Pemohon seharusnya menganggap temu duga sebagai sama dengan peperiksaan. Ertinya, pemohon mesti membuat persediaan rapi yang mencukupi dari segi jasmani, emosi, rohani dan inteleks. Temu duga bukanlah suatu proses komunikasi lisan secara spontan, tetapi dilaksanakan bagi menilai kesesuaian seseorang pemohon dengan pekerjaan atau tempat yang dipohon.
Panel penemu duga ialah ahli atau pakar dalam bidang pekerjaan atau institusi yang dipelawa kepada pemohon. Kerapkali pula mereka memiliki gelaran tertentu seperti Tan Sri, Datuk, atau Dr. (penyandang ijazah doktor falsafah). Penemu duga juga menduduki jawatan penting dalam sesuatu organisasi dan bukan sembarangan orang, sebaliknya arif dalam sesuatu bidang.
Namun demikian, terdapat juga temu duga berskala kecil yang bersifat dalaman seperti temu duga pengambilan pengawas sekolah, pengawas pusat sumber, pemohon asrama dan sebagainya. Walaupun demikian, pemohon tetap perlu memandang serius akan proses temu duga yang bakal dilalui jika berharap untuk dipilih. Persiapan yang sambil lewa mungkin membawa kehampaan semata-mata.
Persiapan Sebelum Temu Duga
Memandangkan persaingan begitu sengit, persiapan yang dilakukan hendaklah menjurus kepada ciri-ciri x-factor yang membezakan diri dengan pemohon lain. Misalnya cara penampilan, cara memberi jawapan kepada soalan, nada suara dan kebijaksanaan dalam menghadapi pertanyaan yang mungkin kelihatan ada unsur provokasi. Penemu duga mempunyai senarai semak pengujian (instrumen) tentang pengetahuan, kemahiran dan sikap yang digariskan oleh organisasi untuk ditadbirkan ke atas calon atau pemohon.
Kalau boleh, calon perlu melakonkan temu duga "olok-olok" supaya dapat mengenal pasti strategi yang paling tepat dalam temu duga sebenar kelak. Jika berasa segan untuk melibatkan orang lain sebagai penemu duga, cukup sekadar menyediakan soalan ramalan. Jawapan secara lisan bolehlah dirakamkan, manakala cara duduk dan kawalan pergerakan yang lain diberi perhatian.
Persiapan yang tidak kurang pentingnya ialah memastikan tarikh, masa dan tempat temu duga supaya tidak berlaku sebarang kesilapan atau tiba lewat atas sebarang sebab. Segala dokumen yang boleh menyokong permohonan disusun dalam satu fail holder mengikut tertib keutamaan. Seluar baju, tali leher, tanda nama (jika berkaitan), stoking dan kasut yang bersesuaian hendaklah disediakan lebih awal.
Semasa Temu Duga
Apabila dipanggil masuk, melangkahlah dengan penuh teratur tanpa menampakkan rasa gugup yang ketara. Berilah salam dan duduk apabila diarahkan berbuat demikian. Segera serahkan fail sijil kepada panel penemu duga.
Jangan ragu untuk bertentang mata dengan penemu duga sambil menunjukkan rasa hormat, iaitu bukan kelihatan membuat tenungan. Dengar soalan dengan teliti sambil memilih kerangka jawapan yang mungkin telah disediakan sebelum temu duga seperti akronim atau analogi. Frasakan semula sebahagian ayat soalan untuk disambungkan dengan ayat jawapan yang meyakinkan.
Jika soalan berbentuk terbuka (bukan jawapan ya, tidak), teruslah menjawab sehingga penemu duga mencelah atau memberhentikan jawapan anda. Jangan pula bertelingkah dengan penemu duga jika jawapan anda dipertikaikan. Tunjukkan kompromi walaupun anda mungkin hendak menegaskan pendirian.
Barang diingat bahawa semasa sesi temu duga, calon hendaklah tidak berasa segan silu mempromosikan diri sebagai orang yang paling layak untuk dipilih daripada sekian banyak pemohon lain. Namun, cara "menjual" diri itu biarlah bijaksana, bukannya keterlaluan sehingga nampak angkuh, atau mengada-ngada.
Setelah panel penemu duga mengisyaratkan bahawa sesi telah berakhir, ucapkan terima kasih, sambil mengambil semula fail sijil dengan sopan. Tutup daun pintu dengan perlahan jika ada pintu. Pastikan anda tidak menjatuhkan apa-apa atau terjatuh kerana persepsi penemu duga terhadap diri anda mungkin terjejas.
Setelah Selesai Temu Duga
Tiada apa-apa lagi yang boleh dilakukan selain doa dan harapan. Zaman "kabel-kabel", iaitu menggunakan pengaruh orang kenamaan tertentu barangkali tidak lagi relevan. Sesi temu duga hanyalah salah satu peringkat pemilihan calon yang berjaya kerana biasanya ada dua lagi jawatankuasa pemilihan yang meneliti pelbagai aspek kesesuaian calon sebelum ditawarkan jawatan atau tempat dalam sesuatu organisasi.
Bersedialah menghadapi apa-apa kemungkinan. Jika berjaya, Alhamdulillah. Jika sebaliknya, pasti ada hikmah yang tersembunyi, tetapi jika ada peluang membuat rayuan, ayuh lakukan...
No comments:
Post a Comment