Friday, February 1, 2013
KILAS TANGKIS TERUS BERGAYA (SENIOR BADMINTON TEAM)
Bermula pada tahun 2006, Kelab Staf SMK St. Michael, Ipoh (SMI) telah bersetuju dengan penubuhan kelab Kilas Tangkis, iaitu kumpulan guru SMI yang bergiat dalam permainan badminton. Kini setelah tujuh tahun berlalu Kilas Tangkis masih terus aktif walaupun sebahagian anggota kelab telah menginjak kategori veteran. Guru SMI yang berpindah sekolah dalam daerah Kinta Utara masih setia dengan Kilas Tangkis.
Presiden Kilas Tangkis, Cikgu Ibrahim bin Ahmed berharap bahawa kelab berkenaan akan mengukuhkan persahabatan antara anggota, di samping melebarkan kegiatan terhadap bidang lain. Setahun dua ini, sebahagian anggota Kilas Tangkis mula berjinak-jinak dengan dunia joran. Masing-masing mula membeli peralatan dan aksesori memancing yang diperlukan.
Kilas Tangkis masih dalam proses persediaan untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab badminton yang sanggup dan sudi melayan permainan penuh taktikal. Kilas Tangkis pernah memberi saingan sengit kepada juara ILP peringkat kebangsaan, iaitu ILP Jelapang. Kilas Tangkis juga pernah membenam cabaran Kelab Brashian, Jabatan Agama Islam Perak dan Bainun.
berdiri: Haji Zulkefli, Ustaz Jeff JPN Perak, Azizul PDRM
duduk dari kiri: Zaini, Chin, Ustaz Shakir Ibrahim, Shahruzzaman
Sesi permainan dua kali seminggu Kilas Tangkis bertempat di gelanggang Kompleks Badminton dan Skuasy, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). Kilas Tangkis juga pernah bermain di Akademi Badminton Perak, berhampiran Mydin, Meru Raya. Gelanggang MBI menjadi pilihan kerana reka bentuk gelanggang yang bertaraf pertandingan.
Setelah tujuh tahun, anggota Kilas Tangkis semakin menunjukkan peningkatan dari segi permainan, stamina dan taktikal. Pukulan kilas, pancung dan permainan di jaring juga semakin menjadi apabila masing-masing mula menggunakan raket bertaraf pertandingan antarabangsa. Begitu juga dengan pakaian dan kasut yang dikenakan sejajar dengan keperluan permainan dan juga kesihatan.
Usia pemain antara awal 30-an hingga lewat 40-an tidak menghalang kehebatan Kilas Tangkis beraksi di gelanggang. Malah, sebahagian anggota Kilas Tangkis ialah jagoan sukan ketika di bangku sekolah dan masih aktif menyertai pertandingan peringkat senior. Maka, dari segi asas pergerakan dan disiplin permainan bukan masalah besar.
singgah di Restoran Sabar Menanti
Tujuan Kilas Tangkis yang seterusnya ialah untuk penjagaan kesihatan dengan kegiatan mengeluarkan peluh. Tambahan pula, dengan melakukan helah serta pukulan kencang, pemain dapat melepaskan segala tekanan yang mungkin disedari mahupun tidak disedari. Secara tidak langsung, permainan badminton seolah-olah suatu terapi yang amat mujarab.
Setelah membakar kalori dan kolestrol semasa di gelanggang, anggota Kilas Tangkis singgah menjamu selera di restoran berdekatan. Pesanan makanan biasanya dengan peringatan kurang manis, kurang masin dan tiada ajinomoto. Mesyuarat secara tidak rasmi tentang kegiatan kelab dan kewangan biasanya berlaku di situ...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment