SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, March 20, 2010

TATABAHASA ZA’BA KHAZANAH WARISAN (THE ROOT OF MODERN MALAY LANGUAGE GRAMMAR)

Keinginan untuk menelusuri akar umbi tatabahasa Melayu moden mendorong penulis blog (PB) memiliki dan menekuni naskhah karya linguistik terbesar Pendeta Za’ba yang menggabungkan tiga jilid “Pelita Bahasa Melayu” yang dikarang pada dekad 1940-an. Ediisi baharu diterbitkan semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2000. Naskhah setebal 809 muka surat (tidak termasuk halaman roman berjumlah xxxvi) berkenaan dikarang sebelum Za’ba menerima pendidikan formal pengajian tinggi di University of London pada tahun 1953.


Latar belakang pengarang

Nama penuh Pendeta Za’ba ialah Zainal Abidin bin Ahmad. Beliau dilahirkan pada tanggal 16 September 1895 di Kampung Kerdas, Negeri Sembilan. Za’ba ialah bapa tatabahasa Melayu moden dan cendekiawan Melayu tersohor pada zaman beliau. Walaupun akses terhadap rujukan bahasa ketika itu amat terhad, Za’ba berjaya menghasilkan begitu banyak naskhah penting tentang asas tatabahasa Melayu moden sehingga beliau meninggal dunia pada 23 Oktober 1973 di Petaling Jaya.


Organisasi Buku

Pelita Bahasa Melayu dibahagikan kepada tiga penggal:

Penggal I: 16 bab;

Penggal II: 12 bab; dan

Penggal III: 15 bab.

Sebagai naskhah yang telah dimurnikan dengan lenggok bahasa terkini, terdapat bahagian Pengenalan yang ditulis oleh Profesor Dr. Asmah Haji Omar sepanjang 26 halaman. Sorotan Prof. Asmah membantu pembaca membina perspektif tentang keseluruhan kandungan naskhah tatabahasa yang bertaraf karya linguistik agung itu. Prof. Asmah turut mengingatkan pembaca bahawa sebarang penilaian terhadap naskhah Pendeta Za’ba itu hendaklah berdasarkan kerangka zaman berkenaan, lalu disejajarkan dengan disiplin linguistik moden.


Ringkasan Kandungan

Pelita Bahasa Melayu Penggal I:

Tumpuan utama pengarang ialah dalam aspek fonologi dan morfologi. Sebagaimana yang diakui oleh Za’ba sendiri bahawa aturan rangka naskhah beliau banyak ditirukan daripada acuan tatabahasa Inggeris dan Arab (Pendahuluan Cetakan Pertama, muka surat 17). Begitupun, Za’ba menegaskan bahawa sebagai cubaan menyediakan tapak kepada ilmu tatabahasa, segala kekurangan yang mungkin muncul di sana sini bolehlah dihalusi kemudian (Pendahuluan Cetakan Ketiga: muka surat 12).

Naskhah Za’ba ditujukan untuk kegunaan pembelajaran darjah rendah dan tinggi sekolah Melayu. Pada era penjajahan dan perang dunia itu, “universiti” tertinggi bagi pengajian bahasa Melayu ialah Sultan Idris Training College (SITC), Tanjung Malim, tempat Za’ba bertugas sebagai pensyarah. Sehubungan itu, setiap huraian ditulis secara sederhana supaya pembaca, iaitu murid sekolah Melayu, dengan bimbingan guru, mampu menguasai asas tatabahasa sebagai suatu ilmu yang teratur (muka surat 12).

Penggal I mengandungi 333 fasal dan 85 unit latihan. Carta yang digunakan semuanya berbentuk jadual. Namun, ketiadaan senarai jadual dalam indeks kandungan menyebabkan pembaca perlu mencari sendiri jadual yang disediakan.

Antara kandungan yang menarik perhatian PB ialah tentang sejarah penggunaan tulisan Sanskrit, Jawi dan Rumi dalam penulisan bahasa Melayu. Walaupun tanpa sandaran penyelidikan, hujah Za’ba boleh dijadikan hipotesis persuratan Melayu dari segi sistem tulisan. Za’ba mengatakan bahawa pada zaman istana dikuasai oleh raja beragama Hindu, dokumen rasmi yang ditulis pada batu bersurat menggunakan tulisan Sanskrit, iaitu sejenis sistem tulisan Hindu purbakala.

Kedatangan Islam ke Nusantara yang disebarkan oleh ulama dan pedagang Arab, khususnya mulai abad ke-14 Masihi telah memperkenalkan sistem tulisan Jawi yang masih bertahan hingga kini. Kejatuhan empayar Uthmaniah Turki dan pelancaran perang salib telah mengakibatkan alam Melayu dipaksa menerima pengaruh Barat, termasuk tulisan rumi. Bangsa Eropah sanggup bertutur bahasa Melayu pasar, tetapi enggan menggunakan tulisan Jawi (halaman 21).

Za’ba seperti telah dapat meramalkan tentang kemerosotan tulisan Jawi justeru kemudahan taip-menaip dan cap-mengecap banyak menggunakan tulisan rumi. Bagi Za’ba tulisan jawi atau rumi hanyalah persoalan kulit. Perkara yang lebih mustahak ialah ketertiban bahasa, iaitu tidak kucar-kacir oleh pengaruh bahasa Arab, Inggeris, dan bahasa asing lainnya.

Sejumlah 74 muka surat diperuntukkan bagi menjelaskan sistem tulisan jawi dan rumi. Aksara cha, nga, ga dan nya dicipta khusus bagi menyesuaikan lidah penutur jati bahasa Melayu yang tidak terdapat dalam tulisan Arab. Selain itu, terdapat sejumlah 14 huruf Arab yang tidak hadir dalam lafaz penutur Melayu (tha, ha “pedas”, kha, dz, sya, Sad, dhad, To, Zo, ‘a, gha, fad an qa). Hanya mereka yang mempelajari sistem transliterasi (lambang sebutan) dapat melafazkan aksara Arab berkenaan dengan sebutan yang fasih.

Dalam bab seterusnya, Za’ba memperincikan golongan kata, imbuhan dan asas sintaksis bahasa Melayu. Istilah yang digunakan memang berbeza dengan kajian linguistik moden, namun Za’ba sangat berjasa dalam mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai jiwa bangsa, atau lambang jati diri di alam Melayu.

Pelita Bahasa Melayu Penggal II

Dengan ketebalan 202 muka surat, penggal II tertumpu terhadap asas karang-mengarang. Za’ba member penekanan bahawa karangan terbentuk daripada sekumpulan ayat. Bermula dengan asas subjek dan predikat, huraian dikembangkan kepada jenis dan ragam ayat, tanda baca dan penggunaan rangkai kata (frasa) penerangan. Za’ba memberikan petua mengarang daripada karangan biasa hinggalah kepada genre tradisional, cereka dan surat kiriman.

Pelita Bahasa Melayu Penggal III

Kali ini jumlah muka suratnya ialah 295 halaman. Za’ba menujukan buku penggal III untuk darjah tinggi sekolah Melayu dan penuntut tahun pertama maktab perguruan. Dalam kata lain, Za’ba berhasrat menjadikann ya sebagai lanjutan Pelita Bahasa Melayu Penggal I dan Penggal II.

Walaupun ditulis 10 tahun sebelum Tanah Melayu bebas daripada cengkaman penjajah Inggeris, Za’ba telah menzahirkan harapan agar bahasa Melayu dimajukan sebagai bahasa rasmi pemerintahan yang dihormati dan dipelihara martabatnya. Za’ba juga menyeru ahli bahasa supaya bersikap lapang dada dan realistik demi kemajuannya. Sama seperti saranan sosiolinguistik, Za’ba berpendapat bahawa perubahan tatabahasa tidak dapat ditahan. Misalnya, lambat-laun penggunaan “di” untuk masa (di hari, di zaman) akhirnya terpaksa diterima sebagai betul jua.

Za’ba telah menulis tiga bab khusus untuk menerangkan kesalahan dan kecacatan dalam karangan. Beliau memberi teguran tentang pemilihan kata (diksi), kecenderungan menulis ayat yang panjang-panjang dan penggunaan perkataan yang pelik-pelik. Pada Za’ba, sesebuah karangan yang baik itu ialah karangan yang mudah difahami dan fokus (dihadkan).

Za’ba turut membuat analisis beberapa prosa klasik dan contoh karangan yang ditulis oleh murid beliau sendiri. Selain itu, beberapa contoh karangan yang lengkap turut dimuatkan. Sebagai panduan kepada guru, Za’ba menyediakan sejumlah 76 rangka karangan rencana dan sembilan kumpulan tajuk karangan yang lain.

Aplikasi Naskhah Za’ba dalam proses pembelajaran bahasa

Sesudah membaca dan meneliti isi kandungan karya Pendeta Za’ba, PB berpendapat bahawa ketokohan Za’ba sebagai bapa tatabahasa Melayu moden patut didedahkan kepada murid. Sumbangan besar Za’ba membina asas tatabahasa pegangan hingga kini patut diketahui oleh murid. Petua karang-mengarang yang disarankan juga tetap relevan sampai bila-bila.

Kerja menelaah buku setebal lebih 800 muka surat itu memang memeritkan jika ketiadaan minat, kurang sabar, atau menghidap sindrom cepat bosan. Jika diberi pilihan, PB sendiri mungkin tidak sanggup membaca naskhah asal Pelita Bahasa Melayu tiga penggal itu. Hanya perasaan ingin tahu berjaya mengekalkan PB untuk membaca keseluruhan naskhah hebat Za’ba yang bertaraf magnum opus alam Melayu berkenaan.

Jika naskhah Za’ba hendak digunakan dalam perbincangan profesional guru bahasa Melayu dan aktiviti pembelajaran di bilik darjah, modul yang lebih mudah perlu disediakan terlebih dahulu. Penggunaan carta, peta minda dan teknik permainan mungkin boleh diikhtiarkan. Sebagai permulaan, guru-guru bahasa Melayu harus sanggup berbengkel dan bersidang untuk menghasilkan modul pembelajaran bahasa ala Za’ba yang mudah, memikat dan menghadirkan keseronokan kepada murid, dan bukan sebaliknya…

No comments: