Saturday, September 14, 2013
PECAL DAN TAPAI PEKAN SABTU CHENDERONG BALAI (ORIGINAL RECIPE, UNIQUE TASTE)
Di mana-mana pasar malam dan pasar tani terdapat jualan makanan tradisional seperti lempeng pisang, cakoi (untuk resepi, klik di sini), nasi dagang, nasi kerabu, pulut kuning, putu halba dan lemang. Peminat pecal dan tapai juga tidak akan kecewa untuk menikmati makanan kegemaran mereka sekali-sekala. Malah, sebagaimana ulam-ulaman, hampir semua jenis makanan tradisional juga telah menjadi menu penting di hotel-hotel mewah.
Kendatipun demikian, sentuhan chef ternama belum tentu berjaya mengembalikan kenangan tentang keenakan makanan tradisional yang dihasilkan oleh air tangan orang kampung walaupun sepertinya campak-campak sahaja. Maka, tidak hairanlah bahawa jualan makanan tradisional di pasar pagi, pasar malam dan pasar tani masih dicari-cari.
Gambar yang dipaparkan dirakamkan di pekan Sabtu Chenderong Balai. Penjual pecai berkenaan menamakan pecai jualannya sebagai 'pecal Kak Umi' sebagai kesinambungan jenama pecal Kak Ton yang telah lama dikenali. Sejumlah lima buah gerai khusus menjual pecal asli Jawa (untuk resepi klik di sini) di pasar Sabtu Chenderong Balai.
Pada asasnya, hidangan pecal ialah gabungan pucuk paku, tauge dan sayur lain, serta kuah kacang yang ditumbuk halus. Namun, sesetengah penjual memberikan pilihan kepada pembeli untuk menambah jantung pisang, kacang bendi, sengkuang, tempe dan sebagainya. Maka, sepertimana yong taufu, harga pecal yang ditambah 'aksesori' tadi akan menjadi lebh mahal.
Di pekan Sabtu Chenderong Balai, pecal yang dijual hanya mengandungi ramuan bahan asas, di samping pilihan untuk tambahan bihun. Namun, pecal asas asli jawa Chenderong Balai memang berbeza dan unik. Sedikit pedas tetapi sedap sekali.
Tapai juga mempunyai banyak versi mengikut lokasi (klik di sini). Sekali lagi tapai pasar Sabtu Chenderong Balai cukup istimewa. Ubi kuning yang diadun yang bersama ragi semalaman menghasilkan aroma makanan yang lazat. Proses penapaian yang ringkas dan singkat tidaklah sampai menjadikan tapai ubi kayu dan pulut ke tahap pemasaman yang ada unsur alkohol.
Pecal dan tapai dijual oleh mak cik dan dibeli pula oleh golongan pembeli pascaremaja. Budak-budak muda hanya memandang jualan pecal dan tapai secara sebelah mata sahaja. Nampaknya, promosi yang agresif perlu dilakukan agar makanan tradisonal Nusantara itu tidak hanya tinggal sejarah suatu hari nanti.
Memang diakui bahawa pecal dan tapai wajar diambil sekali-sekala sahaja justeru kandungan gula dan kolestrol yang tidak mempunyai sukatan tertentu. Sesetengah penjual juga tidak menggunakan sarung tangan plastik dalam penyediaan pecal. Barangkali penyedia pecal tradisional boleh dikumpul di kolej komuniti untuk kursus singkat tentang pemakanan yang sihat dan hak pengguna ...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment