SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, March 15, 2010

KUASA "SAKTI" DI ST. MICHAEL (THE MAGIC OF PROVERB AT SMI)

Mata pena lebih tajam daripada mata pedang. Kata-kata yang baik umpama pohon yang baik, mengakar dan merimbun. Perkataan baik yang dilafazkan bagaikan butir mutiara yang teramat tinggi nilainya.

SMK St. Michael, Ipoh (SMI) mahu membuktikan hakikat kebijaksanaan yang terungkap dalam khazanah kitab-kitab yang bertaraf autentik. Jabatan Bahasa telah membuat "pelaburan" yang tepat apabila menggantung ratusan perspek yang tertera kata-kata hikmah dan peribahasa di sepanjang laluan strategik  untuk tatapan warga SMI. Usaha ini juga berupa aplikasi kepada pembelajaran menerusi penglihatan, atau ringkasnya: "saya lihat, maka saya ingat".
Versi bahasa Malayu menggunakan fon warna putih ber"tanah" hijau, manakala versi bahasa Inggeris pula menggunakan putih dan biru. Di samping menghargai kebijaksanaan, usaha itu diharap dapat membantu warga SMI, khususnya murid menerapkan nilai murni dalam proses pemantapan tingkah laku dan sahsiah yang luhur. Seterusnya kata-kata hikmah dan peribahasa juga bakal mencetuskan dorongan ke arah penggunaan unsur kecindan dalam penulisan dan pertuturan rasmi.
Buat masa ini papan kata-kata hikmah dan peribahasa dibiarkan kekal berada di tempat yang sama hinggalah keputusan lain dibuat. Pihak Jabatan Bahasa akan menilai keberkesanan projek itu dalam tempoh tertentu. Instrumen penilaian yang mungkin digunakan ialah kuiz lisan semasa perhimpunan rasmi sekolah.
Sebagai sebuah organisasi pendidikan, SMI mesti mencuba pelbagai pendekatan supaya proses pembelajaran terus berlaku secara optimum. Projek seumpamanya mungkin telah dilaksanakan di sekolah lain. Namun, kelebihan SMI ialah dari segi reka bentuk papan kata hikmah dan peribahasa, serta persembahannya.
Kepesatan perkembangan teknologi komunikasi menghadirkan cabaran getir terhadap kelangsungan penggunaan bahasa baku, rasmi atau "standard". Bahasa "rojak", slanga dan singkatan ejaan dalam penulisan mesej pesanan ringkas (SMS) dan laman sembang internet menular dlam percakapan dan penulisan murid sekolah. Projek kata hikmah dan peribahasa diharapkan menjadi salah satu benteng kebahasaan yang kukuh lagi teguh.

Generasi muda perlu sentiasa diingatkan bahawa bahasa jiwa bangsa, bahasa menunjukkan bangsa dan bahasa ialah pancaran akal budi insan. Penggunaan bahasa yang baik melambangkan jati diri dan tahap tamadun sesuatu bangsa. Setidak-tidaknya daya usaha Jabatan Bahasa SMI menyumbang terhadap cita-cita sebuah bangsa yang berdaulat dan bermaruah...

No comments: