SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Loading...

Monday, June 11, 2012

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH: PELAKSANAAN DAN CABARAN (THE POST-MODERN PERSPECTIVE ON EDUCATIONAL NEEDS)

Pengenalan

Dapatan penyelidikan Profesor Madya Dr. Faizah binti Abdul Majid, dari Fakulti Pendidikan UiTM yang diterbitkan dalam Journal of US-China Education Review, Vol.8, No.10, 2011. ISSN1548-6613 memberikan perspektif asas tentang pelaksanaan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) di Malaysia dan cabaran yang bakal dihadapi. Menurut beliau, PBS belum sampai ke tahap pelaksanaan penuh (full swing). Shanusi Ahmad (LPM) dalam kertas cadangan Ph.D beliau menegaskan bahawa PBS di Malaysia lebih berbentuk gabungan dengan sistem peperiksaan berpusat oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).

Dasar kenaikan automatik murid ke tingkatan empat dan persijilan terbuka mulai tahun 1992 telah membuka jalan kepada titik tolak pelaksanaan PBS menerusi ujian lisan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris oleh guru di sekolah masing-masing. Pengenalan kerja kursus dan folio kajian tempatan sejak sekolah rendah lagi mengukuhkan pelaksanaan PBS. Penambahbaikan ujian pencapaian sekolah rendah (UPSR) dan pemansuhan penilaian menengah rendah (PMR) mulai tahun 2014 juga bakal menyaksikan pelaksanaan PBS yang lebih menyeluruh.

Isu-isu Pelaksanaan PBS

Hamzah dan Sinnasamy (2009) mendapati bahawa pelaksanaan ujian lisan berasaskan sekolah (PLBS dan ULBS) tidak akur sepenuhnya dengan kehendak garis panduan LPM. Hal itu berpunca daripada tahap kesedaran inovasi dan perubahan yang masih belum mencukupi. Kepimpinan PBS yang diterajui oleh pengetua juga belum benar-benar mantap dari segi kefahaman konseptual PBS dan peranan ikhtisas yang perlu dipatuhi.

Kecairan maklumat akibat kaedah latihan teragih yang bermula daripada kementerian, jabatan pelajaran negeri, pejabat pelajaran daerah, sekolah, jawatankuasa kurikulum dan panitia mata pelajaran mengakibatkan proses pendedahan kepada guru pelaksana PBS menjadi suntuk. Jurulatih utama (JU) berkursus selama seminggu, tetapi apabila sampai kepada panitia, taklimat hanya mengambil masa dua jam. Guru juga berhadapan dengan peruntukan aktiviti bilik darjah untuk menyelesaikan segala keperluan kurikulum dan kemahiran insaniah yang lain. 

Pemantauan oleh pakar dan pihak berkuasa pelajaran juga berhadapan dengan kekangan kewangan dan tatacara pergerakan guru keluar daripada kawasan sekolah masing-masing. JU dan pentaksir kawasan tidak boleh bertugas di luar kawasan sekolah melebihi 30 peratus daripada waktu rasmi di sekolah. Maka, tanggungjawab pemantauan diserahkan pula kepada pengetua, penolong kanan (pentadbiran dan kurikulum) dan guru-guru kanan mata pelajaran yang sudah sedia sibuk dengan pelbagai jenis borang dan data. 

Bagi memastikan bahawa pihak sekolah akur dengan konsep PBS, pengetua dikehendaki menyediakan sistem data dan fail yang berfungsi sebagai bukti hitam putih hasil kerja setiap orang murid. Bilangan fail mungkin mencecah angka ribu dan puluhan unit almari untuk penyimpanan fail berkenaan. Sistem kod dan nombor fail mesti seragam supaya carian fail dapat dilakukan secara serta-merta jika diminta oleh pegawai atasan yang memantau pelaksanaan PBS secara mengejut.

Pengurusan PBS secara atas talian

Kemajuan teknologi maya dan jaringan ialah jawapan kepada isu timbunan fail dan pembaziran kos cetakan dan penjilidan folio murid, kecuali untuk projek pendidikan seni visual atau kerja pertukangan kemahiran hidup. Eza Shafinaz binti Mohamed Zaharin (2011) menerusi kertas projek sarjana sains maklumat, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mencadangkan sistem e-folio. Eza menyenaraikan manfaat e-folio yang dapat menangani masalah kehilangan bukti dokumentasi bertulis, ciplak, ruang penyimpanan, kos cetak dan jilid, melengkapkan pelbagai format borang, kecuaian manusia dan sebaran maklumat PBS kepada semua pihak yang berkepentingan.

Penggunaan e-folio juga memberi kesempatan kepada murid untuk mempersembahkan hasil kerja mereka secara multimedia. Folio kerja kursus tidak lagi terhad kepada bentuk kertas berjilid, sebaliknya boleh dinaik taraf kepada format audio visual, animasi dan grafik yang canggih. Nilai tambah pelaksanaan PBS menerusi sistem e-folio sudah tentu lebih ketara.

Capaian e-folio boleh dilakukan di mana-mana lokasi yang mempunyai akses internet, serta boleh dilindungi menerusi kata laluan, fail read-only dan had akses untuk orang awam. Capaian penuh hanya dibenarkan untuk pemilik folio, pentaksir dan pihak berkuasa pendidikan tertinggi. Pihak lain hanya boleh membaca bahagian abstrak atau sinopsis, serta perlu mendapat keizinan pemilik folio menerusi e-mel yang tertera jika hendak memperoleh versi folio yang lengkap.

Sistem e-folio boleh diletakkan di bawah sistem analisis peperiksaan sekolah (SAPS) sedia ada dan skor markah terus ke laman sesawang LPM atau MPM. Untuk keselamatan data, segala fail hendaklah juga disimpan secara talian tempatan (off-line, LAN) dan peranti mudah alih lain seperti cakera padat (CD), pemacu jari (thumb-drive) dan lain-lain. Selain itu, murid dan pentaksir sekolah juga digalakkan mewujudkan sistem e-mel sebagai salinan fail tambahan untuk pelan B kepada risiko ancaman serangan penggodam dan virus terhadap sistem induk e-folio.

Cabaran Pelaksanaan PBS

PBS ialah sebahagian proses perubahan konsep pentaksiran yang terlaksana di seluruh dunia. Finland misalnya telah melaksanakan PBS tanpa peperiksaan secara berpusat dalam tempoh 9 tahun persekolahan  awal kanak-kanak. Australia, Hong Kong dan New Zealand juga boleh dianggap berjaya melaksanakan PBS secara sistematik. Kepesatan perubahan persekitaran pendidikan, dinamika masyarakat dan industri bererti PBS ialah suatu keperluan yang kritikal dan segera.

Proses perubahan sentiasa menggugat status quo dan kelompok zon selesa. Pembaharuan akan mengakibatkan kehilangan kedudukan, kebiasaan dan kepakaran lama. Usaha menarik perhatian ke arah melemahkan rintangan terhadap perubahan dan mengukuhkan daya pacu perubahan perlu dikendalikan secara paling bijaksana, cermat dan hormat.

Kepercayaan terhadap pelaksanaan PBS sebagai ganti sistem pentaksiran berpusat LPM dan MPM sepenuhnya perlu dipupuk dalam kalangan murid, guru dan masyarakat. Murid akan lebih bertanggungjawab terhadap proses pembelajaran kendiri, guru dengan tanggungjawab ikhtisas dan masyarakat menerima PBS sebagai kayu ukur pencapaian pembelajaran murid. Pihak LPM dan MPM pula akan bertindak sebagai pemantau, penyelaras dan penjaga kesahan, serta kebolehpercayaan PBS kepada semua pihak yang berkepentingan.

Langkah Memperkasa PBS

Guru akan sentiasa menjadi tulang belakang dan tumpuan pelaksanaan PBS. Maka, keperluan latihan dalam perkhidmatan (Ladap, in-service training atau Inset) harus berorientasi praktikum (hands-on). Ladap berbentuk ceramah, taklimat dan kursus aras komunikasi dua hala terhad perlu kepada proses ubah suai. Gaya pengajaran guru dengan gaya pembelajaran murid menerusi pelaksanaan PBS mestilah sentiasa akur dan sejajar.

Memandangkan begitu banyak data dan fail yang hendak diuruskan, pelantikan pembantu guru hendaklah dibuat dengan segera. Pembantu guru hanya dikhususkan untuk meningkatkan kecekapan kemasukan data pembelajaran, bukan untuk membantu kerja-kerja pejabat seperti urusan stok dan percetakan. Spesifikasi dan terma tugas pembantu guru hendaklah secara jelas menegaskan hal berkenaan, terutama sistem pengurusan data dan fail PBS.

Kesimpulan dan Penutup

PBS ialah bentuk pendidikan masa hadapan yang juga berupa ucapan selamat tinggal kepada orientasi peperiksaan per se yang telah sekian lama mengundang kritikan bertalu-talu. Anjakan paradigma yang berlaku ini bertepatan dengan pesanan Saidina Umar al-Khatab yang menegaskan supaya reka bentuk pendidikan anak-anak wajib berdasarkan keperluan masa hadapan mereka. Pelaksanaan PBS acuan Malaysia bermakna sistem pendidikan dan pentaksiran sentiasa melangkah ke hadapan, manakala segala kebijaksanaan dan pengalaman zaman-berzaman akan tetap dimanfaatkan dalam persekitaran terkini.

Cabaran pelaksanaan PBS memang akan sentiasa muncul dari masa ke masa. Kekurangan dan ralat yang masih wujud tidak wajar menjadi alasan untuk pelaksanaan PBS kembali lemah. Murid, guru dan masyarakat berhak untuk memberikan sumbangan terbaik demi masa hadapan bangsa, negara dan umat...

4 comments:

Anonymous said...

PBS adalah satu sistem pembelajaran dan penilaian yang baik. tetapi di Malaysia kita belum sampai tahap tersebut sebab infrastruktur dan asas setiap sekolah belum dapat untuk laksanakan. kalau semua situasi sekolah kita seperti di negara yang telah melaksanakan PBS sudah pasti tiada kekangan dan cabaran seperti yang berlaku. misalnya bilangan pelajar dalam kelas, bilangan matapelajaran selain kemudahan sedia ada setiap sekolah selain latar belakang pendidikan keluarga seperti di Malaysia.

Anonymous said...

kalo ajar 11 kelas (mt= 2, sains=3, seni=3, & muzik=3) dengan murid 40 lebih setiap kelas...macamana nak menilai murid dgn adil?: terus terang, nama murid pun x ingat: itu lah yg berlaku pd saya tahun 2011...:

cikgu azhar said...

terima kasih atas maklum balas dan perkongsian pengalaman yang berterus terang. mudah-mudahan dapat membantu proses penambahbaikan sistem pendidikan negara...

shawki daud said...

pbs merupakan satu anjakan yang baik dalam sistem pendidikan di Malaysia. Namun, pelaksanaannya di Malaysia adalah agak merumitkan. Contohnya, perbandingan dari segi nisbah guru dan murid, kelengkapan teknologi, kesediaan para pentadbir sekolah untuk menerima perubahan dalam pelaksanaan pbs adalah cukup memberatkan bagi para guru. Tidak salah segala perubahan berlaku untuk kebaikan sistem pendidikan di negara ini, namun perlu diperhatikan adakah suasana yang ada adalah sempurna kondusif ataupun tidak.