SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Loading...

Thursday, June 28, 2012

TEKS PENGACARA CERAMAH: PERSEDIAAN DAN LATIHAN (INTRODUCING GUEST SPEAKERS)

Konsep skrip pengacara majlis

Sesebuah skrip atau teks ucapan, pengacaraan dan sebagainya merupakan alat kawalan yang sangat penting untuk kelancaran sesebuah acara dan mengelakkan sebarang kesilapan yang ketara. Setelah teks disiapkan, pengacara perlu menjalani latihan, terutama dari segi kejelasan sebutan dan intonasi suara. Tanpa latihan, pengacara mungkin sekali tersasul dalam sebutan perkataan-perkataan penting yang boleh menjejaskan mutu pengendalian majlis dan mungkin menyinggung perasaan tetamu dan hadirin.

Kisah benar tentang kesilapan pengacara baru-baru ini ialah sebutan "Yang Berbahagia" kedengaran seperti "Yang Berbahaya" mungkin atas sebab masalah teknikal alat pembesar suara. Tetamu utama yang dirujuk itu bukan calang-calang individu, tetapi sebagai lelaki budiman, beliau kelihatan tenang sahaja. Dalam satu majlis perhimpunan mingguan sekolah, pengacara tersasul menyebut "Yang Berusaha Tuan Pengetua" sebagai "Yang Berusia Tuan Pengetua". 

Contoh Skrip Pengacara Ladap


Assalamu alaikum w.w.
Salam sejahtera dan selamat pagi
Yang Berusaha, Pengetua SMK St. Michael, Ipoh, Puan Loh Wei Seng, Penolong-penolong Kanan, guru kanan dan seterusnya guru SMK St. Michael, Ipoh yang dikasihi sekalian.

Bersyukur kita ke Hadrat Ilahi, justeru dengan Inayah dan Kurnia-Nya dapat kita berkumpul bersama-sama dalam auditorium yang indah pada pagi yang hening ini. Marilah kita mengikhlaskan kehadiran kita dalam majlis ilmu pada pagi ini demi kecemerlangan pendidikan dan demi kebaikan sekalian murid dan pelajar kita. Tahniah kepada tuan puan yang sanggup berkorban untuk berada di sekolah pada hari Sabtu dan berjaya menangguhkan segala keinginan yang muncul di dalam minda ketika ini.

Bagi pihak majlis, saya mengalu-alukan kedatangan tuan penceramah dan pemudah cara program Ladap guru SMK St. Michael, Ipoh buat kesekian kalinya ini. Terima kasih tuan atas kesediaan memenuhi undangan pihak sekolah dan selamat berkenalan. Di hadapan tuan ialah lebih 140 orang guru yang sangat penyayang dan berpengalaman luas. Guru-guru SMI memang bersikap terbuka dan senantiasa mengalu-alukan sebarang idea pembaharuan atau inovasi dalam amalan pendidikan. Pendek kata, guru-guru di hadapan tuan pada pagi ini properubahan belaka, serta dijamin bukan pelindung idea diri sendiri yang tegar.


Tuan pengetua, dan guru-guru SMI yang dihormati,
Sebelum slot Ladap diserahkan kepada penceramah merangkap pemudah cara undangan, izinkan saya menyatakan serba sedikit latar belakang beliau. Tuan Haji Ismail bin Desa ialah seorang pendidik yang berjaya dan disegani. Beliau memperoleh ijazah asas dari Universiti Sains Malaysia, diploma psikologi kaunseling dari UKM dan seterusnya Sarjana Kaunseling juga dari UKM. Tuan Haji Ismail memiliki pengalaman yang panjang sebagai pegawai di Jabatan Pelajaran Negeri Perak sebelum bersara sebagai pengetua di SMK Raja Chulan, Ipoh. Kecintaan Tuan Haji Ismail dalam bidang pendidikan tidak pernah pudar, justeru sehingga hari ini beliau masih menabur bakti sebagai pegawai kanan di Institut Teknologi Perak.

Sebelum slot Ladap dimulakan, majlis memohon peserta lelaki dan wanita duduk berasingan mengikut jantina atas keperluan aktiviti yang bakal dikendalikan nanti. Silakan cikgu...

(usai asing). Terima kasih tuan puan. Maka, majlis dengan segala sukacitanya mempersilakan Tuan Haji Ismail bin Desa untuk mengendalikan sesi Ladap guru-guru SMK St. Michael, Ipoh dengan tema ”Guru Penyayang”.

Silakan tuan.

............................................

Teks berakhir ceramah

Terima kasih Tuan Haji Ismail bin Desa

Syabas cikgu-cikgu atas kesabaran dan perhatian yang diberikan sepanjang slot Ladap kali ini. Mudah-mudahan tuan puan beroleh manfaat yang melimpah ruah.

(Sebagai tanda kenangan, saya bagi pihak majlis mempersilakan Puan Loh Wei Seng, pengetua SMK St. Michael, Ipoh menyampaikan cenderamata kepada Tuan Haji Ismail bin Desa......
Terima kasih Puan Loh Wei Seng dan Tuan Haji Ismail)

Majlis diakhir dengan pantun dua kerat:

Guru penyayang guru cemerlang
Selesai Ladap mari kita pulang.

Sekian. Wabillahi taufiq wal hidayah.
Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

...

...

...

2 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum.

Saya minta izin copy skrip pengacara majlis.
Terima kasih..

cikgu azhar said...

Salam,

o k, silakan...