Kebanyakan isu yang dibangkitkan menunjukkan bahawa lebih banyak maklumat perlu disalurkan kepada ibu bapa secara berkala. PIBG telah bersetuju bagi menyediakan buletin pada awal tahun, pertengahan dan akhir tahun bagi memaklumkan perkembangan kegiatan PIBG dan peranan ibu bapa untuk membantu dan memberi sokongan terhadap segala program anjuran sekolah. Buletin akan dikirimkan kepada semua ibu bapa.
Pertanyaan seorang ibu turut menyerlahkan hakikat betapa anak-anak mungkin memberikan maklumat separuh masak sahaja. Alasan seorang anak perlu dihalusi supaya ibu bapa tidak menerimanya secara bulat-bulat. Begitulah penjelasan yang diberikan oleh pengetua sebagai respons terhadap program pasukan pakaian seragam yang dikatakan terlebih aktif, pada hal pihak sekolah meletakkan dasar yang jelas dan tersurat.
Seperti mana-mana mesyuarat, majoriti hadirin memilih untuk senyap. Mereka lebih tertumpu kepada dokumen mesyuarat. Mereka merelakan beberapa wakil mereka bersuara lantang justeru isu yang dibangkitkan lebih kurang sama dengan padanan minda mereka.
Setelah "letih" mengikuti sesi pembentangan dan perkara berbangkit, tibalah masa untuk memilih exco baru. Yang Dipertua dan naibnya dilantik secara sebulat suara dengan mengekalkan Encik Joseph Michael Lee dan Dato' Mohd Niza, kedua-duanya bekas Michaelian. Namun, pemilihan exco lain, kecuali AJK kalangan guru, dilakukan dengan cara angkat tangan.
Dalam ucapan penggulungannya, YDP PIBG berikrar untuk terus membantu SMI sebagai sebuah sekolah bantuan modal yang dihormati menjelang perayaan 100 tahun pada 2012. Usul ibu bapa akan diteliti dan diberi pertimbangan sewajarnya. Sekalung syabas dan tahniah kepada semua exco PIBG sesi 2010-2011...
No comments:
Post a Comment