Hasrat asal penubuhan sekolah-sekolah berasrama penuh (SBP) ialah untuk memberi peluang kepada murid bumiputera, khususnya yang datang dari segala ceruk rantau desa menikmati proses pembelajaran yang selesa. Di samping akses kepada pembelajaran yang lebih sistematik, kumpulan kanak-kanak Melayu yang berpotensi tinggi juga didedahkan dengan proses sosialisasi yang memberikan mereka pengalaman pembelajaran sebagai persediaan kepimpinan masa hadapan. Nyata bahawa hasrat berkenaan sudah banyak tercapai kerana kini sebilangan tokoh akademik, politik, perniagaan dan suka rela pernah menuntut di SBP premier seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Sekolah Tuanku Abdul Rahman (Star), Kolej Tunku Khursiah (TKC), Sekolah Tun Fatimah (STF), Sekolah Seri Puteri, Jalan Kolam Ayer, Sekolah Alam Shah, Sekolah Dato' Abdul Razak dan beberapa buah SBP lagi.
Apabila kohort awal murid SBP berkenaan telah berjaya menempa nama dalam bidang pilihan masing-masing, mereka menubuhkan pula persatuan bekas pelajar seperti Mcoba (MCKK) dan Staroba (Star). Mereka telah begitu banyak menyumbang kepada pembangunan alma mater mereka. Malah, kejayaan yang ditunjukkan menjadi inspirasi kepada murid SBP yang ada sekarang. Sesetengah SBP memperuntukkan kuota tempat untuk anak-anak bekas pelajar mereka supaya ada kesinambungan dari segi sejarah dan sumbangan.
Sistem SBP juga menunjukkan kecemerlangan pencapaian akademik yang luar biasa. Murid luar bandar berjaya dibimbing hingga muncul sebagai calon-calon terbaik peperiksaan awam. Rentetan itu, SBP menjadi rebutan ibu bapa seluruh negara apabila mereka melakukan pelbagai langkah dan strategi pembelajaran supaya anak-anak mereka berpeluang menjejakkan kaki ke SBP.
Bagi mengimbangi anak-anak golongan berada dengan anak-anak golongan sederhana dan kurang beruntung, dasar SBP yang asal bakal dikembalikan secara beransur-ansur. Misalnya, bagi pengambilan kohort murid SBP 2012, kira-kira 30 peratus tempat di SBP dikhususkan untuk murid kurang beruntung walaupun pencapaian UPSR mereka mungkin sekadar 3A, 2B atau 4A, 1B. Baki 70 peratus lagi dibuka kepada semua pemohon yang layak bagi memastikan bahawa SBP terus memiliki bakat-bakat terbaik untuk pencapaian akademik mereka.
Selain SBP, perebutan tempat yang sengit juga berlaku untuk kemasukan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dikelolakan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara). Bilangan tempat yang ditawarkan juga hanya sekitar 7,000 orang murid juga. Memandangkan lebih 34,000 orang calon UPSR memperoleh semua A, dengan andaian konservatif calon bumiputera sebanyak 20,000 orang, maka tempat di SBP dan MRSM masih tidak mencukupi.
SBP dan MRSM juga telah membuka peluang kepada murid bukan bumiputera untuk membuat permohonan. Kira-kira 5 - 10 peratus tempat disediakan. Kelonggaran dasar pengambilan SBP dan MRSM ialah sebagai tanda muhibah dan perpaduan yang hendak dibina menerusi pendidikan.
Tumpuan ibu bapa juga ialah kemasukan ke SBP aliran agama (SMKA), SMA negeri dan sekolah tahfiz pintar. Ibu bapa akur bahawa pendidikan ialah harta yang akan diwarisi oleh anak-anak mereka. Hukamak mengatakan bahawa ilmu menjaga harta, tetapi harta tidak menjaga ilmu!
Agensi berita kebangsaan, Bernama melaporkan bahawa sebanyak 2,214 tempat daripada 7,400 tempat yang ditawarkan bagi kemasukan tingkatan satu ke SBP disediakan bagi pelajar daripada keluarga miskin dan luar bandar. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, daripada jumlah itu (2,214 tempat), 360 orang daripadanya adalah pelajar yang mendapat 3A 2B manakala 660 orang yang mendapat 4A 1B. "Jika kita lihat, keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR)baru-baru ini, sebanyak 34,000 pelajar mendapat 8A sedangkan tempat yang ditawarkan untuk kemasukan ke tingkatan empat di SBP ialah 5,500 tempat saja.
"Bagi pelajar lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), kita menyediakan 7,400 tempat bagi kemasukan ke tingkatan satu di SBP dan yang mendapat 5A ialah 46,000 orang. Jadi, memang ada persaingan. Oleh sebab kita ada projek untuk membantu pelajar miskin, seperti yang telah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin), kita menyediakan 2,214 tempat untuk pelajar miskin. Kita memberikan peluang ini kerana mengambil kira cabaran mereka dari segi tekanan hidup, kekurangan dari segi kemudahan pembelajaran dan lain-lain," katanya selepas menyampaikan bantuan persekolahan kepada 57 orang pelajar daripada dua rumah kebajikan di sekitar Lembah Klang, di sini, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini mengumumkan Kementerian Pelajaran menggubal syarat baru kelayakan minimum kemasukan tingkatan satu ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) iaitu keputusan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) 3A 2B bagi murid daripada keluarga miskin dan 4A 1B bagi murid luar bandar, mulai tahun depan. Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, syarat baru itu bertujuan membantu dua kategori murid itu mendapat pembelajaran yang lebih sempurna dan memberi peluang kepada mereka untuk ke SBP. Antara kriteria pemilihan murid ke SBP sebelum ini ialah keputusan 5A dalam UPSR dan aktif dalam kegiatan kokurikulum. Puad berkata, mereka yang dikategorikan sebagai pelajar miskin itu adalah mereka yang mendapat bantuan daripada program e-kasih.
No comments:
Post a Comment