Tuesday, February 12, 2013
SISI GELAP KOREA SELATAN (THE UNTOLD STORY OF GANGNAM STYLE)
Di sebalik kehebatan jenama Korea Selatan di arena antarabangsa, sama ada kepimpinan: Ban Kin Moon sebagai Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu; ekonomi: automatif, telekomunikasi, elektronik; hiburan: k-pop, Psy, Winter Sonata dan sukan, sebahagian rakyat negara berkenaan masih dibebani tekanan hidup yang melampau. Agensi berita AFP (Kosmo!, 12.2.13:24) melaporkan bahawa jutaan rakyat Korea Selatan terjerat dengan hutang, terutama pinjaman perumahan yang mencecah 937.5 trilion won (RM2.6 trilion), atau 70 peratus keluaran negara kasar tahun 2011. Lee Sang-Kuk yang bekerja sebagai penghantar daging dan pemandu menganggap pinjaman perumahan umpama barah, malah dia sendiri pernah cuba membunuh diri.
Bilangan penduduk pertengahan umur yang diberhentikan kerja juga dilaporkan semakin meningkat. Golongan itu sukar memperoleh pinjaman bank untuk memulakan perniagaan kerana penarafan kredit yang rendah atau masuk dalam senarai hitam. Maka, fenomena kemiskinan di sebuah negara kuasa ekonomi baharu dunia itu akan menyerlahkan wajah hodoh kapitalisme yang boleh boleh menggugat kestabilan politik, ekonomi dan sosial Korea Selatan dalam jangka panjang.
Bakal presiden, Park Geun-Hye mencadangkan dana 18 trilion won (RM510 bilion) dana awam untuk meringankan beban hutang golongan berpendapatan rendah. Jumlah berkenaan masih dianggap sangat sedikit untuk kebajikan rakyat. Spekulasi keuntungan hartanah mendorong peningkatan harga yang luar biasa sehingga mengakibatkan golongan berpendapatan sederhana dan kecil tersepit. Kira-kira 10 peratus rakyat Korea Selatan masih menanggung bahana krisis mata wang Asia Tenggara sejak tahun 1997.
Persaingan sengit memasuki kolej dan universiti menyebabkan ibu bapa terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan yang juga dibiayai menerusi hutang persendirian. Keadaan bertambah buruk apabila kos sara hidup yang melambung mengakibatkan hutang untuk tujuan perbelanjaan harian juga didapati meningkat. Akhirnya semua pendapatan isi rumah terpaksa diperuntukkan untuk membayar hutang yang dikenakan kadar faedah yang cukup tinggi.
...
...
...
...
...
...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment