Langkah menuju kejayaan, hayya alal falah menjadi tujuan solat, khasnya yang dilaksanakan secara berjemaah. Orang yang menjaga solat dan yang khusyuk dalam solat termasuk dalam golongan yang diredai Allah (rujuk surah ar-Rahman). Reda Ilahi ialah puncak kejayaan dan kemenangan yang tertinggi.
Pernyataan kemenangan diikat kembali dengan kebesaran Ilahi, Allahu Akbar, Allahu Akbar. Azan diakhiri dengan sekali lagi menegaskan bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, La Ilaha IllaLlah. Sesungguhnya kalimah-kalimah yang dilafazkan dalam azan memiliki maksud seruan kecemerlangan yang didambakan oleh umat...
(sumber: kuliah as-Syeikh Mohd Azmi Abdul Hamid)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment