SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, March 25, 2010

"NILAM" GURU GANTI LADAP (BOOK REVIEW TO UPDATE TEACHER'S CONTINOUS PROFESSIONAL DEVELOPMENT)

Ciri teras seorang ahli ikhtisas ialah sentiasa memperbaharui input ilmu dan amalan kerjaya. Pelbagai cara boleh dilakukan, misalnya latihan semula dalam perkhidmatan, menghadiri kursus, seminar, persidangan, melaksanakan kajian tindakan dan membaca jurnal penyelidikan dalam bidang masing-masing. Dengan kemudahan jalur lebar tanpa wayar berkelajuan tinggi, serta tawaran harga perkhidmatan internet yang dijangka lebih rendah akan menyediakan akses kepada lautan maklumat pelbagai sumber yang berwibawa.

Apabila berlaku kekurangan peruntukan kewangan dalam sesuatu organisasi, mangsa pertama kebiasaannya ialah program latihan. Tetapi, ahli ikhtisas tidak pula boleh mengurangkan usaha bagi memperbaharui pengetahuan, kemahiran dan sikap yang menjadi asas modal insan mereka. Jalan alternatif yang tidak memerlukan kos yang tinggi secara fizikal perlu dicari.

Kaum guru yang turut digolongkan sebagai ahli ikhtisas di sekolah yang berfungsi sebagai organisasi memupuk pembelajaran wajib memiliki komitmen yang jitu terhadap dapatan terbaharu dalam tubuh ilmu bidang pendidikan. Kaedah pedagogi sedia ada perlu diuji semula sama ada boleh kekal, perlu diubah suai, diubah, diganti atau dibuang terus. Sikap inertia atau enggan berpisah dengan status quo mestilah dikorbankan.

Urusan utama di bilik darjah tidak mengehadkan guru untuk menjadi pakar pedagogi semata-mata. Murid dan pelajar bukan sekadar mempelajari perkara-perkara tersurat yang dirancang dalam proses pembelajaran mereka. Sebaliknya, guru harus menjangka bahawa akan lebih banyak elemen kurikulum tersembunyi yang lebih kekal dalam ingatan mereka.

Maka, kepekaan guru terhadap isu etika, perhubungan awam, proses membuat keputusan dan protokol akan diperhatikan secara pakej menerusi sisi zahir interpersonal guru. Tahap profesionalisme keguruan akan dibanding-bandingkan dengan profesion yang ketat dari segi keanggotaan seperti arkitek, doktor, jurutera, dan peguam. Pendapatan guru juga akan menjadi bualan dan gosip dalam kalangan masyarakat.

Input asas tentang idea baharu atau yang diperbaharui boleh diperoleh secara  jalan pintas, iaitu menghadiri wacana profesional seperti program Ladap yang dilaksanakan pada beberapa hari Sabtu. Namun, guru tidak seyogia bergantung kepada input Ladap. Keperluan guru akan berbeza apabila dikaitkan dengan bidang pengkhususan, pengalaman, kecenderungan dan jangkaan.

Akhirnya, guru masih perlu melakukan bacaan dan pemerhatian lanjut supaya input yang diperoleh dalam sesi Ladap boleh dipindahkan dalam amalan profesionalisme keguruan. Sebaik-baiknya satu kajian dilakukan sama ada input daripada Ladap akan berakhir sebagai angin lalu, atau guru benar-benar menjana inspirasi kendiri untuk membuka ruang perubahan dalam amalan profesionalisme keguruan mereka.

Cara membaca seorang ahli ikhtisas pasti berbeza dengan cara membaca secara santai. Berdasarkan format catatan bacaan tertentu, guru dapat mengenal pasti falsafah, konsep, dapatan dan saranan yang mungkin boleh diperincikan sebagai amalan sebenar. Jika tidak, pembacaan buku akan kekal sebagai semata-mata santapan minda, atau terapi intelektual.

Penulis blog (PB) mencadangkan supaya guru membuat catatan pembacaan berdasarkan komponen di bawah:

1.    Maklumat buku dan pengarang;

2.    Sinopsis am;

3.    Tiga idea besar yang mungkin boleh diketengahkan;

4.    Perincian idea dalam konteks persekitaran sekolah; dan

5.    Aplikasi idea dalam memantapkan proses pembelajaran di sekolah.

Jika proses membaca dan mencatat idea bahan bacaan terlalu sukar untuk dilakukan secara bersendirian, panitia mata pelajaran boleh menganjurkan program separuh hari untuk melengkapkan keperluan itu. Catatan bacaan kemudian boleh dijilidkan bukan sahaja sebagai bukti, bahkan berfungsi sebagai jurnal mini di sekolah.

Sesungguhnya guru ialah sekumpulan ahli ikhtisas yang dititipkan amanah kelangsungan dan kesinambungan ilmu. Guru yang menjadikan pembacaan sebagai wahana untuk kemajuan profesionalisme keguruan akan menjadi pemangkin kepada pencapaian sebuah negara maju acuan Malaysia. Amalan terbaik keguruan yang dijana daripada idea pembacaan sumber berwibawa bakal mengangkat martabat profesion keguruan sebagai benar-benar mulia, dipercayai dan diletakkan harapan tertinggi...

2 comments:

ainee said...

This article is useful for me. Thanks. I agree with this idea as I love reading ;)

Anonymous said...

Thanks 4 ur remark. Ur website also very nice...