SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, February 14, 2013

MODEL PERPADUAN KAUM DI MALAYSIA (PARADIGM SHIFT ON PLURAL SOCIETY DISCOURSE)

Kerukunan hidup bermasyarakat dan bernegara hanya tercapai dengan perpaduan yang tuntas. Tidak kira masyarakat majmuk atau suku kaum tunggal, tiada sebarang jaminan automatik bahawa perpaduan akan berlaku. Kumpulan manusia terbina atas kepentingan bersama, sejarah, pertalian darah, cita rasa dan sebagainya.

Dalam konteks negara kita, latar belakang sejarah penjajahan yang panjang, iaitu hampir 500 tahun telah menyaksikan pembentukan masyarakat majmuk. Terkini, masyarakat bumiputera (Melayu, etnik asal Sabah dan Sarawak) dianggarkan mewakili 60 peratus penduduk Malaysia, Cina 24 peratus dan India 4 peratus. Berdasarkan satu unjuran kadar kelahiran dan kematian, nisbah penduduk bumiputera akan mencapai tahap 80 peratus pada tahun 2050.

Perspektif tentang pembentukan masyarakat majmuk di Malaysia boleh dibaca di sini. Dari segi teori, perbincangan lanjut berkenaan masyarakat majmuk terdapat di laman ini. Ridhuan Tee, ahli akademik dan pendakwah kontroversi keturunan Cina yang dilabel sebagai ultra Malay menulis hasil penyelidikan tentang perspektif perpaduan kaum di negara kita dalam jurnal UKM ini.

Institusi persekolahan dan pengajian tinggi ialah antara kesempatan terbaik untuk proses perpaduan kaum di Malaysia (baca tesis Umi Soleha binti Radzali (2011) di sini atau kajian lain di sini dan juga jurnal USM ini atau jurnal UTM). Nazri Muslim dan Jamsari Alias dari UKM berpendapat bahawa penerapan semangat cinta negara (patriotisme) menyumbang terhadap keutuhan perpaduan kaum di Malaysia (teks penuh di sini). Profesor Ulung Shamsul Amri Baharin (gred jawatan Turus, mengatasi Jusa) pula berpendapat sikap tolak ansur orang Melayu dan kaum-kaum lain juga yang begitu tinggi sebagai faktor perpaduan kaum begitu terpelihara (baca di sini).

Sentimen perkauman yang dimainkan secara melampau ibarat bom jangka yang akan memusnahkan ikatan perpaduan yang telah dibina sekian lama. Namun, kecenderungan untuk bergaul dan mempertahankan pelbagai ciri, kepentingan dan warisan kelompok sendiri ialah suatu proses biasa dalam sesebuah masyarakat asal sahaja tidak menjejaskan hak kelompok yang lain pula (baca syarahan perdana profesor hubungan etnik di portal ini). Akses pendidikan dan tadbir urus hubungan masyarakat berbilang-bilang kaum yang baik selama ini telah melumpuhkan cubaan provokasi perbalahan kaum seperti peristiwa hitam 13 Mei 1969.

Sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen yang masih menuju tahap kematangan politik, sejumlah 12 kali pilihan raya telah dilalui dengan jayanya. Pertikaman lidah antara ahli politik dan di peringkat akar umbi memang sentiasa berlaku, tetapi masih terkawal justeru tiada kejadian pertumpahan darah yang berlaku seperti di negara dunia ketiga di benua Afrika dan Asia Selatan. Pemimpin tertinggi parti politik yang bersaing sengit untuk pilihan raya ke-13 kelihatan masih boleh berbual mesra di lobi parlimen dan menikmati teh tarik bersama.

Kecurigaan kaum juga tidak kelihatan dalam urus niaga dan kegiatan kemasyarakatan. Orang bukan Melayu tidak kekok untuk mengunjungi restoran orang Melayu dan bazar Ramadan, manakala orang Melayu sudah biasa ke kedai orang Cina dan India. Orang Melayu juga tidak ragu-ragu untuk makan di restoran orang bukan Melayu yang beragama Islam kerana bagi mereka isu halal ialah pertimbangan utama.

Pemisahan kanak-kanak berdasarkan kaum berlaku di peringkat sekolah rendah kerana sistem pendidikan vernakular masih dibenarkan wujud. Sebagai langkah menjalin hubungan kaum, terdapat program yang dipanggil sebagai Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (Rimup). Murid dari sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil digabungkan dalam satu program bersama. Pelaksanaan kurikulum dan program luar bilik darjah yang lain juga sentiasa dalam radar pemantauan pihak berkuasa pendidikan.

Masyarakat bukan Melayu juga didapati semakin faham tentang kedudukan Islam dalam kalangan masyarakat Melayu. Orang Cina, India, Iban, Kadazan dan sebagainya sudah tidak kekok berurusan dengan sistem perbankan patuh syariah, malah tidak fobia dengan hukum Islam, termasuk hudud. Barangkali hanya segelintir generasi boomers, generasi X dan kumpulan ekstrem tertentu sahaja masih taksub dengan fahaman perkauman yang menebal.

Generasi muda hari ini nampak seperti terpinga-pinga jika dilontarkan konsep warganegara kelas dua yang pernah dijadikan senjata provokasi perkauman suatu ketika dahulu. Mereka bersedia menerima hakikat sejarah dan kontrak sosial sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan negara. Pendek kata, tahap puas hati dalam kalangan generasi muda tentang kehidupan bermasyarakat di Malaysia boleh disifatkan sebagai cukup tinggi.

Perpaduan ialah insurans atau jaminan kemajuan dan kemakmuran negara. Semua pihak, baik penduduk tempatan atau pelabur asing, berasa selamat untuk berurus niaga apabila ancaman perkauman tidak mendapat sambutan. Kegiatan pelancongan dan perjalanan juga menjadi pengalaman yang menarik apabila tiada prasangka tentang asal usul seseorang yang menjadi kerisauan mana-mana pihak.

Dari segi Islam, perpaduan ialah agenda utama umat yang diikat dengat tali Allah (ali-Imran:103). Catatan sirah juga membuktikan bahawa masyarakat Islam boleh hidup dengan aman, damai dan sentosa dengan masyarakat bukan Islam selagi sikap saling menghormati tetap dijaga. Sesungguhnya model perpaduan kaum di Malaysia ialah contoh unggul tentang keutuhan masyarakat yang memiliki kepelbagaian latar belakang...

No comments: