SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, March 1, 2010

HOKI: SMI "AKHIRI" CABARAN (SHOCK DEFEAT FOR MICHAELIAN'S HOCKEY TEAM)

Ipoh, Selasa: 2 Mac 2010 / 16 Rabiul Awal 1431
Dengan dibarisi lebih separuh muka baru, pasukan hoki SMK St Michael, Ipoh (SMI) kini boleh melupakan saingan Zon 2 Kinta Utara. SMI hanya boleh terus mara jika melakukan misi "mustahil", iaitu menewaskan Anderson, penyandang juara peringkat kebangsaan. Barang diingat bahawa sudah sekian lama, pasukan lain hanya berputih mata ketika berhadapan dengan "sihir" hoki Anderson dan dihadiahi dengan jumlah gol sekitar sedozen.

Pertemuan SMI dengan Anderson dijadualkan berlangsung kira-kira pukul 2.55 petang ini di padang  hoki astroturf bersebelahan Stadium Sultan Azlan Shah. Kumpulan A hanya mengandungi Anderson (pilihan utama kejohanan), SMK Tanjung Rambutan dan SMI. Pada tahun lepas, SMI tersingkir di peringkat kumpulan apabila tewas tipis 0-1 di tangan STAR pada minit-minit terakhir perlawanan, setelah berjaya mengikat pasukan Sungai Pari 2-2.
Perlawanan dengan Tanjung Rambutan pagi tadi boleh dikatakan seimbang walaupun lawan menguasai 60 peratus permainan. Kedua-dua pasukan bermain dengan berhati-hati menyebabkan pergerakan pemain lebih banyak bertumpu di kawasan tengah padang. Sesekali penyerang berjaya memasuki kawasan D, tetapi pukulan dan tolakan penyudah kedua-dua pasukan boleh dikatakan begitu tumpul.

Separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan seri tanpa jaringan. Sebaik wisel separuh masa kedua ditiupkan, kedua-dua pasukan menggandakan asakan. Namun, skripnya masih sama. Tiada ancaman yang benar-benar serius ke kubu lawan.
Ketika perlawanan yang seolah-olah akan berkesudahan seri, Tanjung Rambutan mendapat pukulan sudut penalti yang amat diperlukan lima minit sebelum siren penamat dibunyikan. Pada mulanya tolakan bola berkenaan muntah, tetapi masih dalam kawasan D. Tanjung Rambutan bijak memanfaatkan keadaan kelam kabut di situ untuk menjaringkan gol.

Menurut seorang jurulatih, gol itu sepatutnya dibatalkan kerana ditolak tinggi, melulu dan merbahaya. Namun, keputusan pengadil dikira muktamad. Tanjung Rambutan telah menghukum kelekaan pertahanan SMI.

Peluang menyamakan kedudukan menjelma dua minit berselang. Harapan menggunung SMI bagaimanapun berkecai apabila tolakan bola agak lemah dan tersasar. Kini, Tanjung Rambutan boleh disebut sebagai pasukan yang bakal mengiringi Anderson ke suku akhir.
kaedah pertukaran pemain

Antara peristiwa menarik perlawanan ialah seorang pemain Tanjung Rambutan diarah menukar kasut yang digunakan setelah tiga minit perlawanan berlangsung. Rupa-rupanya pemain berkenaan menyarung but bola sepak! Seorang pemain SMI dilayangkan kad hijau dan diarah "berehat" di hadapan meja teknikal selama dua minit sebelum dibenarkan menyambung permainan di bawah peraturan baharu Persekutuan Hoki Antarabangsa.

Walaupun secara akademik dan di atas kertas, SMI telah ditunjukkan jalan keluar, perlawanan menentang Anderson petang ini masih penting. SMI mesti membuktikan bahawa Anderson boleh dikekang dan tidak dibenarkan bermaharajalela. Kepada warga Michaelian yang berkelapangan, turunlah beramai-ramai memberi sokongan...

No comments: