Salam sejahtera dan selamat pagi
Terima kasih pengacara majlis
Guru-guru dan murid yang dikasihi sekalian
Guru dan murid yang saya muliakan,
Sekolah ialah organisasi yang memupuk pembelajaran. Maka, segala sumber yang ada di sekolah, sama ada kepimpinan, pentadbiran, guru, murid, kemudahan fizikal, PIBG, persatuan bekas pelajar, sistem jaringan komunikasi (networking), dokumen visi, misi, piagam, peraturan dan perincian tanggungjawab warga sekolah akan digembleng demi menjaya aktiviti pembelajaran. Pembelajaran ialah tugas asas dan utama institusi persekolahan.
Sewaktu murid menikmati cuti bersama-sama keluarga, pihak sekolah dan guru telah bertungkus-lum bagi merancang persediaan pembelajaran tahun 2012 ini. Takwim aktiviti harian yang lengkap sepanjang tahun yang disiapkan itu bakal menjadi panduan untuk pelaksanaan aktiviti yang sebenar. Mohon kerjasama murid supaya sekolah kita dapat menjayakan semua aktiviti yang telah dirancang.
Disiplin ialah anak kunci kejayaan. Dalam perspektif yang luas, disiplin ialah akur dan patuh terhadap keperluan yang menuju sesuatu maksud yang baik, benar dan berguna. Pendek kata, kejayaan dalam pembelajaran ialah disiplin yang tinggi sama ada dari segi adab, cara belajar, tingkah laku dan usaha.
Sekolah juga ibarat sebuah kenderaan. Semua komponen kenderaan mesti sentiasa berkeadaan baik supaya dapat bergerak dengan lancar. Pemandu kenderaan juga mesti cekap mengendalikan kenderaan dan tahu arah yang hendak dituju.
Semua warga sekolah tidak kira murid, guru, kakitangan, PIBG, segala kemudahan dan sumber ialah komponen kenderaan, manakala dokumen yang disahkan ialah pemandu kita. Semua komponen mesti akur dengan pergerakan kenderaan dan tidak boleh berbuat sesuatu yang menjejaskan pergerakan kenderaan. Kerjasama setiap warga sekolah sangat didambakan.
Sekian ucapan saya. Wabillahi taufiq walhidayah. Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment