SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, June 3, 2012

ALIMUDDIN ANGGOTA SURUHANJAYA KHAS PERKHIDMATAN AWAM (ANOTHER HIGH LEVEL TRANSFORMATION PANEL)

Secara mudah, transformasi bermaksud ubahan bentuk. Kanak-kanak yang sinonim dengan cereka animasi juga sudah biasa dengan karikatur transformer yang mengalami ubahan bentuk menerusi gabungan sekian banyak jentera untuk menjelma sebagai robot gergasi bagi menghadapi musuh yang juga bersaiz gergasi. Maka, transformasi terhadap perkhidmatan awam yang dicadangkan bererti ubahan bentuk keadaan sedia ada ke arah memperkasa jentera kerajaan, khususnya dari segi penyampaian awam yang lebih berkesan dan cekap.

Tan Sri Alimuddin bin Mohd Dom, mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) turut terpilih sebagai anggota suruhanjaya khas mengkaji transformasi perkhidmatan awam seramai 6 orang semuanya. Suruhanjaya berkenaan ditubuhkan bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik hala tuju perkhidmatan awam negara. Mereka diberi mandat untuk mengemukakan perakuan kepada kerajaan dalam tempoh 6 bulan.

Pertimbangan utama terhadap perakuan suruhanjaya khas itu bagaimanapun tertakluk kepada kemampuan kewangan kerajaan. Terma rujukan perakuan akan merangkumi sistem saraan (yang lebih berdaya saing), serta rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan oleh negara. Konsep pengambilan bakat-bakat terbaik, cabaran globalisasi dan kemajuan teknologi, serta isu kenaikan pangkat sudah tentu akan menjadi perhatian utama anggota suruhanjaya.

Pengalaman Tan Sri Alimuddin sebagai anggota lembaga naik pangkat jawatan utama sektor awam (Jusa) sebelum ini pasti sangat berguna sebagai input perakuan transformasi yang dikehendaki. KPPM ialah antara 6 orang penjawat awam tertinggi negara dengan status turus secara hakiki. Beliau juga berupaya melihat perspektif perkhidmatan keguruan yang membentuk kira-kira 40 peratus daripada jumlah kakitangan awam. 

Suara kaum guru akan terus diambil kira. Ketika berkhidmat sebagai KPPM, Tan Sri Alimuddin telah berjaya membawa banyak perubahan dan penambahbaikan dalam perkhidmatan keguruan. Laluan naik pangkat guru telah bertambah luas tanpa terikat dengan syarat memegang jawatan pentadbiran. Kelayakan ikhtisas keguruan juga semakin mendapat penghormatan dan pengiktirafan dari segi saraan dan faedah perkhidmatan yang lain.

Isu PTD masuk sekolah juga barangkali dapat diselesaikan dengan lebih baik. Jawatan PTD boleh diwujudkan di sekolah sebagai pegawai tadbir kewangan bagi menaik taraf kedudukan ketua pembantu tadbir yang disandang oleh lepasan SPM. PTD tidak perlu berebut jawatan pentadbiran dengan guru kerana mereka tidak memiliki kelayakan ikhtisas keguruan.

Jalan keluar lain ialah melantik guru yang berkelayakan memasuki sistem guna sama PTD supaya perasaan tidak puas hati tentang isu orang luar dalam kerjaya keguruan dapat diselesaikan. Guru-guru yang cenderung kepada pentadbiran kewangan, harta modal dan urusan perkhidmatan boleh dipelawa untuk memohon jawatan PTD di bawah sistem baharu itu. Maknanya, ada PTD yang berasal daripada kalangan guru sendiri dalam hal ehwal pentadbiran (timbalan pengetua) dan ada PTD muda (tanpa kelayakan ikhtisas keguruan) mengetuai urusan pentadbiran pejabat sekolah.

Kini, guru boleh berharap kepada Tan Sri Alimuddin untuk menyampaikan perjuangan kaum guru. Harapan kepada Ceupacs atau NUTP nampak sedikit lemah kerana perhatian mereka lebih menjurus kepada kumpulan sokongan, pelaksana dan bukan siswazah. Proses pensiswazahan guru dan program persarjanaan guru juga memerlukan pertimbangan terhadap skim perkhidmatan keguruan yang lebih menarik...

Maklumat Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam
Pengerusi:  Tun Zaki bin Azmi  (mantan ketua hakim negara)
Anggota:    Tan Sri Ismail bin Adam  (mantan ketua pengarah perkhidmatan awam)
             :    Tan Sri Alimuddin bin Mohd Dom
             :    Tan Sri Dr. Hadenan bin A. Jalil  (mantan ketua audit negara)
             :    Tan Sri Hussin bin Ismail  (mantan timbalan ketua polis negara)
          :    Mejar Jeneral (Bersara) Datuk Che Hasni bin Che Ahmad  (mantan panglima latihan tentera darat)
             :    Datuk Omar bin Othman  (presiden Ceupacs)

No comments: