SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, March 27, 2010

KADET BOMBA MENYANTUNI SI KECIL POLOS (SIXTH FORM'S COMMUNITY SERVICE)

Ipoh, Sabtu: 27 Mac 2010 / 11 Rabiul Akhir 1431

Khidmat komuniti dan kerja kebajikan merupakan antara elemen penting yang hendak diterapkan dalam aktiviti kokurikulum tingkatan 6. Pelajar dibiasakan dengan kegiatan bukan bersifat keuntungan, sebaliknya menjurus kepada kesukarelaan. Dengan itu, pakej pengajian prauniversiti tingkatan 6 dianggap sebagai lengkap dan lebih holistik.
Konsep kesukarelaan berkenaan telah ditunjukkan oleh 17 orang anggota pasukan Kadet Bomba Tingkatan 6 yang diketuai oleh Joel Clive. Dengan diiringi oleh tiga orang guru penasihat, mereka telah menghabiskan masa kira-kira empat jam melayani keletah 18 orang kanak-kanak yang menghuni Rumah Perlindungan Bahagia yang terletak di Taman Pertama, berhampiran pekan Silibin. Kemesraan yang terjalin seolah-olah bahawa mereka sudah mengenali kanak-kanak itu dalam tempoh yang begitu lama.
Kanak-kanak di rumah perlindungan Bahagia begitu teruja dengan kehadiran "abang" dan "kakak" daripada SMK St Michael, Ipoh (SMI) bagi mengisi kerinduan terhadap keluarga, khususnya ibu bapa yang sudah tiada di sisi. Rumah perlindungan ini diasaskan oleh Puan Irene Morris yang berasal daripada Johor Bahru. Ibu tunggal dua anak itu sanggup mengambil risiko menguruskan kanak-kanak yang tidak bernasib baik tanpa jaminan bantuan kewangan yang tetap.
Aktiviti permainan pertama ialah sambut kotak. Kotak akan beredar sehingga apabila muzik dihentikan, sesiapa yang sedang memegang kotak akan didenda. Bentuk denda ditentukan menerusi cabutan kertas arahan dalam kotak itu juga.
Nampaknya, sesi "pecah ais" memerlukan masa yang singkat sahaja. Maka, tibalah masa untuk aktiviti luar rumah. Disebabkan taman permainan agak jauh, maka aktiviti hanya dilakukan di kawasan jalan hadapan rumah perlindungan berkembar yang disewa itu. Walaupun cuaca mulai panas, kanak-kanak tetap ceria dan girang.
Antara permainan luar rumah yang sempat dijayakan ialah mengisi air dalam botol dengan menggunakan span. Selain itu, imbangan dalam pergerakan kanak-kanak diuji menerusi permainan membawa tiga biji gula-gula dalam sudu plastik yang kecil. Kanak-kanak dibahagikan kepada 4 kumpulan dengan bantuan abang kakak kadet bomba SMI.
Kanak-kanak rumah perlindungan Bahagia juga menunjukkan bakat masing-masing dengan menari, menyanyi dan mengajuk bunyi haiwan tertentu. Semangat membuat persembahan tambah membara apabila diberi sokongan dan sorakan oleh rakan, serta tetamu. Betapa hari Sabtu kali ini begitu bermakna.
Kanak-kanak paling muda ialah Mercy, 3 dan paling tua, Andrew, 18. Kebanyakannya masih di bangku sekolah rendah. Dengan kasih sayang dan perhatian, kebanyakan mereka mencatat pencapaian akademik dam kokurikulum yang membanggakan. Misalnya, John, 11 (memegang trofi) ialah olahragawan di sekolahnya.
Selain menyediakan jamuan tengah hari kepada penghuni Rumah Perlindungan Bahagia, pasukan kadet bomba turut menyerahkan sumbangan warga SMI yang berjumlah kira-kira RM600. Kanak-kanak "Joyful Home" memang beruntung justeru kerap menerima kunjungan persatuan dan kelab dari sekolah sekitar Ipoh. Sumbangan, walau berapa pun nilainya, ialah lambang keprihatinan sebuah masyarakat penyayang.
Sebelum berpisah, penghuni Rumah Perlindungan Bahagia dan rombongan Kadet Bomba SMI berkumpul untuk sesi foto beramai-ramai. Walaupun cuma sebentar, diharapkan bahawa aktiviti amal ini dapat diteruskan. Di bandaraya Ipoh sahaja, begitu banyak rumah kebajikan yang menyediakan perlindungan kepada kanak-kanak, ibu tunggal, warga tua, dan orang kelainan upaya. Syabas kadet bomba tingkatan 6 SMI...

No comments: