SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, March 23, 2010

PENJENAMAAN SEMULA PENGAJIAN TINGKATAN ENAM: JASA SEORANG MANTAN MENTERI PELAJARAN (CONDOLENCES TO OUR FORMER EDUCATION MINISTER)

Orangnya peramah dan tidak meninggi diri walaupun ketika itu menyandang jawatan kanan dalam jemaah menteri persekutuan. Semua mahasiswa yang dijemput khas mewakili universiti awam tempatan (IPTA) dilayan dengan begitu mesra di kediaman rasmi beliau dalam satu majlis berbuka puasa. Beliau sudi meluangkan masa hingga tamat solat tarawih yang diimamkan oleh pengarah Kor Agama, Angkatan Tentera Malaysia (Kagat), Brigedier Jeneral Dato' Abdul Hamid Zainal Abidin (yang kemudiannya juga dilantik sebagai menteri kabinet).

Mantan Menteri Pelajaran yang dimaksudkan ialah Allahyarham Tan Sri Dr. Sulaiman Daud (ketika itu Dato'). Semua anggota keluarga beliau juga diperkenalkan kepada perwakilan mahasiswa dan tetamu yang lain. Anak-anak remaja beliau juga begitu tertib dan tidak kekok bergaul dengan hadirin. Penulis blog (PB) begitu bertuah justeru termasuk dalam senarai jemputan dari IPTA.

Dr. Sulaiman yang berasal dari Sarawak, merupakan Menteri Pelajaran kedua dari sana selepas Tun Abdul Rahman Yaakub. Beliau seorang menteri yang kuat bekerja dan prihatin terhadap kemajuan sekolah dan murid. Memandangkan portfolio pengajian tinggi juga diletakkan di bawah tanggungjawab Kementerian Pelajaran, beliau turut menjalin hubungan erat dengan warga universiti tempatan dan jabatan penuntut Malaysia (Malaysian Student Department, MSD) di luar negara.

Keperibadian dan pembawaan Dr. Sulaiman ialah hasil didikan keluarga, lalu dimantapkan dengan latar belakang kerjaya sebagai doktor pembedahan pergigian. Sebagai murid cemerlang bumi kenyalang, beliau telah dihantar mendalami pengajian dalam bidang kritikal berkenaan di Universiti Otago, New Zealand. Kegigihan Dr. Sulaiman di alam persekolahan dan pengajian tinggi patut menjadi contoh kepada generasi muda kini.

Pandangan jauh Dr. Sulaiman terserlah apabila beliau melontarkan idea kolej junior untuk pengajian tingkatan enam. Konsepnya ialah semua pelajar enam ditempatkan secara berpusat di sebuah kolej yang akan dibina di bandar-bandar tertentu. Kemudahan asrama dan dewan kuliah yang selesa juga disediakan selengkapnya.

Walaupun idea beliau tidak sempat dilaksanakan justeru berlaku rombakan kabinet dan Dr. Sulaiman berpindah ke kementerian lain, idea beliau tidak tenggelam begitu sahaja. Status pengajian tingkatan enam yang agak terumbang-ambing akibat saingan IPTS dan mod pengajian prauniversiti yang lain menyebabkan idea asal Dr. Sulaiman masih relevan. Kini, setelah hampir dua dekad, cetusan minda Dr. Sulaiman bakal menjadi kenyataan.

Buat permulaan, kohort tingkatan enam rendah tahun hadapan (2011) masih ditempatkan di sekolah. Pihak Kementerian Pelajaran mempunyai banyak opsyen, sama ada untuk mengekalkan pengajian prauniversiti tingkatan enam di sekolah, ditempatkan secara berpusat, atau menjadi salah satu kursus sebuah kolej junior yang turut menawarkan program prauniversiti yang lain. Bidang pendidikan terdedah kepada kemungkinan perubahan dan sukar untuk mempertahankan status quo dalam jangka masa yang lama.

Apa-apa pun yang bakal dilalui oleh program pengajian prauniversiti tingkatan enam, jasa Allahyarham Tan Sri Dr. Sulaiman Daud telah terpahat dalam tinta sejarah idea penjenamaan semula pengajian tingkatan enam. Negara terhutang budi kepada beliau. Mudah-mudahan beliau digolongkan sebagai salihin di Sisi-Nya. Amin...

No comments: