Lebih 300 orang bekas murid tingkatan 5 tahun 2009 telah menerima naskhah salinan The Michaelian edisi 61 semasa mengambil keputusan SPM baru-baru ini. Mereka boleh dianggap bertuah sebagai antara pembaca terawal yang dapat menatap majalah kebanggaan sekolah itu. Warga SMK St Michael, Ipoh (SMI) yang lain perlu menunggu hingga minggu hadapan apabila sekolah dibuka semula setelah bercuti seminggu.
Sementara itu, calon STPM 2009 (SMI) seramai 203 orang juga boleh berbuat demikian pada pertengahan minggu hadapan. Majalah boleh dituntut daripada guru tingkatan masing-masing dengan syarat semua yuran telah dijelaskan. Barang diingat bahawa bayaran untuk The Michaelian berjumlah RM 10 dibuat menerusi akaun PIBG.
Rata-rata pelajar yang menerima naskhah majalah SMI 2009 amat berpuas hati dengan mutu dan kandungannya. Reka bentuk kulit hadapan yang menggambarkan tema
Upholding the Great Michaelian Ethos juga berjaya menambat hati mereka. Foto, laporan dan penulisan yang dimuatkan sudah tentu menggamit memori dan menjadi catatan kenangan yang amat indah.
Sekalung tahniah atas terbitnya buah tangan SMI yang menerima sentuhan akhir (Joanna) Ooi Jing Zhi, selaku teraju sidang redaksi setelah mengambil alih tugas Nicholas Ling Jern Whey yang menyambung pengajian di sebuah kolej pada penghujung 2009. Hasrat pihak sekolah untuk menjadikan naskhah
The Michaelian sebagai hasil kerja dan milik pelajar sepenuhnya begitu terserlah. Panel guru penasihat lebih banyak berperanan sebagai pembimbing dan penjaga supaya segala kandungan majalah akan sentiasa menepati syarat penerbitan dan kawalan yang ditetapkan.
Sekali lagi syabas dan tahniah buat pasukan sidang redaksi
The Michaelian edisi 61...
No comments:
Post a Comment