SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, December 26, 2013

UCAPAN PENDAFTARAN MURID BAHARU (WELCOME TO THE COUNTLESS AND ENDLESS LEARNING EXPERIENCES)

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam sejahtera dan selamat pagi

Terima kasih pengacara majlis

Tuan puan dan murid yang dikasihi,

Bersyukur kita ke Hadrat Ilahi justeru dengan Inayah dan Kurnia-Nya dapat berkumpul bersama dalam majlis yang sangat bermakna dan bersejarah pada pagi ini. Marilah kita menetapkan niat yang tulus ikhlas supaya kehadiran kita dalam majlis ini dinilai sebagai ibadah kepada-Nya jua, insya-Allah. Tahniah kepada semua murid yang mendaftar di sekolah ini kerana kalian telah memilih jalan kecemerlangan dalam dunia pendidikan yang membuka jendela minda kita dengan seluas-luasnya.

Musim cuti persekolahan hujung tahun 2013 yang lalu telah meninggalkan kita dengan kenangan yang cukup indah bersama keluarga, sahabat dan tetangga. Saya berharap bahawa tempoh cuti yang panjang itu telah memberi sepenuh manfaat kepada murid sekalian. Walaupun murid tidak bergelumang dengan aktiviti bilik darjah dalam jangka masa berkenaan, proses pembelajaran tidak rasmi masih terus berlaku menerusi kegiatan kekeluargaan, kemasyarakatan dan mungkin juga berjalan ke negeri orang.

Pada pagi ini murid kembali ke sekolah dengan perasaan yang bercampur-campur antara kerinduan musim cuti dengan kemaraan menuju mercu jaya dalam dunia pembelajaran di sekolah. Pihak sekolah sangat maklum tentang perasaan murid dan telah bersedia untuk menolong kalian meneruskan pengalaman yang menarik sepanjang masa meniti usia awal remaja yang begitu indah. Jadi, berilah kepercayaan kepada pihak sekolah dan guru untuk menolong murid mencapai impian kehidupan yang penuh warna warni selama masih bergelar warga sekolah dan menyarung pakaian seragam sekolah yang sangat dipandang mulia.

Guru dan murid yang dihormati,

Sekolah tidak ubah seperti rumah dengan persekitaran keluarga besar yang saling menghormati, saling menolong dan saling menyayangi. Amalan nilai murni dan etika sebenarnya melengkapkan proses pembelajaran supaya murid mampu menjelmakan keperibadian yang unggul, kemuliaan insan dan rakan pembelajaran sebaya yang berkesan. Sikap yang terpuji dalam diri murid hendaklah dizahirkan dalam bentuk tingkah laku yang menggambarkan ciri insan yang budiman, berjiwa besar dan soleh.

Peribahasa ada menyebut bahawa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Masuk kandang kambing mengembik, masuk kandang kerbau menguak.

Seperti mana-mana organisasi sama ada kecil mahupun besar, sekolah perlu melaksanakan kawalan bagi menjamin keselamatan, kesihatan, kebersihan dan keceriaan persekitaran pembelajaran supaya murid berasa selesa untuk datang ke sekolah saban hari. Maka, sekolah mewujudkan peraturan dan undang-undang yang mesti dipatuhi oleh semua murid tanpa gagal. Mohon semua murid memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada pihak sekolah, guru, pengawas dan kakitangan sekolah dalam usaha memastikan bahawa tujuan utama murid berdaftar di sekolah ini pada akhirnya akan tercapai jua.

Hadirin yang dimuliakan,

Kegiatan dan urusan di sekolah memang sentiasa padat dan sibuk. Maka, saya mengharapkan murid sentiasa peka terhadap segala maklumat yang bakal disampaikan dengan pelbagai cara sama ada secara bersemuka, menerusi laman sesawang rasmi sekolah atau paparan di papan kenyataan sekolah. Saya percaya bahawa murid generasi Y sekarang ialah pencari maklumat yang cukup aktif.

Murid yang masih mempunyai kemusykilan tentang urusan persekolahan dan pembelajaran boleh merujuk masalah yang tersebut kepada guru tingkatan masing-masing atau merujuk kepada guru kaunseling untuk tindakan yang selanjutnya. Ibu bapa murid juga dialu-alukan untuk datang berjumpa dengan pihak pentadbiran sekolah pada bila-bila masa bagi mencari jalan yang terbaik untuk murid sekalian belajar dengan jiwa yang aman tenteram dan bahagia. Sebarang aduan, pertanyaan dan saranan juga boleh disampaikan menerusi kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi yang disediakan.

Barangkali sudah agak panjang saya berceloteh di pentas ini. Sebelum pamit, terimalah serangkap pantun empat kerat yang tidak sepertinya ini:

          Mulakan makan dengan basmalah
          Mensyukuri rezeki amalan mulia
          Murid mendaftar sempurnalah sudah
          Moga bersemi di puncak jaya

Sekian ucapan saya. Terima kasih atas kesabaran dan perhatian. Mohon maaf atas kekurangan dan kesilapan. Selamat datang ke dunia kecemerlangan pembelajaran di sekolah.

Wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh ...

No comments: