Akhir kata, segala kebaikan dan hikmah Ramadan akan terserlah dengan sendirinya sepanjang kita menyambut kedatangan Syawal dengan ciri ketaqwaan yang tinggi, kesyukuran dan kesederhanaan. Natijah sesuatu kebaikan ialah amalan yang istiqamah dan bersungguh-sungguh. Mudah-mudahan kita berjaya muncul sebagai lulusan Ramadan dengan pangkat cemerlang, iaitu beroleh rahmah, keampunan dan pembebasan daripada api neraka. Amin ...
Thursday, August 8, 2013
MUHASABAH RAMADAN DAN SYAWAL (DAILY INTROSPECTIVE)
Akhirnya Ramadan berlalu jua meninggalkan kita. Bersyukur kita ke Hadrat Ilahi justeru masih diberi kesempatan oleh-Nya buat meneruskan kehidupan di dunia yang fana ini. Mudah-mudahan panjang umur murah rezeki, kita bakal bertemu Ramadan yang seterusnya, insya-Allah. Amin.
Marilah kita melakukan penilaian kendiri atau muhasabah diri agar Ramadan yang baru berlalu sebagai Ramadan yang terbaik untuk dipersembahkan kepada-Nya. Semoga kita telah beroleh rahmah, keampunan dan pembebasan daripada api neraka, serta mencapai makam taqwa sebagaimana yang diharapkan. Hendaknya amalan sepanjang Ramadan yang berlalu dapat diteruskan sepanjang hayat kita.
Amalan yang istiqamah (kekal dan berterusan walaupun tidak banyak) menjadi bukti betapa seseorang itu benar-benar beriman (klik di sini). Jika pada bulan Ramadan kita banyak mengaji al-Qur'an, maka begitulah layaknya pada bulan-bulan yang lain. Jika kita banyak bersedekah (menderma atau infaq), maka demikianlah pada bulan-bulan seterusnya, justeru ganjaran berganda pada bulan puasa bukanlah matlamat terakhir amalan kita melainkan mengharapkan redha Ilahi jua.
Kesanggupan kita ke surau dan masjid untuk solat berjemaah sepanjang bulan puasa tidak seyogia terhenti dengan berlalunya Ramadan. Marilah kita terus memakmurkan rumah-rumah Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi golongan yang berjuang dalam saf tersusun bagaikan suatu bangunan yang kukuh (as-Saf, 61:4).
Madrasah Ramadan telah mendidik kita dengan segala ciri kelakuan terpuji (mahmudah) dan menjauhi segala ciri kelakuan tercela (mazmummah). Marilah kita menghiasi peribadi kita dengan menjaga sempadan yang ditunjukkan itu. Kita berusaha agar diri kita menjadi orang yang lebih baik dan soleh dari hari ke hari.
Setelah sebulan berpuasa wajib, kita digalakkan berpuasa enam hari sebelum berakhirnya Syawal (klik di sini). Kemudian, kita menanam tekad untuk melaksanakan puasa sunat yang digalakkan, iaitu pada setiap hari Isnin dan Khamis apabila mampu berbuat demikian. Sesungguhnya bekas yang paling buruk untuk diisi oleh anak Adam ialah perutnya (dilaporkan dalam al-hadith, klik di sini).
Antara pelajaran Ramadan ialah menghindari perbuatan mengumpat dan memburukkan orang lain tanpa kehadirannya. Bukan mudah untuk membuang kelakuan buruk yang telah berleluasa dalam masyarakat itu. Maka, andai Ramadan telah membutirkan penambahbaikan, marilah kita kukuhkan kelakuan terpuji yang menjadikan tutur kata kita bagaikan mutiara yang sangat berharga, bukan panah beracun yang membunuh jiwa dan raga.
Akhir kata, segala kebaikan dan hikmah Ramadan akan terserlah dengan sendirinya sepanjang kita menyambut kedatangan Syawal dengan ciri ketaqwaan yang tinggi, kesyukuran dan kesederhanaan. Natijah sesuatu kebaikan ialah amalan yang istiqamah dan bersungguh-sungguh. Mudah-mudahan kita berjaya muncul sebagai lulusan Ramadan dengan pangkat cemerlang, iaitu beroleh rahmah, keampunan dan pembebasan daripada api neraka. Amin ...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment