SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, April 17, 2011

PENGALAMAN SEBAGAI HAKIM PERTANDINGAN (THE ROLE OF CO-CURRICULAR OFFICER)

Selain menyandang pelbagai tanggungjawab kurikulum, koakademik, kokurikulum, pengurusan am dan komuniti sekolah, guru boleh diarahkan menganggotai pelbagai jawatankuasa peringkat zon, daerah, negeri dan kebangsaan. Sistem pendidikan berpusat yang diamalkan di Malaysia bererti wujudnya hierarki pentadbiran yang begitu rupa. Walaupun di peringkat sekolah autoriti tertinggi ialah pengetua, namun masih tertakluk kepada arahan pegawai pelajaran daerah, pengarah pelajaran negeri, dan ketua pengarah pelajaran.

Keputusan yang dimuktamadkan di peringkat zon, daerah, negeri dan kebangsaan turut membabitkan penglibatan pengetua yang menganggotai jawatankuasa induk, atau jawatankuasa ad-hoc yang dibentuk berdasarkan keperluan. Pengetua yang diberi tanggungjawab sebagai tuan rumah sesuatu acara secara automatik akan bertindak sebagai pengerusi de facto walaupun nama kedudukan mungkin berlainan. Pelantikan pegawai dari luar sekolah berkenaan akan dilakukan atas nama pegawai pelajaran daerah sebagai punca kuasa.

Setiap acara, khususnya kegiatan koakademik dan kokurikulum diketuai oleh seorang pengerusi teknik dalam kalangan guru yang menerima lantikan pegawai pelajaran daerah dan negeri. Pengerusi teknik akan hadir dalam mesyuarat pengelolaan bagi memastikan bahawa segala fasal dalam akta pendidikan, pekeliling dan peraturan yang sedang berkuat kuasa dipatuhi tanpa gagal. Selain itu, pengerusi teknik dianggap sebagai pakar rujuk tertinggi bagi sesuatu acara.

Sebahagian pegawai pertandingan yang dilantik terdiri daripada guru yang tidak memiliki sijil pengadilan, tetapi telah disahkan layak bertindak sebagai pegawai setelah menghadiri taklimat tentang peraturan pertandingan. Walaupun demikian, apabila berlaku pertikaian semasa pertandingan, rujukan sah ialah kepada pengerusi teknik. Selain itu, sebarang rekod baharu yang dicatatkan wajib mendapat pengesahan pengerusi teknik.

Pengalaman penulis blog (PB) ialah ketika menjadi hakim pertandingan akhir olah raga dan badminton negeri. Apabila terdapat peserta yang berpotensi memecahkan rekod kejohanan, pengerusi teknik dimaklumi dan hadir untuk membuat pengesahan. 

Namun, tugas paling mencabar ialah bagi acara pecut 100 meter. Semua peserta tiba di garisan penamat serentak dan sukar menetapkan pemenang sebelum dibuat semakan silang berkali-kali. Ketiadaan photo finish menyebabkan peserta juga tidak tahu pemenang sebenar, dan begitulah juga guru pengiring dan penonton hanya pasrah dengan keputusan hakim pertandingan.

Ketika mengadili pertandingan akhir perseorangan badminton negeri, bulu tangkis yang jatuh betul-betul di hadapan PB telah diisyaratkan keluar oleh penjaga garisan, seorang budak sekolah. PB dan pemain melihat bulu tangkis jatuh dalam kawasan permainan. Pengerusi teknik yang dirujuk mengatakan bahawa umpire mesti akur dengan keputusan penjaga garisan.

Pengalaman sebagai hakim pertandingan koakademik yang bersifat subjektif tidak kurang sukarnya. Dalam satu pertandingan sajak peringkat negeri, semua peserta (belia) telah bersedia dengan kostum dan persembahan yang cukup baik. PB bernasib baik justeru ketua hakim pertandingan ialah seorang pemuisi yang prolifik dan terkenal jugalah.

Ayat keramat bahawa keputusan hakim adalah muktamad banyak menyelamatkan hakim pertandingan daripada pertikaian. Ketika PB membawa pasukan pantun sekolah teknik bertanding dengan sebuah sekolah dari Ulu Kinta, perbezaan mata kemenangan hanya satu markah telah dirujuk kepada panel rayuan. Setelah bersidang hampir satu jam, keputusan yang memihak kepada sekolah teknik dikekalkan...

No comments: