Perkembangan potensi dan fakulti kanak-kanak digembleng menerusi aktiviti kognitif, afektif dan psikomotor. Dalam bahasa yang lebih mudah, proses pembelajaran menjurus kepada peningkatan keupayaan pengetahuan, sikap dan kemahiran. Ketiga-tiga elemen berkenaan juga menjadi asas konsep modal insan yang diketengahkan secara teratur oleh sarjana ekonomi pendidikan (khususnya Scultz) pada dekad 1960-an. Perbahasan secara ekonometrik tentang teori perbakian (residual) masih menjadi bahagian kuliah yang penting dalam bidang berkenaan.
Ketika bertugas di SM Teknik Ipoh (Persiaran Brash), penulis blog (PB) pernah diminta oleh pentadbiran sekolah untuk menyenaraikan beberapa tema untuk kejohanan sukan tahunan. Daripada 10 cadangan yang PB kemukakan, tema "kecemerlangan melalui sukan" menjadi pilihan pihak sekolah. Ertinya, bidang sukan boleh dianggap sebagai wahana kecemerlangan pendidikan asalkan falsafah, serta pengurusan sukan peringkat sekolah diberikan perspektif yang jelas.
Baru-baru ini, PB berkesempatan menghadiri kejohanan sukan tahunan SK Seri Ampang, Ipoh. Acara dimulai dengan perarakan bendera kejohanan dan perbarisan kontinjen empat rumah sukan yang mengambil bahagian. Latihan dan raptai yang dijalani membantu kelancaran pergerakan murid dalam acara pembukaan sukan itu.
Seperti biasa, tuan rumah akan mengalu-alukan kehadiran tetamu dan ibu bapa, di samping menaikkan semangat para peserta kejohanan. Ucapan disampaikan oleh Guru Besar, Yang Mulia Raja Zainal Abidin. Walaupun tanpa teks ucapan, beliau berjaya membuat kawalan jangka masa dengan baik.
Ucapan persamian dilakukan oleh bekas Yang Dipertua PIBG SK Seri Ampang. Sebagai orang lama, banyak nostalgia hendak diceritakan. Ada baiknya teks ucapan disediakan sebagai kawalan masa, kerana seorang murid lelaki pitam akibat berdiri agak lama.
Temasya sukan peringkat sekolah telah dimulai seawal sesi persekolahan dengan aktiviti latihan, saringan, sukan tara dan kebanyakan acara akhir diselesaikan sebelum hari sukan secara rasmi. Biasanya hanya acara pecut, tarik tali dan jemputan dipilih untuk pertandingan hari kemuncak sukan sekolah. Kemeriahan jelas tergambar dengan variasi warna pakaian dan khemah pasukan rumah sukan.
Pengalaman dikalungkan pingat kemenangan mungkin menjadi kenangan manis kepada peserta yang beroleh kejayaan. Lebih-lebih lagi, peluang untuk bertanding di peringkat lebih tinggi mungkin terbentang luas. Terpulang kepada pihak sekolah untuk terus menggilap bakat kanak-kanak dalam bidang sukan sebagai pelengkap kecemerlangan akademik...
No comments:
Post a Comment