Saturday, May 10, 2014
BARAT ANJUR DEMOKRASI TALAM DUA MUKA (HIDDEN AGENDA CUM HYPOCRISY)
Mereka kononnya contoh dan jaguh demokrasi tulen. Memang benar bahawa mereka telus dalam mengurus persaingan pengaruh dan kuasa kepimpinan domestik. Namun, mereka cuba memaksakan kehendak mereka terhadap negara-negara kerdil supaya sentiasa mengikut telunjuk mereka umpama sistem perhambaan dahulu kala.
Apabila demokrasi berkembang di rantau tertentu yang selama ini dikuasai rejim kuku besi boneka mereka sendiri, sikap sebenar mereka terserlah. Apabila rakyat memilih untuk menumbangkan diktator pro-Barat, mereka mula merancang komplot dan konspirasi untuk mengembalikan pemimpin diktator dan junta tentera. Pergolakan yang berlaku pada akhirnya bakal menguntungkan mereka dengan pertempuran bersifat ujian senjata, lojistik dan personel.
Mereka juga berselindung di sebalik gerakan hak asasi dan alam sekitar untuk menyebarkan aliran hawa nafsu (hedonisme), utilitarian, sekular dan gaya hidup liar. Mereka menyamar sebagai pakar runding dan wartawan untuk melakukan kegiatan perisikan dan manipulasi sumber. Mereka sangat licik, kejam dan tidak berhati perut.
Mereka menguasai organisasi induk antarabangsa pasca-Perang Dunia Kedua. Penulisan sejarah oleh pihak yang menang dilaksanakan menerusi pena dan papan kekunci para orientalis. Kawalan media tradisional dan baharu sudah lama mencengkam.
Terkini, majalah berpengaruh mereka telah cuba mengajar negara kita supaya akur terhadap saranan supaya berpegang kepada demokrasi per se, sekali gus menggugurkan sebarang hasrat ke arah jati diri (klik di sini). Sebagaimana dasar pecah dan perintah era penjajahan, mereka menjalankan jarum halus menerusi kumpulan pendesak yang boleh diperkuda. Persaingan pengaruh yang tajam memudahkan pelaksanaan rencana jahat mereka.
Pengalaman mereka yang panjang sebagai kaum penjajah yang pandai bermuka-muka kini bersambung dalam zaman dunia tanpa sempadan. Apabila terdapat petanda bahawa Asia akan muncul sebagai kuasa baharu ekonomi abad ke-21 (alaf tiga), mereka segera melancarkan serangan mata wang yang mengakibatkan banyak negara industri baharu (NIC's) akhirnya tersungkur dan terjelepuk di kaki mereka. Mereka tidak kisah hanya kerana digelar sebagai pembuli negara kerdil.
Sampai bilakah mereka berjaya memperdaya negara-negara kerdil yang turut bergelut dengan pelbagai kemelut tempatan yang tidak kunjung selesai? Penyakit mengkagumi Barat dalam kalangan pemimpin dan rakyat bekas negara jajahan dimanipulasi semahu-mahunya oleh mereka. Bahasa, cara berfikir, gaya hidup dan citra mereka masih hidup di negara bekas jajahan walaupun secara fizikal mereka telah kembali bersenang-lenang membawa balik kekayaan di sana.
...
...
...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
wow, saya sangat tidak menyangka seorang guru begitu berpandangan jauh seperti anda namun tidak mampu melihat perkara busuk di dalam negara anda sendiri! Sikap begini pasti akan sentiasa dikagumi oleh anak watan kita dan diharapkan tidak akan pernah luntur kerana kita perlukan contoh sebegini untuk dijadikan pengajaran (bukan teladan) kepada anak-anak masa hadapan kelak.
Post a Comment