SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, March 12, 2010

SPM ST MICHAEL: LEBIH 20 PERATUS DAPAT A DALAM BAHASA MELAYU (MICHAELIAN GOT GOOD GRADE FOR MALAY LANGUAGE SPM 2009)

Sejumlah 78 orang calon SPM 2009 SMK St Michael, Ipoh (SMI) daripada 352 orang semuanya berjaya memperoleh gred A. Pencapaian itu melapasi sasaran bahawa sekurang-kurangnya 10 peratus calon mendapat gred cemerlang. Cuma untuk mencatat A+ memerlukan keistimewaan "luar biasa" apabila hanya 15 orang calon yang berjaya mendaki puncak berkenaan.

Jika diperincikan, lebih separuh jumlah calon A disumbangkan oleh 5S1 dan 5S2. Tentu ada beberapa perkara yang signifikan untuk menjelaskan keadaan berkenaan. Sukar untuk membuat kesimpulan tertentu melainkan kajian dilakukan.

Berdasarkan pengamatan penulis blog (PB), boleh dikatakan hampir semua calon yang mencatat A ialah murid budiman. Mereka tahu membawa diri dalam proses pembelajaran. Mereka mengaplikasikan adab-adab belajar yang disarankan oleh bijak pandai dahulu dan sekarang.

Antara lain, adab yang dimaksudkan:

1   mempamerkan rasa hormat kepada guru secara ikhlas;

2   sentiasa menyegerakan segala tugasan yang diminta oleh guru;

3   memberi tumpuan terhadap aktiviti pembelajaran di bilik darjah;

4   mengelakkan diri daripada dipengaruhi tingkah laku negatif rakan-rakan;

5   tetap menunjukkan minat walaupun input yang diberikan berupa ulangan;

6   mengutamakan pendapat guru di sekolah berbanding dengan sumber luar (portal, tuisyen)


PB mendapati bahawa, murid yang meninggalkan adab di atas tidak beroleh A walaupun penulisan mereka boleh dikatakan mantap, dan pendapat mereka juga bernas. Apatah lagi jika murid yang berasa diri mereka hebat dan enggan mengambil peduli tunjuk ajar guru. Sebagai penolong, guru tidak pernah berputus asa membantu murid keluar daripada jalan yang tidak betul.

Bahasa ialah pancaran akal budi insan (Awang Sariyan). Maka, bahasa amat berkait rapat dengan penghayatan nilai murni. Sebagai insan biasa dan masih remaja, kesilapan tingkah laku yang tidak disengajakan boleh dimaafkan, tetapi murid perlu akur dengan piawai berfikir yang luhur.

Jika kita membaca resepi calon cemerlang SPM 2009 kebangsaan, mereka mengungkapkan cerita yang sama: meletakkan kepercayaan kepada guru, taat kepada ibu bapa, dan rajin beribadah (berdoa, membaca al-Qur'an dan amalan sunat yang lain bagi murid Islam). Input pusat tuisyen atau portal internet hanya dianggap sebagai tambahan dan pelengkap. Demikian juga halnya dengan bahan spesimen (soalan mirip peperiksaan) yang berlambak di pasaran.

PB berpendapat bahawa usaha meningkatkan pencapaian murid dalam mata pelajaran bahasa Melayu boleh dilaksanakan dengan sokongan program tertentu. Murid yang berpotensi A, tetapi memilih jalan sendiri hendaklah dipengaruhi supaya menyertai laluan dan titian kejayaan yang sebenar. Untuk itu, Program Rakan Sebaya (PRS) perlu dimantapkan supaya hanya elemen positif pembelajaran bahasa menjadi dominan dalam kalangan murid.

Konsep guru sebagai pemudah cara pembelajaran disambut dengan penglibatan optimum murid-murid. Kreativiti pembelajaran dialu-alukan, manakala kongkongan aktiviti lapuk lagi membosankan diketepikan. Mudah-mudahan pembelajaran bahasa memberikan pakej pengalaman hidup yang bermakna kepada murid, di samping pencapaian dalam peperiksaan yang membanggakan...

No comments: