SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, December 26, 2013

JERUK MADU PAK ALI KINI DI IPOH (WITHOUT SACCHARIN OR COLOURING ADDITIVE)

Pulau Mutiara atau Pearl of The Orient, jolokan nama Pulau Pinang, memang terkenal dengan buah pala, jeruk buah-buahan dan nasi kandar. Kunjungan ke sana seakan-akan tidak sah jika tidak pulang dengan membawa oleh-oleh buah pala dan jeruk buah-buahan. Pada suatu ketika hampir semua keluaran buah pala dan jeruk buah-buahan menjadi monopoli pengeluar keturunan Cina.

Namun, usaha mewujudkan kelompok usahawan bumiputera di bawah program perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah membuahkan hasil, termasuk dalam industri jeruk buah-buahan. Misalnya, jenama Pak Ali yang mula memasuki pasaran sejak tahun 1985 sudah berkembang pesat hingga mampu membuka cawangan sama ada secara francais atau wakil jualan ke seluruh negara (klik di sini). Perusahaan Pak Ali beroleh manfaat bimbingan daripada pelbagai agensi kerajaan persekutuan dan negeri.
Kini, orang Ipoh sudah boleh membeli keluaran Pak Ali secara terus menerusi lot niaga yang baharu dibuka bersebelahan Tesco Extra di Jalan Tasek, atau menghubungi talian 014-7595325. Tulisan ini bukanlah pula iklan berbayar dan bukan juga iklan percuma. Maklumat ini sebagai tanda sokongan kepada keluaran yang bersih, enak dan halal (tag line Pak Ali). 

Jeruk madu Pak Ali bukan sahaja bergantung kepada label halal Jakim (nombor siri: 1039-12/2010), tetapi terhadap pembaharuan dan penambahbaikan keluaran berbanding dengan pesaing sedia ada. Sementara masih banyak peniaga menggunakan ibu gula tiruan (sakarin) sebagai bahan asas penyediaan jeruk bagi menjimatkan kos, Pak Ali menggunakan gula pasir, air tapis dan dimasak, serta cuka epal. Pak Ali mendakwa keluaran jeruk madu beliau tiada kesan batuk sepertimana jeruk biasa yang lain. 

Masyarakat yang peka terhadap kemungkinan risiko kesihatan akibat pengambilan makanan sampingan seperti jeruk buah-buahan. Mereka lebih cenderung mengambil jalan selamat daripada berharap kepada dapatan penyelidikan yang merumuskan bahawa penggunaan perisa tambahan, monosodium glutamat (MSG) pewarna, sakarin dan tartazin dalam jumlah yang terkawal tidak mendatangkan mudarat (klik di sini). Maka, keluaran Pak Ali memenuhi kehendak golongan tersebut.

Walaupun pada amnya, pengguna memberi sokongan terhadap keluaran PKS yang memenuhi cita rasa mereka, isu harga masih menjadi rungutan. Misalnya, harga jeruk buah-buahan yang mencecah RM15.00 satu kilogram dianggap agak mahal. Barangkali PKS perlu belajar taktik jualan harga psikologi yang lazim digunakan oleh keluaran yang sudah lama bertapak di pasaran. 
stok jeruk madu Pak Ali baharu tiba dari Pulau Pinang

Apa-apa pun, selamat datang jeruk madu Pak Ali ke Ipoh. Mungkin selama ini keluaran jeruk madu Pak Ali sekadar di rak pasar raya dan kedai tertentu, tetapi kini memiliki lot niaga yang tersendiri. Promosi yang lebih berkesan kepada warga bandar raya Ipoh dan bandar berhampiran mungkin sekali meningkatkan permintaan terhadap keluaran jeruk madu Pak Ali.

Sesungguhnya kejayaan keluaran jeruk madu Pak Ali melebarkan sayap perniagaan ke seluruh negara menandakan satu lagi kejayaan program PKS bagi mewujudkan lebih banyak usahawan bumiputera Muslim. Persaingan sihat dengan usahawan kaum lain perlu dipandang dalam persekitaran perniagaan yang positif. Kek kemakmuran ekonomi negara hendaklah dinikmati bersama ...

1 comment:

Unknown said...

Cikgu jual ker ? Kan best kalau ade cod area ipoh utara ..