SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, December 28, 2013

ISU BARANG NAIK: PROFESOR MUHAYA KENA 'BELASAH' (THE INTELLECTUAL BIAS AND CLAIM)

Kini giliran pakar pembedahan mata lasik, Profesor Dr. Muhaya binti Mohamad, 54, berhadapan dengan kritikan bertubi-tubi ekoran ulasan beliau tentang isu kenaikan harga barang. Sebagai cendekiawan selebriti yang kerap muncul dalam program wacana ilmu dan motivasi, beliau turut melontarkan pandangan tentang persediaan orang ramai dalam mengharungi kos sara hidup yang tinggi. Profesor Muhaya menggesa supaya tindak balas terhadap kenaikan harga barang bersifat positif supaya pada akhirnya beroleh hasil yang positif. 

Profesor Muhaya juga menyarankan supaya masyarakat menghentikan perbelanjaan yang tidak produktif seperti merokok. Kaum wanita pula digesa supaya menggunakan bakat yang ada bagi menjana pendapatan tambahan. Pendek kata, sebagaimana ungkapan lazim beliau 'reset minda', Profesor Muhaya mahu semua orang berfikir secara positif terhadap masalah kenaikan harga barang (klik di sini).

Jika dalam hampir semua program motivasi beliau sebelum ini diberi sambutan dan keakuran, keadaannya sudah berbeza untuk isu kenaikan harga barang. Hampir semua maklum balas yang diterima menolak saranan Profesor Muhaya. Barangkali pengalaman yang pernah menimpa penceramah motivasi yang lain seperti Dr. Fadzilah Kamsah, Dr. Hasan Ali, Dr. Mashitah Ibrahim, Dr. Muhammad Jantan dan Ustazah Siti Bahiyah Mahmud kini menjadi giliran Profesor Muhaya.  (klik di sini)

Profesor Muhaya boleh dianggap sebagai  penceramah motivasi nombor satu negara dengan mengatasi populariti Profesor Madya Izuddin Haji Ali (UiTM dengan ungkapan 'renung-renungkan dan selamat beramal') dan Dr. Tengku Asmadi (Motivasi Alihan Pelajar, MAP). Namun, ulasan beliau tentang kenaikan harga barang yang nyata tidak disenangi ramai mungkin mengakibatkan kedudukan berkenaan tidak dapat dipertahankan. Label pemikiran simplistik dan lebih ekstrem, iaitu 'kangkung' (klik di sini) menggambarkan kemarahan orang ramai terhadap lontaran idea Profesor Muhaya.

Budi setahun segunung intan. Sudah bertahun-tahun Profesor Muhaya memberi dorongan dan inspirasi kepada sekian banyak orang. Mungkin jauh lebih ramai pengikut beliau yang menyatakan sokongan secara pasif dan senyap.

Penceramah motivasi lazimnya menyampaikan idea tentang kesempurnaan dan utopia, lalu dilihat sebagai idealis. Mereka sentiasa bercakap tentang kebahagiaan, kecemerlangan dan kesejahteraan. Mereka berharap supaya khalayak atau peserta program motivasi berfikir tentang impian yang indah belaka.

Maka, saranan Profesor Muhaya sejajar dengan laras tipikal ayat-ayat motivasi. Beliau sendiri telah menjelaskan bahawa sudah banyak pihak yang memberi ulasan tentang punca, bentuk dan kesan kenaikan harga barang, maka biarlah beliau fokus terhadap motivasi positif yang perlu disemai oleh orang ramai di dalam sanubari masing-masing. Sebagai seorang ilmuan yang bijaksana, sudah pasti beliau tidak meluahkan segala perasaan yang bermain-main dalam fikiran secara melulu dan terbuka.

Bukan mudah untuk Dr. Muhaya mencapai tahap akademik dan kesarjanaan pembedahan mata sehingga berjaya menyalakan semula harapan beribu-ribu orang pesakit untuk menyembuhkan penglihatan yang terganggu. Malah, sebagai profesor, kepakaran beliau bakal disambung oleh ribuan pelajar beliau untuk manfaat sejumlah pesakit yang besar. Mana-mana peradaban dan tamadun sekalipun memberikan penghormatan yang tertinggi kepada golongan cendekiawan, guru dan ulama.

Dr. Muhaya hanya mengaplikasi kepakaran rawatan beliau apabila bercakap tentang harapan, impian dan motivasi. Maka, pelaku ekonomi yang bermasalah dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan tidak ubah seperti pesakit yang diselubungi pelbagai bentuk perasaan. Matlamat seorang doktor ialah penyembuhan atau paling kurang meringankan penderitaan pesakit.

Jarak sosial akibat perbezaan latar belakang dan pengalaman hidup sering menimbulkan konflik cara berfikir dan cara bertindak. Penceramah motivasi dan pendeta (sarjana) mempunyai buah fikiran yang canggih dan hebat, tetapi mungkin tidak pernah menyelami kesempitan hidup yang ditanggung oleh orang-orang yang tiada akses kepada punca pendapatan yang moncah. Penulis blog pernah membaca sebuah cerpen tentang betapa seorang guru sekolah terpaksa bergantung harap kepada murid yang sering dipandang rendah olehnya ketika peristiwa dia sesat di dalam sebuah hutan ...

No comments: