Wednesday, August 14, 2013
KAMPUS UPSI MACAM TAMAN TEMA (THE CHOICE OF COLOURS)
Kali pertama mengunjungi kampus Upsi Proton City, kampus tetap yang dianggarkan menelan belanja hampir RM1 bilion itu masih dalam pembinaan. Kini, kampus berkenaan sudah hampir siap sepenuhnya. Kolej kediaman sudah dihuni, masjid biru sudah siap dan sebahagian fakulti di kampus induk (bekas MPSI dan IPSI) berpindah ke kampus baharu secara beransur-ansur.
Kunjungan kedua berlaku secara tidak sengaja kerana bas ekspres Mata Air yang dinaiki menghantar pelajar Upsi sehingga ke kawasan kolej kediaman. Semua bangunan kolej kediaman, fakulti, pejabat pentadbiran, rumah pencawang bekalan elektrik dan lain-lain dicat dengan pelbagai warna. Keadaan seperti ini tidak terlihat di kampus universiti yang lain.
Barangkali pihak Upsi telah membuat penyelidikan tentang aura warna dan kesan positif yang menjurus kepada proses pembelajaran yang selesa. Mohon maaf sahajalah andai kata perkara berkenaan hanyalah satu lagi bentuk falasi (hujah palsu). Namun, pasti ada penjelasan yang khusus tentang konsep kampus berwarna-warni di Upsi.
Kalau diperhatikan, keputusan tentang kampus berwarna-warni itu suatu cetusan idea yang agak pelik. Biasanya, bagi premis pendidikan, bangunan tadika sahaja yang bersifat demikian. Bangunan sekolah juga lebih banyak dicat dengan warna cerah dan tidaklah begitu ranggi macam kampus Upsi.
Maaflah kerana gambar dewan di atas kelihatan senget justeru diambil daripada bas ekspres yang sedang bergerak. Warna cat jingga pekat yang dipilih kelihatan menyerlahkan unsur feminin. Mungkin ada keterangan yang boleh dibaca di kawasan kafeteria aras bawah untuk meleraikan kemusykilan warga kampus Upsi dan juga pengunjung luar.
Konsep warna-warni juga lazimnya diterapkan oleh pengendali taman tema seperti di Tanah Tinggi Genting dan Sunway Lagoon, The Lost World of Tambun. Tujuannya bagi menarik perhatian kanak-kanak supaya asyik bermain di sana, sambil 'mengheret' kaum ibu bapa juga sebagai penjaga keselamatan dan tukang bayar token permainan mereka. Maka, apakah justifikasi dan kewajaran tindakan Upsi yang lebih kurang sama?
Masjid Upsi mungkin suatu pengecualian. Konsep warna cat pilihan ialah warna biru lembut yang mendamaikan. Kontras dengan persekitaran yang menghijau, kewujudan masjid Upsi begitu menyerlah. Alangkah bertuahnya warga Upsi dengan kemudahan urusan solat berjemaah dan majlis ilmu di sebuah masjid yang tersergam indah bagaikan masjid biru di Istanbul, Turki.
Universiti Pendidikan Sultan Idris ialah kesinambungan legasi perjuangan guru-guru Melayu sejak era Sultan Idris Training College, SITC yang diasaskan oleh penjajah Inggeris dahulu. Allahyarham Profesor Tan Sri Dr. Awang Had Salleh (bekas Timbalan Naib Canselor UM, Naib Canselor UKM, Pengarah ITM dan Naib Canselor UUM), serta Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba (bekas Timbalan Perdana Menteri) ialah antara tokoh kelahiran Upsi. Persatuan Suluh Budiman yang begitu lantang bersuara tentang perjuangan bahasa Melayu dan pencapaian pendidikan orang Melayu juga berpangkalan di Upsi.
Warna-warni perjuangan Upsi yang bermula pada era penjajahan Inggeris nyata lebih panjang daripada semua universiti awam di Malaysia, termasuk Universiti Malaya yang selalu merujuk Kolej Perubatan Raffles di Singapura sebagai tarikh bermulanya penubuhan institut pengajian tinggi tertua negara itu. Begitu juga UPM yang berasal daripada sebuah kolej pertanian dan UTM daripada sebuah sekolah latihan teknikal. UiTM pula berasal daripada Dewan Latihan Rida (Pihak Berkuasa Institut Pembangunan Desa, Rural Instute of Development Authority).
Walaupun terlewat memperoleh status sebagai universiti penuh, sejarah Upsi sebenarnya sudah cukup panjang. Upsi memang lebih ke hadapan dalam 'mencetak' tokoh cendekiawan dan pemimpin yang tersohor yang membenihkan semangat perjuangan kemerdekaan dan kenegaraan yang unggul. Kesimpulan tipikal itu mungkin serba sedikit menjawab kemusykilan tentang kampus Upsi baharu yang beraneka warna ...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment