SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, March 31, 2010

ESOK TEMASYA SUKAN SEKOLAH, LUSA KILAS TANGKIS BERENTAP (MICHAELIAN 'S SPORT DAY, STAFF BADMINTON CLASH)

Temasya sukan tahunan kali ke-83 SMK St. Michael, Ipoh (SMI) tiba di kemuncaknya esok (1 April 2010), mulai pukul 7.45 pagi bertempat di kawasan padang sekolah. Jika berjaya mencatat kehadiran penuh seramai 1,927 orang pelajar dan hampir 170 orang guru, serta kakitangan, kejohanan kali ini pasti bertambah meriah. Tetamu kehormat yang bakal merasmikan pembukaan temasya ialah Encik Koo Kim Kuang, bekas jagoan kriket negara, dan bekas Michaelian.

Acara dimulakan dengan perarakan masuk pasukan pancaragam sekolah, diikuti oleh pembawa bendera. Sejurus itu, nyanyian lagu Negaraku dan lagu sekolah akan dikumandangkan secara beramai-ramai. Hanya terdapat dua ucapan ringkas, iaitu daripada tuan pengetua, dan tetamu kehormat.

Usai lafaz ikrar kejohanan dan persembahan pancaragam, sebanyak 7 acara pecut 100 meter mengikut tingkatan (termasuk perempuan tingkatan 6) akan dijalankan. Seterusnya 4 acara berganti-ganti 4 X 100 meter antara sekolah (lelaki bawah 14, 15, 16, dan perempuan) pula menyusul. Kuartet SMI menjanjikan saingan sengit untuk muncul sebagai pemenang

Tidak kurang menarik nanti ialah acara Old Michaelian dan The Centenary Run. Bayangkan para senior dan veteran berusaha menunjukkan bahawa mereka masih bertenaga, hebat dan sasa. Pastinya kelakar dan menghiburkan!

Kemuncak acara sukan sudah tentunya tarik tali. Pasukan yang bertanding akan mengerah segenap tenaga, bertahan dan memanfaatkan sedikit sahaja kealpaan pihak lawan. Peranan anchor dan penggalak bagi setiap pasukan dianggap penting bagi membantu kemenangan.

Tradisi Michaelian yang telah dipertahankan sekian lama, iaitu pertandingan kawad kaki antara kelas bakal menyaksikan pelbagai ragam pakaian dan formasi gerak. Persembahan setiap kelas akan menyerlahkan kesungguhan, kreativiti, dan strategi yang berlainan bagi memikat perhatian juri. Dalam keadaan demikian, hanya pasukan yang memiliki x-factor akan menjadi pilihan.

Kedudukan pungutan mata setakat ini diungguli oleh rumah Augustus yang mengumpul 242 mata, jauh mengatasi pencabar lain. Di tempat kedua ialah rumah La Salle dengan 164 mata. Walaupun menghuni kedudukan ketiga dan keempat, rumah Patrick (141) serta U Paul (139) masih mampu menggugat pada saat-saat akhir.

Bravo Michaelians. Know Yourself and Be Yourself. Selamat bersaing dengan penuh semangat kesukanan yang tulen...

BADMINTON PERSAHABATAN: 
KILAS TANGKIS
LAWAN 
KELAB SUKAN JABATAN AGAMA ISLAM PERAK

Tarikh: 2 April 2010 (Jumaat)

Masa:  mulai dari pukul 3.00 petang

Tempat: Kompleks Badminton MBI

Turunlah beramai-ramai memberi sokongan...

TREK BASIKAL TAMAN D R SEPI (ABANDONED BICYCLE OFFICE IN IPOH)

Setelah rentung dalam peristiwa kebakaran awal tahun lalu, pejabat sewaan basikal Taman D R Seenivasagam masih belum dipulihkan. Kesan kebakaran masih boleh dilihat dengan jelas. Pokok yang tumbuh meliar juga dibiarkan begitu sahaja.
Larangan untuk kanak-kanak membawa basikal persendirian juga sudah tidak lagi terpampang (rujuk posting 12 April 2008).  Namun, kerja mengangkut basikal dalam kenderaan penumpang agak lecek. Selain ruang yang sempit, terdapat risiko calar pada kenderaan atau basikal yang terpaksa disumbat begitu rupa hingga menjejaskan spesifikasinya!
Pemandangan biasa kanak-kanak beratur menunggu giliran untuk menyewa basikal dengan kadar RM1 setengah jam sudah lenyap. Rangka basikal yang terbakar juga mungkin telah dialih. Hanya kesepian yang dapat dilihat.
Trek basikal di sini memang sesuai untuk memberi pendedahan kepada si kecil dan kanak-kanak bawah 12 tahun untuk mempelajari selok-belok jalan raya. Dengan laluan yang kadang-kadang lurus, berliku, berbukit dan curam, kanak-kanak akan dapat berlatih mengimbangi kelajuan dengan kedudukan badan. Tanda arah, bulatan, lampu isyarat dan persekitaran hijau juga boleh memberi inspirasi kepada kanak-kanak supaya menghargai alam sekitar.

Monday, March 29, 2010

KAWAD KEBAKAKARAN BERJALAN LANCAR (FIRE DRILL VERSION 2010)

Ipoh, Selasa: 30 Mac 2010 / 14 Rabiul Akhir 1431

Jawatankuasa 4K (Keselamatan, Kesihatan, Kebersihan dan Keceriaan) sesebuah sekolah diberi tanggungjawab melaksanakan kawad kebakaran sekurang-kurangnya dua kali dalam setahun. Prosedur ini termaktub dalam Akta Pelajaran dan pekeliling Kementerian Pelajaran Malaysia. Walaupun kes kebakaran premis sekolah di Malaysia masih bersifat terpencil, latihan yang melibatkan keseluruhan warga sekolah ini wajib dipatuhi, direkod dan diperakukan.
Kawad kebakaran kali pertama dilakukan secara berpengetahuan. Satu sesi taklimat diadakan kepada semua warga sekolah tentang tatacara dan tarikh latihan. Kawad kali kedua dibuat secara mengejut dengan melibatkan kedatangan jentera dari balai bomba berdekatan.
Apabila loceng dibunyikan secara berterusan melebihi tempoh biasa, dan ditambah dengan kenyaringan siren kecemasan, segala aktiviti bilik darjah perlu dihentikan serta-merta. Guru yang berada di lokasi insiden (bilik darjah) hendaklah mengarahkan mangsa (murid) bertenang. Walaupun cuma latihan, segala-galanya mesti teratur dan diambil serius.
Proses pengungsian bangunan, bukan pengosongan bangunan hendaklah dilakukan dengan segera, tetapi tertib. Peranan guru p & p selaku penolong pegawai insiden sangat penting bagi memastikan semua mangsa berjaya meninggalkan lokasi insiden dalam keadaan sehelai sepinggang dengan selamat dan mengiringi mereka hingga ke tempat berhimpun. Pelan laluan kecemasan yang ditetapkan mesti dipatuhi.
Di tapak perhimpunan yang telah ditetapkan, penyelia insiden yang dilantik dalam kalangan anggota kadet bomba sekolah akan memberi bantuan tunjuk arah kedudukan setiap kelas. Guru tingkatan akan mendapatkan buku daftar kehadiran dan menyemak nama murid. Setelah itu, guru tingkatan akan membuat laporan lisan kepada pegawai insiden (pengetua) tentang jumlah murid dan senarai yang "hilang" di hadapan perhimpunan secara serta-merta.
Tempoh masa standard pergerakan dari lokasi insiden ke tampatan berhimpun ialah maksimum tujuh minit. Murid atau kumpulan murid yang melebihi masa 7 minit akan ditahan untuk diambil keterangan. Jika terdapat unsur kecuaian, tindakan disiplin boleh dikenakan kepada murid atau kumpulan murid berkenaan.
Pencapaian kesilapan sifar ialah penanda aras yang sempurna. Dalam realiti, termasuk aktiviti penyelidikan, nilai alpha (ralat) antara satu hingga sepuluh peratus perlu diperuntukkan. Maknanya, kesilapan yang masih berlaku bukanlah disengajakan, melainkan segala langkah telah diambil untuk meminimumkan nilai keralatan berkenaan.
Buktinya, masih ada mangsa yang menggalas beg ke tempat berhimpun. Gambaran sedemikian sentiasa berlaku dalam sebuah masyarakat yang bersaiz besar. Maka, pihak sekolah harus mencari jalan supaya perkara ini tidak bakal berulang.
Matlamat latihan kawat kebakaran kali pertama difokuskan kepada elemen kepekaan terhadap keselamatan. Selain itu, pegawai insiden dianggap berjaya jika semua mangsa berjaya tiba ke tempat berhimpun kurang daripada tujuh minit. SMK St. Michael, Ipoh (SMI) dikira berjaya melaksanakan misi tersebut bermula dari loceng panjang dibunyikan tepat pada pukul 8.10 pagi. Sidang petang akan melaksanakan kawad  kebakaran secara berasingan.
Keberkesanan sesuatu aktiviti atau program boleh diukur menerusi tinjauan yang direka bentuk mengikut kaedah kajian yang dipermudahkan. Borang maklum balas yang diserahkan melalui ketua kelas perlu disi oleh guru p & p yang berada di lokasi insiden. Analisis terperinci bukan sahaja membekalkan data yang sah, malah boleh memberi petunjuk tentang usaha penambahbaikan yang boleh dicadangkan untuk kawad kebakaran seterusnya.
Daripada sejumlah 35 unit borang maklum balas yang diedarkan, sebanyak 18 unit telah dikembalikan secara serta-merta, iaitu 51.43%. Kebiasaannya baki borang akan diperoleh kemudian. Namun, hanya borang yang dikembalikan secara serta-merta akan diproses untuk tujuan analisis data.

Dapatan tinjauan yang menggunakan skala Likert empat mata itu menghasilkan data di bawah:

Item                                                              Amat setuju   Setuju   Kurang setuju   Tidak setuju

1  Bunyi loceng kecemasan jelas                      27.78            50.0             16.67                   5.56
                                                                       (5)                (9)               (3)                       (1)

2  Aktiviti p & p dihenti serta-merta                66.67            33.33                0                        0         
                                                                       (12)                (6)

3  Murid mematuhi arahan                               33.33            61.11            5.56                        0
                                                                        (6)              (11)               (1)

4  Murid ambil serius                                        5.56             55.56           22.22                    16.67
                                                                        (1)                 (10)               (4)                     (3)

5  Pergerakan pantas, teratur                          5.56             72.22          11.11                     11.11
                                                                        (1)                (13)               (2)                      (2)

6  Maklumat guru mencukupi                           22.22           72.22             5.56                        0
                                                                        (4)                (13)               (1)

7  Objektif tercapai *                                         27.78          55.56             11.11                     0
                                                                        (5)                (10)                (2)

Angka tanpa kurungan disebut dalam peratusan;
Angka dalam kurungan (  ) ialah nilai nominal, konservatif

*   seorang responden tidak menanda sebarang skala

Secara sepintas lalu,  dapatan menunjukkan bahawa latihan kawad kebakaran SMI edisi 2010 ini telah terlaksana dengan jayanya. Serakan data yang cenderung berpusat kepada skala amat setuju dan setuju menjadi sandaran hujah yang sah dan boleh dipercayai. Kekurangan yang masih perlu diberi perhatian segera ditunjukkan oleh item 1, 4 dan 5.

Saranan penambahbaikan:

Pada borang maklum balas, disediakan ruang cadangan, iaitu soalan bersifat terbuka yang boleh diisi oleh responden. Cadangan berkisar terhadap kenyaringan dan tempoh masa loceng kecemasan dibunyikan. Selain itu, pelan kedudukan barisan mengikut kelas di tempat berhimpun perlu ditanda dengan lebih jelas. 

Jawatankuasa Latihan juga mendapatkan laporan pemerhatian daripada tujuh orang penyelia insiden yang ditempatkan di lokasi tertentu. Mereka masih kurang berpuas hati dengan keadaan pergerakan yang tidak begitu teratur, lambat, tidak ambil berat dan sedikit kelam kabut. Namun, mangsa berjaya mematuhi masa tujuh minit yang mungkin berpunca daripada pelan laluan yang lebih jelas pada tahun ini...

Disediakan oleh:


AZHAR BIN MOHD RODZI
Setiausaha Latihan Kawad Kebakaran
SMK St Michael, Ipoh

Sunday, March 28, 2010

MISTERI BUKIT BAUK (THE UNSEEN COMMUNITY)

Sebuah keluarga datang dari Johor untuk menziarahi sahabat lama yang sudah bertukar ke kampung halamannya di Dungun. Perjalanan mengambil masa antara lima hingga tujuh jam, bergantung kepada keadaan perjalanan dan kekerapan berhenti rehat. Kira-kira pukul 12 tengah malam, keluarga berkenaan sudah menghampiri destinasi yang ditujui, iaitu kira-kira lima kilometer lagi.

Ketika itu mereka melewati Rimba Bukit Bauk yang telah mula dimajukan sebagai kawasan rekreasi. Tiba-tiba kelihatan kawasan terang-benderang di tepi jalan. Apabila dihampiri, rupa-rupanya terdapat sebuah restoran besar dan cantik dengan begitu ramai pelanggan sedang menjamu selera.

Perut pun sudah berkeroncong. Tuan rumah tidak elok disusahkan dengan penyediaan makanan pada waktu larut malam begitu. Akhirnya, mereka sepakat untuk menikmati hidangan di restoran di hadapan mata.

Setelah meletakkan kereta, mereka menuju ke sebuah meja yang baru sahaja dikosongkan. Seperti biasa makanan dipesan dan tanpa menunggu lama siap pula dihidangkan. Mereka makan dengan begitu berselera sekali.

Siapa sangka di tengah-tengah kawasan rimba dan di tengah-tengah malam yang hening itu terdapat sebuah restoran yang menyajikan hidangan yang demikian enak. Pelanggan lain tidak banyak berbual. Masing-masing menikmati makanan sepenuh hati dan tertib.

Melihat suasana itu, keluarga dari selatan semenanjung itu juga hanya memberi tumpuan terhadap makanan. Tiada perbualan atau usik-mengusik seperti lazimnya. Maklumlah untuk menghormati pelanggan yang lain. Kalau pun bertentang mata dan berpandang-pandangan secara tidak sengaja, hanya senyuman yang dilemparkan.

Hidangan enam orang  anak-beranak itu hanya dicaj RM30. Sungguh berbaloi dengan keenakan makanan dan variasi hidangan yang disediakan. Pendek kata, mereka sudah boleh tidur lena sebaik tiba di rumah sahabat lama ketua keluarga berkenaan sebentar lagi.

Tuan rumah dihubungi dengan makluman bahawa mereka sudah siap makan minum. Perkara yang diperlukan ialah ruang untuk melayan mata yang kian memberat. Tuan rumah mengiyakan sahaja kehendak tetamu.

Cerita tetamu dari Johor tentang restoran membuatkan tuan ruma berasa kaget. Sebagai orang tempatan, tidak pernah pula dia mengetahui tentang kewujudan mana-mana restoran di sepanjang jalan Bukit Bauk. Kalau ada pun hanya sebuah wakaf (tempat menunggu bas) dan sebuah surau yang sederhana.

Memandangkan tetamu beriya-iya mempertahankan kebenaran ceritanya, tuan rumah mendiamkan diri. Namun, perasaan curiga menyebabkan dia sukar melelapkan mata walaupun sepicing. Dia mahukan kepastian.

Usai sarapan pagi keesokan harinya, tuan rumah mengajak tetamunya ke lokasi restoran yang dinyatakan. Tiba di tempat yang dimaksudkan, giliran tetamu pula terdiam. Ke mana pula lenyapnya restoran tempat dia sekeluarga menikmati hidangan lazat tengah malam semalam?
Dia hanya mampu mengangkat bahu dan berpandangan dengan sahabatnya. Maka, dicadangkan supaya duit RM30 dicari semula. Dalam tempoh beberapa minit, sahaja duit yang tidak berusik itu ditemui di kawasan surau.

Si tetamu tergamam dan kelu. Siapa tuan punya restoran dan pelanggan yang dilihatnya tengah malam semalam? Apa pula makanan dan minuman yang sebenarnya dihidangkan?...

(seperti yang diceritakan oleh sahabat kepada tuan rumah)

Saturday, March 27, 2010

KADET BOMBA MENYANTUNI SI KECIL POLOS (SIXTH FORM'S COMMUNITY SERVICE)

Ipoh, Sabtu: 27 Mac 2010 / 11 Rabiul Akhir 1431

Khidmat komuniti dan kerja kebajikan merupakan antara elemen penting yang hendak diterapkan dalam aktiviti kokurikulum tingkatan 6. Pelajar dibiasakan dengan kegiatan bukan bersifat keuntungan, sebaliknya menjurus kepada kesukarelaan. Dengan itu, pakej pengajian prauniversiti tingkatan 6 dianggap sebagai lengkap dan lebih holistik.
Konsep kesukarelaan berkenaan telah ditunjukkan oleh 17 orang anggota pasukan Kadet Bomba Tingkatan 6 yang diketuai oleh Joel Clive. Dengan diiringi oleh tiga orang guru penasihat, mereka telah menghabiskan masa kira-kira empat jam melayani keletah 18 orang kanak-kanak yang menghuni Rumah Perlindungan Bahagia yang terletak di Taman Pertama, berhampiran pekan Silibin. Kemesraan yang terjalin seolah-olah bahawa mereka sudah mengenali kanak-kanak itu dalam tempoh yang begitu lama.
Kanak-kanak di rumah perlindungan Bahagia begitu teruja dengan kehadiran "abang" dan "kakak" daripada SMK St Michael, Ipoh (SMI) bagi mengisi kerinduan terhadap keluarga, khususnya ibu bapa yang sudah tiada di sisi. Rumah perlindungan ini diasaskan oleh Puan Irene Morris yang berasal daripada Johor Bahru. Ibu tunggal dua anak itu sanggup mengambil risiko menguruskan kanak-kanak yang tidak bernasib baik tanpa jaminan bantuan kewangan yang tetap.
Aktiviti permainan pertama ialah sambut kotak. Kotak akan beredar sehingga apabila muzik dihentikan, sesiapa yang sedang memegang kotak akan didenda. Bentuk denda ditentukan menerusi cabutan kertas arahan dalam kotak itu juga.
Nampaknya, sesi "pecah ais" memerlukan masa yang singkat sahaja. Maka, tibalah masa untuk aktiviti luar rumah. Disebabkan taman permainan agak jauh, maka aktiviti hanya dilakukan di kawasan jalan hadapan rumah perlindungan berkembar yang disewa itu. Walaupun cuaca mulai panas, kanak-kanak tetap ceria dan girang.
Antara permainan luar rumah yang sempat dijayakan ialah mengisi air dalam botol dengan menggunakan span. Selain itu, imbangan dalam pergerakan kanak-kanak diuji menerusi permainan membawa tiga biji gula-gula dalam sudu plastik yang kecil. Kanak-kanak dibahagikan kepada 4 kumpulan dengan bantuan abang kakak kadet bomba SMI.
Kanak-kanak rumah perlindungan Bahagia juga menunjukkan bakat masing-masing dengan menari, menyanyi dan mengajuk bunyi haiwan tertentu. Semangat membuat persembahan tambah membara apabila diberi sokongan dan sorakan oleh rakan, serta tetamu. Betapa hari Sabtu kali ini begitu bermakna.
Kanak-kanak paling muda ialah Mercy, 3 dan paling tua, Andrew, 18. Kebanyakannya masih di bangku sekolah rendah. Dengan kasih sayang dan perhatian, kebanyakan mereka mencatat pencapaian akademik dam kokurikulum yang membanggakan. Misalnya, John, 11 (memegang trofi) ialah olahragawan di sekolahnya.
Selain menyediakan jamuan tengah hari kepada penghuni Rumah Perlindungan Bahagia, pasukan kadet bomba turut menyerahkan sumbangan warga SMI yang berjumlah kira-kira RM600. Kanak-kanak "Joyful Home" memang beruntung justeru kerap menerima kunjungan persatuan dan kelab dari sekolah sekitar Ipoh. Sumbangan, walau berapa pun nilainya, ialah lambang keprihatinan sebuah masyarakat penyayang.
Sebelum berpisah, penghuni Rumah Perlindungan Bahagia dan rombongan Kadet Bomba SMI berkumpul untuk sesi foto beramai-ramai. Walaupun cuma sebentar, diharapkan bahawa aktiviti amal ini dapat diteruskan. Di bandaraya Ipoh sahaja, begitu banyak rumah kebajikan yang menyediakan perlindungan kepada kanak-kanak, ibu tunggal, warga tua, dan orang kelainan upaya. Syabas kadet bomba tingkatan 6 SMI...

Thursday, March 25, 2010

HEBAT SANGATKAH ORANG AMERIKA? (THE CLOSING OF THE AMERICAN MIND)

Peristiwa USD 100,000 bertaburan di sebuah jalan di Chicago hingga digambarkan sebagai rebutan sekawanan piranha lapar seakan-akan melenyapkan anggapan bahawa orang Amerika berintegriti, maju dan amanah. Walaupun satu kes tidak boleh menjadi dalil bagi membuat generalisasi, penyeluruhan atau penghakiman, namun peristiwa berkenaan menunjukkan masyarakat Amerika tidaklah lebih hebat dan lebih bertamadun daripada masyarakat dunia ketiga yang sering dikaitkan dengan jenayah, kebuluran dan kemelaratan. Bayangkan bahawa polis hanya berjaya menemui USD 10,000 sahaja untuk diserahkan kembali kepada pemiliknya.

bersambung...

"NILAM" GURU GANTI LADAP (BOOK REVIEW TO UPDATE TEACHER'S CONTINOUS PROFESSIONAL DEVELOPMENT)

Ciri teras seorang ahli ikhtisas ialah sentiasa memperbaharui input ilmu dan amalan kerjaya. Pelbagai cara boleh dilakukan, misalnya latihan semula dalam perkhidmatan, menghadiri kursus, seminar, persidangan, melaksanakan kajian tindakan dan membaca jurnal penyelidikan dalam bidang masing-masing. Dengan kemudahan jalur lebar tanpa wayar berkelajuan tinggi, serta tawaran harga perkhidmatan internet yang dijangka lebih rendah akan menyediakan akses kepada lautan maklumat pelbagai sumber yang berwibawa.

Apabila berlaku kekurangan peruntukan kewangan dalam sesuatu organisasi, mangsa pertama kebiasaannya ialah program latihan. Tetapi, ahli ikhtisas tidak pula boleh mengurangkan usaha bagi memperbaharui pengetahuan, kemahiran dan sikap yang menjadi asas modal insan mereka. Jalan alternatif yang tidak memerlukan kos yang tinggi secara fizikal perlu dicari.

Kaum guru yang turut digolongkan sebagai ahli ikhtisas di sekolah yang berfungsi sebagai organisasi memupuk pembelajaran wajib memiliki komitmen yang jitu terhadap dapatan terbaharu dalam tubuh ilmu bidang pendidikan. Kaedah pedagogi sedia ada perlu diuji semula sama ada boleh kekal, perlu diubah suai, diubah, diganti atau dibuang terus. Sikap inertia atau enggan berpisah dengan status quo mestilah dikorbankan.

Urusan utama di bilik darjah tidak mengehadkan guru untuk menjadi pakar pedagogi semata-mata. Murid dan pelajar bukan sekadar mempelajari perkara-perkara tersurat yang dirancang dalam proses pembelajaran mereka. Sebaliknya, guru harus menjangka bahawa akan lebih banyak elemen kurikulum tersembunyi yang lebih kekal dalam ingatan mereka.

Maka, kepekaan guru terhadap isu etika, perhubungan awam, proses membuat keputusan dan protokol akan diperhatikan secara pakej menerusi sisi zahir interpersonal guru. Tahap profesionalisme keguruan akan dibanding-bandingkan dengan profesion yang ketat dari segi keanggotaan seperti arkitek, doktor, jurutera, dan peguam. Pendapatan guru juga akan menjadi bualan dan gosip dalam kalangan masyarakat.

Input asas tentang idea baharu atau yang diperbaharui boleh diperoleh secara  jalan pintas, iaitu menghadiri wacana profesional seperti program Ladap yang dilaksanakan pada beberapa hari Sabtu. Namun, guru tidak seyogia bergantung kepada input Ladap. Keperluan guru akan berbeza apabila dikaitkan dengan bidang pengkhususan, pengalaman, kecenderungan dan jangkaan.

Akhirnya, guru masih perlu melakukan bacaan dan pemerhatian lanjut supaya input yang diperoleh dalam sesi Ladap boleh dipindahkan dalam amalan profesionalisme keguruan. Sebaik-baiknya satu kajian dilakukan sama ada input daripada Ladap akan berakhir sebagai angin lalu, atau guru benar-benar menjana inspirasi kendiri untuk membuka ruang perubahan dalam amalan profesionalisme keguruan mereka.

Cara membaca seorang ahli ikhtisas pasti berbeza dengan cara membaca secara santai. Berdasarkan format catatan bacaan tertentu, guru dapat mengenal pasti falsafah, konsep, dapatan dan saranan yang mungkin boleh diperincikan sebagai amalan sebenar. Jika tidak, pembacaan buku akan kekal sebagai semata-mata santapan minda, atau terapi intelektual.

Penulis blog (PB) mencadangkan supaya guru membuat catatan pembacaan berdasarkan komponen di bawah:

1.    Maklumat buku dan pengarang;

2.    Sinopsis am;

3.    Tiga idea besar yang mungkin boleh diketengahkan;

4.    Perincian idea dalam konteks persekitaran sekolah; dan

5.    Aplikasi idea dalam memantapkan proses pembelajaran di sekolah.

Jika proses membaca dan mencatat idea bahan bacaan terlalu sukar untuk dilakukan secara bersendirian, panitia mata pelajaran boleh menganjurkan program separuh hari untuk melengkapkan keperluan itu. Catatan bacaan kemudian boleh dijilidkan bukan sahaja sebagai bukti, bahkan berfungsi sebagai jurnal mini di sekolah.

Sesungguhnya guru ialah sekumpulan ahli ikhtisas yang dititipkan amanah kelangsungan dan kesinambungan ilmu. Guru yang menjadikan pembacaan sebagai wahana untuk kemajuan profesionalisme keguruan akan menjadi pemangkin kepada pencapaian sebuah negara maju acuan Malaysia. Amalan terbaik keguruan yang dijana daripada idea pembacaan sumber berwibawa bakal mengangkat martabat profesion keguruan sebagai benar-benar mulia, dipercayai dan diletakkan harapan tertinggi...

Wednesday, March 24, 2010

GELAGAT TINGKATAN 6 BERKAWAT (WHEN THE MICHAELIANS GO MARCHING IN)

Menjelang 1 April 2010, bagi memastikan semua murid dan pelajar SMK St Michael, Ipoh (SMI) mengambil bahagian dalam memeriahkan kejohanan sukan tahunan sekolah, semua kelas, tanpa kecuali, wajib menyertai acara perbarisan kawat kaki. Pihak juri akan menitikberatkan keseragaman pergerakan dan kreativiti formasi tertentu. Maka, pelajar yang tidak terbabit dengan acara sukan dan tugasan secara automatik menjadi anggota pasukan kawat setiap kelas.



kawat di tengah padang
(foto diambil dari jarak jauh)

Bagi tujuan itu, semua kelas perlu membuat latihan dan persediaan yang secukupnya. Pelajar tingkatan 6 tidak mahu ketinggalan. Sesuai dengan usia lebih matang menginjak 20-an, pelajar tingkatan 6 berusaha menampilkan kelainan. Maka, dalam proses berkenaan, pelbagai idea, kelakar atau serius, telah dicuba.



Maka, berlakulah pelbagai insiden yang agak melucukan. Cuaca panas akibat elnino masih membahang. Kebanyakan pasukan memilih untuk melakukan latihan di lokasi redup. Kata mereka, risiko ultra ungu dan jeragat mesti dijauhi!
Buktinya, ada pasukan yang berlatih di bawah pokok, di bawah bumbung pavilion dan di bawah naungan bayang-bayang di tengah padang. Apabila ditanya, mereka mendakwa masa masih panjang sebelum membuat penyesuaian semasa raptai di arena sebenar. Mereka perlu mendapat pelan laluan perbarisan dan taklimat  pertandingan terlebih dahulu.

Walaupun latihan kawat kaki dibuat secara terbuka, rahsia formasi disimpan kemas oleh anggota pasukan. Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut. Kalau ada pengintip lawan sekalipun, pasukan masih mempunyai banyak pelan B untuk melakukan kejutan pada hari temasya sukan yang jatuh pada hari Khamis minggu hadapan...

Tuesday, March 23, 2010

PENJENAMAAN SEMULA PENGAJIAN TINGKATAN ENAM: JASA SEORANG MANTAN MENTERI PELAJARAN (CONDOLENCES TO OUR FORMER EDUCATION MINISTER)

Orangnya peramah dan tidak meninggi diri walaupun ketika itu menyandang jawatan kanan dalam jemaah menteri persekutuan. Semua mahasiswa yang dijemput khas mewakili universiti awam tempatan (IPTA) dilayan dengan begitu mesra di kediaman rasmi beliau dalam satu majlis berbuka puasa. Beliau sudi meluangkan masa hingga tamat solat tarawih yang diimamkan oleh pengarah Kor Agama, Angkatan Tentera Malaysia (Kagat), Brigedier Jeneral Dato' Abdul Hamid Zainal Abidin (yang kemudiannya juga dilantik sebagai menteri kabinet).

Mantan Menteri Pelajaran yang dimaksudkan ialah Allahyarham Tan Sri Dr. Sulaiman Daud (ketika itu Dato'). Semua anggota keluarga beliau juga diperkenalkan kepada perwakilan mahasiswa dan tetamu yang lain. Anak-anak remaja beliau juga begitu tertib dan tidak kekok bergaul dengan hadirin. Penulis blog (PB) begitu bertuah justeru termasuk dalam senarai jemputan dari IPTA.

Dr. Sulaiman yang berasal dari Sarawak, merupakan Menteri Pelajaran kedua dari sana selepas Tun Abdul Rahman Yaakub. Beliau seorang menteri yang kuat bekerja dan prihatin terhadap kemajuan sekolah dan murid. Memandangkan portfolio pengajian tinggi juga diletakkan di bawah tanggungjawab Kementerian Pelajaran, beliau turut menjalin hubungan erat dengan warga universiti tempatan dan jabatan penuntut Malaysia (Malaysian Student Department, MSD) di luar negara.

Keperibadian dan pembawaan Dr. Sulaiman ialah hasil didikan keluarga, lalu dimantapkan dengan latar belakang kerjaya sebagai doktor pembedahan pergigian. Sebagai murid cemerlang bumi kenyalang, beliau telah dihantar mendalami pengajian dalam bidang kritikal berkenaan di Universiti Otago, New Zealand. Kegigihan Dr. Sulaiman di alam persekolahan dan pengajian tinggi patut menjadi contoh kepada generasi muda kini.

Pandangan jauh Dr. Sulaiman terserlah apabila beliau melontarkan idea kolej junior untuk pengajian tingkatan enam. Konsepnya ialah semua pelajar enam ditempatkan secara berpusat di sebuah kolej yang akan dibina di bandar-bandar tertentu. Kemudahan asrama dan dewan kuliah yang selesa juga disediakan selengkapnya.

Walaupun idea beliau tidak sempat dilaksanakan justeru berlaku rombakan kabinet dan Dr. Sulaiman berpindah ke kementerian lain, idea beliau tidak tenggelam begitu sahaja. Status pengajian tingkatan enam yang agak terumbang-ambing akibat saingan IPTS dan mod pengajian prauniversiti yang lain menyebabkan idea asal Dr. Sulaiman masih relevan. Kini, setelah hampir dua dekad, cetusan minda Dr. Sulaiman bakal menjadi kenyataan.

Buat permulaan, kohort tingkatan enam rendah tahun hadapan (2011) masih ditempatkan di sekolah. Pihak Kementerian Pelajaran mempunyai banyak opsyen, sama ada untuk mengekalkan pengajian prauniversiti tingkatan enam di sekolah, ditempatkan secara berpusat, atau menjadi salah satu kursus sebuah kolej junior yang turut menawarkan program prauniversiti yang lain. Bidang pendidikan terdedah kepada kemungkinan perubahan dan sukar untuk mempertahankan status quo dalam jangka masa yang lama.

Apa-apa pun yang bakal dilalui oleh program pengajian prauniversiti tingkatan enam, jasa Allahyarham Tan Sri Dr. Sulaiman Daud telah terpahat dalam tinta sejarah idea penjenamaan semula pengajian tingkatan enam. Negara terhutang budi kepada beliau. Mudah-mudahan beliau digolongkan sebagai salihin di Sisi-Nya. Amin...

Monday, March 22, 2010

KOKURIKULUM TINGKATAN 6: APABILA PENGAKAP DAN KADET BOMBA BERMUAFAKAT (COLLABORATION ON THE SIXTH FORM CO-CURRICULAR ACTIVITY)

Bersatu teguh bercerai roboh (together we united). Pepatah klasik yang bertaraf sejagat itu amat penting untuk dibudayakan dalam kalangan warga sekolah. Selain mengukuhkan ikatan perpaduan, amalan murni itu dapat menyediakan generasi muda dengan ancaman dan cabaran globalisasi yang menjadi kuda trojan negara kaya untuk menekan negara miskin dan negara perindustrian baharu (NIC) seperti Malaysia.

Antara teras aktiviti kokurikulum tingkatan enam yang dijenamakan semula ialah menggilap bakat dan potensi kepimpinan pelajar hingga betah membawa diri dalam apa-apa jua keadaan dan ujian. Pesona hedonisme dan kemewahan sama sekali mampu menggoncang perisai ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap dalam kalangan pelajar prauniversiti tingkatan enam. Banyak bukti bahawa strategi penggabungan organisasi korporat tempatan yang telah berjaya, misalnya institusi kewangan, perlu diterapkan dalam aktiviti kokurikulum tingkatan enam.

Baru-baru ini pasukan kadet bomba tingkatan enam  SMK St Michael, Ipoh (SMI) telah menjayakan aktiviti gajet dan ikhtiar hidup dengan bantuan pasukan pengakap. Anggota pasukan kadet bomba berasa bertuah kerana pasukan pengakap kelana (tingkatan enam) sudi membenarkan aktiviti dijalankan dalam kawasan wisma pengakap SMI. Walaupun dalam beberapa aktiviti peringkat sekolah memerlukan mereka berperanan sebagai pesaing, menyimpan rahsia tertentu dan bersungguh-sungguh untuk mengatasi antara satu dengan lain, dalam banyak keadaan, kedua-dua pasukan masih sedia berkongsi pengalaman dan pengetahuan demi kebaikan bersama.
Ketua pengakap kelana, Leong telah bermurah hati menunjuk cara penyediaan roti salai yang hanya menggunakan adunan tepung berprotein tinggi dengan sebiji telur ayam. Setelah diuli, adunan tadi ditampal secara lilitan pada buluh yang telah dipotong untuk keperluan salai. Setelah siap, buluh dan adunan disalai atas bara yang dinyalakan sedikit.
Aktiviti lain ialah menank nasi dalam buluh. Lebih kurang masak lemang. Cuma nasi dibubuh air secukupnya dan terus layarkan di atas bahang bara yang sama tanpa alas daun.
Usai aktiviti, kepingan rumput mesti diletakkan semula sebagai asal. Tanah dimasukkan semula sehingga kelihatannya seakan-akan kawasan padang itu tidak pernah diusik. Semua anggota pasukan kadet bomba dan pengakap memberikan kerjasama yang diharapkan...

Saturday, March 20, 2010

TATABAHASA ZA’BA KHAZANAH WARISAN (THE ROOT OF MODERN MALAY LANGUAGE GRAMMAR)

Keinginan untuk menelusuri akar umbi tatabahasa Melayu moden mendorong penulis blog (PB) memiliki dan menekuni naskhah karya linguistik terbesar Pendeta Za’ba yang menggabungkan tiga jilid “Pelita Bahasa Melayu” yang dikarang pada dekad 1940-an. Ediisi baharu diterbitkan semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2000. Naskhah setebal 809 muka surat (tidak termasuk halaman roman berjumlah xxxvi) berkenaan dikarang sebelum Za’ba menerima pendidikan formal pengajian tinggi di University of London pada tahun 1953.


Latar belakang pengarang

Nama penuh Pendeta Za’ba ialah Zainal Abidin bin Ahmad. Beliau dilahirkan pada tanggal 16 September 1895 di Kampung Kerdas, Negeri Sembilan. Za’ba ialah bapa tatabahasa Melayu moden dan cendekiawan Melayu tersohor pada zaman beliau. Walaupun akses terhadap rujukan bahasa ketika itu amat terhad, Za’ba berjaya menghasilkan begitu banyak naskhah penting tentang asas tatabahasa Melayu moden sehingga beliau meninggal dunia pada 23 Oktober 1973 di Petaling Jaya.


Organisasi Buku

Pelita Bahasa Melayu dibahagikan kepada tiga penggal:

Penggal I: 16 bab;

Penggal II: 12 bab; dan

Penggal III: 15 bab.

Sebagai naskhah yang telah dimurnikan dengan lenggok bahasa terkini, terdapat bahagian Pengenalan yang ditulis oleh Profesor Dr. Asmah Haji Omar sepanjang 26 halaman. Sorotan Prof. Asmah membantu pembaca membina perspektif tentang keseluruhan kandungan naskhah tatabahasa yang bertaraf karya linguistik agung itu. Prof. Asmah turut mengingatkan pembaca bahawa sebarang penilaian terhadap naskhah Pendeta Za’ba itu hendaklah berdasarkan kerangka zaman berkenaan, lalu disejajarkan dengan disiplin linguistik moden.


Ringkasan Kandungan

Pelita Bahasa Melayu Penggal I:

Tumpuan utama pengarang ialah dalam aspek fonologi dan morfologi. Sebagaimana yang diakui oleh Za’ba sendiri bahawa aturan rangka naskhah beliau banyak ditirukan daripada acuan tatabahasa Inggeris dan Arab (Pendahuluan Cetakan Pertama, muka surat 17). Begitupun, Za’ba menegaskan bahawa sebagai cubaan menyediakan tapak kepada ilmu tatabahasa, segala kekurangan yang mungkin muncul di sana sini bolehlah dihalusi kemudian (Pendahuluan Cetakan Ketiga: muka surat 12).

Naskhah Za’ba ditujukan untuk kegunaan pembelajaran darjah rendah dan tinggi sekolah Melayu. Pada era penjajahan dan perang dunia itu, “universiti” tertinggi bagi pengajian bahasa Melayu ialah Sultan Idris Training College (SITC), Tanjung Malim, tempat Za’ba bertugas sebagai pensyarah. Sehubungan itu, setiap huraian ditulis secara sederhana supaya pembaca, iaitu murid sekolah Melayu, dengan bimbingan guru, mampu menguasai asas tatabahasa sebagai suatu ilmu yang teratur (muka surat 12).

Penggal I mengandungi 333 fasal dan 85 unit latihan. Carta yang digunakan semuanya berbentuk jadual. Namun, ketiadaan senarai jadual dalam indeks kandungan menyebabkan pembaca perlu mencari sendiri jadual yang disediakan.

Antara kandungan yang menarik perhatian PB ialah tentang sejarah penggunaan tulisan Sanskrit, Jawi dan Rumi dalam penulisan bahasa Melayu. Walaupun tanpa sandaran penyelidikan, hujah Za’ba boleh dijadikan hipotesis persuratan Melayu dari segi sistem tulisan. Za’ba mengatakan bahawa pada zaman istana dikuasai oleh raja beragama Hindu, dokumen rasmi yang ditulis pada batu bersurat menggunakan tulisan Sanskrit, iaitu sejenis sistem tulisan Hindu purbakala.

Kedatangan Islam ke Nusantara yang disebarkan oleh ulama dan pedagang Arab, khususnya mulai abad ke-14 Masihi telah memperkenalkan sistem tulisan Jawi yang masih bertahan hingga kini. Kejatuhan empayar Uthmaniah Turki dan pelancaran perang salib telah mengakibatkan alam Melayu dipaksa menerima pengaruh Barat, termasuk tulisan rumi. Bangsa Eropah sanggup bertutur bahasa Melayu pasar, tetapi enggan menggunakan tulisan Jawi (halaman 21).

Za’ba seperti telah dapat meramalkan tentang kemerosotan tulisan Jawi justeru kemudahan taip-menaip dan cap-mengecap banyak menggunakan tulisan rumi. Bagi Za’ba tulisan jawi atau rumi hanyalah persoalan kulit. Perkara yang lebih mustahak ialah ketertiban bahasa, iaitu tidak kucar-kacir oleh pengaruh bahasa Arab, Inggeris, dan bahasa asing lainnya.

Sejumlah 74 muka surat diperuntukkan bagi menjelaskan sistem tulisan jawi dan rumi. Aksara cha, nga, ga dan nya dicipta khusus bagi menyesuaikan lidah penutur jati bahasa Melayu yang tidak terdapat dalam tulisan Arab. Selain itu, terdapat sejumlah 14 huruf Arab yang tidak hadir dalam lafaz penutur Melayu (tha, ha “pedas”, kha, dz, sya, Sad, dhad, To, Zo, ‘a, gha, fad an qa). Hanya mereka yang mempelajari sistem transliterasi (lambang sebutan) dapat melafazkan aksara Arab berkenaan dengan sebutan yang fasih.

Dalam bab seterusnya, Za’ba memperincikan golongan kata, imbuhan dan asas sintaksis bahasa Melayu. Istilah yang digunakan memang berbeza dengan kajian linguistik moden, namun Za’ba sangat berjasa dalam mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai jiwa bangsa, atau lambang jati diri di alam Melayu.

Pelita Bahasa Melayu Penggal II

Dengan ketebalan 202 muka surat, penggal II tertumpu terhadap asas karang-mengarang. Za’ba member penekanan bahawa karangan terbentuk daripada sekumpulan ayat. Bermula dengan asas subjek dan predikat, huraian dikembangkan kepada jenis dan ragam ayat, tanda baca dan penggunaan rangkai kata (frasa) penerangan. Za’ba memberikan petua mengarang daripada karangan biasa hinggalah kepada genre tradisional, cereka dan surat kiriman.

Pelita Bahasa Melayu Penggal III

Kali ini jumlah muka suratnya ialah 295 halaman. Za’ba menujukan buku penggal III untuk darjah tinggi sekolah Melayu dan penuntut tahun pertama maktab perguruan. Dalam kata lain, Za’ba berhasrat menjadikann ya sebagai lanjutan Pelita Bahasa Melayu Penggal I dan Penggal II.

Walaupun ditulis 10 tahun sebelum Tanah Melayu bebas daripada cengkaman penjajah Inggeris, Za’ba telah menzahirkan harapan agar bahasa Melayu dimajukan sebagai bahasa rasmi pemerintahan yang dihormati dan dipelihara martabatnya. Za’ba juga menyeru ahli bahasa supaya bersikap lapang dada dan realistik demi kemajuannya. Sama seperti saranan sosiolinguistik, Za’ba berpendapat bahawa perubahan tatabahasa tidak dapat ditahan. Misalnya, lambat-laun penggunaan “di” untuk masa (di hari, di zaman) akhirnya terpaksa diterima sebagai betul jua.

Za’ba telah menulis tiga bab khusus untuk menerangkan kesalahan dan kecacatan dalam karangan. Beliau memberi teguran tentang pemilihan kata (diksi), kecenderungan menulis ayat yang panjang-panjang dan penggunaan perkataan yang pelik-pelik. Pada Za’ba, sesebuah karangan yang baik itu ialah karangan yang mudah difahami dan fokus (dihadkan).

Za’ba turut membuat analisis beberapa prosa klasik dan contoh karangan yang ditulis oleh murid beliau sendiri. Selain itu, beberapa contoh karangan yang lengkap turut dimuatkan. Sebagai panduan kepada guru, Za’ba menyediakan sejumlah 76 rangka karangan rencana dan sembilan kumpulan tajuk karangan yang lain.

Aplikasi Naskhah Za’ba dalam proses pembelajaran bahasa

Sesudah membaca dan meneliti isi kandungan karya Pendeta Za’ba, PB berpendapat bahawa ketokohan Za’ba sebagai bapa tatabahasa Melayu moden patut didedahkan kepada murid. Sumbangan besar Za’ba membina asas tatabahasa pegangan hingga kini patut diketahui oleh murid. Petua karang-mengarang yang disarankan juga tetap relevan sampai bila-bila.

Kerja menelaah buku setebal lebih 800 muka surat itu memang memeritkan jika ketiadaan minat, kurang sabar, atau menghidap sindrom cepat bosan. Jika diberi pilihan, PB sendiri mungkin tidak sanggup membaca naskhah asal Pelita Bahasa Melayu tiga penggal itu. Hanya perasaan ingin tahu berjaya mengekalkan PB untuk membaca keseluruhan naskhah hebat Za’ba yang bertaraf magnum opus alam Melayu berkenaan.

Jika naskhah Za’ba hendak digunakan dalam perbincangan profesional guru bahasa Melayu dan aktiviti pembelajaran di bilik darjah, modul yang lebih mudah perlu disediakan terlebih dahulu. Penggunaan carta, peta minda dan teknik permainan mungkin boleh diikhtiarkan. Sebagai permulaan, guru-guru bahasa Melayu harus sanggup berbengkel dan bersidang untuk menghasilkan modul pembelajaran bahasa ala Za’ba yang mudah, memikat dan menghadirkan keseronokan kepada murid, dan bukan sebaliknya…

Wednesday, March 17, 2010

MAJALAH "THE MICHAELIAN" EDISI 61 SEDIA UNTUK DIEDARKAN (THE MICHAELIAN'S MEGAZINE 2009 DOWN MEMORY LANE)

Lebih 300 orang bekas murid tingkatan 5 tahun 2009 telah menerima naskhah salinan The Michaelian edisi 61 semasa mengambil keputusan SPM baru-baru ini. Mereka boleh dianggap bertuah sebagai antara pembaca terawal yang dapat menatap majalah kebanggaan sekolah itu. Warga SMK St Michael, Ipoh (SMI) yang lain perlu menunggu hingga minggu hadapan apabila sekolah dibuka semula setelah bercuti seminggu.

Sementara itu, calon STPM 2009 (SMI) seramai 203 orang juga boleh berbuat demikian pada pertengahan minggu hadapan. Majalah boleh dituntut daripada guru tingkatan masing-masing dengan syarat semua yuran telah dijelaskan. Barang diingat bahawa bayaran untuk The Michaelian berjumlah RM 10 dibuat menerusi akaun PIBG.
Rata-rata pelajar yang menerima naskhah majalah SMI 2009 amat berpuas hati dengan mutu dan kandungannya. Reka bentuk kulit hadapan yang menggambarkan tema Upholding the Great Michaelian Ethos juga berjaya menambat hati mereka. Foto, laporan dan penulisan yang dimuatkan sudah tentu menggamit memori dan menjadi catatan kenangan yang amat indah.

Sekalung tahniah atas terbitnya buah tangan SMI yang menerima sentuhan akhir (Joanna) Ooi Jing Zhi, selaku teraju sidang redaksi setelah mengambil alih tugas Nicholas Ling Jern Whey yang menyambung pengajian di sebuah kolej pada penghujung 2009. Hasrat pihak sekolah untuk menjadikan naskhah The Michaelian sebagai  hasil kerja dan milik pelajar sepenuhnya begitu terserlah. Panel guru penasihat lebih banyak berperanan sebagai pembimbing dan penjaga supaya segala kandungan majalah akan sentiasa menepati syarat penerbitan dan kawalan yang ditetapkan.

Sekali lagi syabas dan tahniah buat pasukan sidang redaksi The Michaelian edisi 61...

Tuesday, March 16, 2010

HARI SUKAN SMI DIRASMI "LEGENDA" KRIKET (MICHAELIAN SPORT'S DAY AS SCHEDULED)

SMK St Michael, Ipoh (SMI) meneruskan langkah menjemput bekas Michaelian yang berjaya di pentas antarabangsa bagi merasmikan pembukaan kejohanan sukan tahunan yang dijadualkan pada 1 April ini. Walaupun sukan kriket tidak dikategorikan sebagai sukan popular dan mainstream di Malaysia, peluang untuk beraksi di peringkat antarabangsa terbuka luas buat anak-anak muda memandangkan saingan perebutan tempat tidaklah sehebat sukan popular seperti bola sepak dan badminton. Malah, saban tahun SMI masih berjaya menghantar beberapa orang pemain kriket bertanding di peringkat kebangsaan.
SMI berharap bahawa dengan menjemput bekas jagoan sukan yang pernah bergelar Michaelian, walaupun mereka sudah lanjut usia, rekod yang mereka pegang boleh menjadi inspirasi. Apatah lagi, hakikat bahawa separuh daripada markah kokurikulum akan diambil kira daripada bidang sukan. Pengumuman Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia itu mesti diberi perhatian yang serius. Zaman ulat buku per se kini boleh dianggap sebagai sejarah.

Demi berlaku adil, pihak Kementerian Pelajaran harus memikirkan cara supaya semua pelajar memiliki peluang sama rata untuk mengambil bahagian dalam sukan. Anggapan bahawa sukan akan menjadi monopoli murid yang cekap dan tangkas dari segi jasmani semata-mata perlu dikikis. Kini, banyak acara sukan turut mementingkan kekuatan minda dan ketepatan seperti acara boling padang, memanah, menembak, pentanque, dan bermacam-macam sukan tradisi. 

Bagi pelajar berkeperluan khas pula, acara paralimpik boleh dipelbagaikan. Jika ada murid sedemikian di sekolah harian biasa, mereka juga harus didaftarkan. Di SMI, konsep the lost, the last, the least memang sentiasa diambil kira...

MENJAGA DIRI DARIPADA PENGARUH TABIAT BAKHIL (THE MORE WE GIVE, THE MORE WE GAIN)

Lebih banyak kita memberi, lebih banyak kita akan terima. Proses pembelajaran  pula menjadi lebih berkesan jika kita lebih banyak mengajar (kawan-kawan kita). Setiap kebaikan dan sifat pemurah menjadi rahsia kejayaan seseorang.

bersambung...

Monday, March 15, 2010

KUASA "SAKTI" DI ST. MICHAEL (THE MAGIC OF PROVERB AT SMI)

Mata pena lebih tajam daripada mata pedang. Kata-kata yang baik umpama pohon yang baik, mengakar dan merimbun. Perkataan baik yang dilafazkan bagaikan butir mutiara yang teramat tinggi nilainya.

SMK St. Michael, Ipoh (SMI) mahu membuktikan hakikat kebijaksanaan yang terungkap dalam khazanah kitab-kitab yang bertaraf autentik. Jabatan Bahasa telah membuat "pelaburan" yang tepat apabila menggantung ratusan perspek yang tertera kata-kata hikmah dan peribahasa di sepanjang laluan strategik  untuk tatapan warga SMI. Usaha ini juga berupa aplikasi kepada pembelajaran menerusi penglihatan, atau ringkasnya: "saya lihat, maka saya ingat".
Versi bahasa Malayu menggunakan fon warna putih ber"tanah" hijau, manakala versi bahasa Inggeris pula menggunakan putih dan biru. Di samping menghargai kebijaksanaan, usaha itu diharap dapat membantu warga SMI, khususnya murid menerapkan nilai murni dalam proses pemantapan tingkah laku dan sahsiah yang luhur. Seterusnya kata-kata hikmah dan peribahasa juga bakal mencetuskan dorongan ke arah penggunaan unsur kecindan dalam penulisan dan pertuturan rasmi.
Buat masa ini papan kata-kata hikmah dan peribahasa dibiarkan kekal berada di tempat yang sama hinggalah keputusan lain dibuat. Pihak Jabatan Bahasa akan menilai keberkesanan projek itu dalam tempoh tertentu. Instrumen penilaian yang mungkin digunakan ialah kuiz lisan semasa perhimpunan rasmi sekolah.
Sebagai sebuah organisasi pendidikan, SMI mesti mencuba pelbagai pendekatan supaya proses pembelajaran terus berlaku secara optimum. Projek seumpamanya mungkin telah dilaksanakan di sekolah lain. Namun, kelebihan SMI ialah dari segi reka bentuk papan kata hikmah dan peribahasa, serta persembahannya.
Kepesatan perkembangan teknologi komunikasi menghadirkan cabaran getir terhadap kelangsungan penggunaan bahasa baku, rasmi atau "standard". Bahasa "rojak", slanga dan singkatan ejaan dalam penulisan mesej pesanan ringkas (SMS) dan laman sembang internet menular dlam percakapan dan penulisan murid sekolah. Projek kata hikmah dan peribahasa diharapkan menjadi salah satu benteng kebahasaan yang kukuh lagi teguh.

Generasi muda perlu sentiasa diingatkan bahawa bahasa jiwa bangsa, bahasa menunjukkan bangsa dan bahasa ialah pancaran akal budi insan. Penggunaan bahasa yang baik melambangkan jati diri dan tahap tamadun sesuatu bangsa. Setidak-tidaknya daya usaha Jabatan Bahasa SMI menyumbang terhadap cita-cita sebuah bangsa yang berdaulat dan bermaruah...

Sunday, March 14, 2010

MELAYAN IMAGINASI KANAK-KANAK (LEARNING EXPERIENCE FOR CHILD)

Semua bangsa yang kuat memberi perhatian terhadap potensi kanak-kanak. Empayar Rom menyediakan kanak-kanak lelaki mereka dengan latihan tahan lasak. Namun, era kehebatan fizikal per se sudah berlalu. Pengalaman kanak-kanak perlu dipelbagaikan.
Penulis blog (PB) sempat menghadiri dua majlis sambutan hari lahir berselang hujung minggu. Seorang kanak-kanak lelaki, dan seorang lagi perempuan. Si lelaki diraikan di sebuah restoran makanan segera, si perempuan di sebuah kafe. Persamaannya, ialah majlis turut dimeriahkan oleh golongan dewasa.
Memotong kek mungkin tradisi Barat. Namun, tiupan lilin ditiadakan sebagai menunjukkan perbezaan. Kegembiraan tidak berkurangan.
Kehadiran datuk dan nenek suatu penghargaan. Bukan mudah untuk mengumpul tiga generasi dalam satu majlis kecil-kecilan sekali gus. Mudah-mudahan mereka dikurniakan kesihatan yang baik, panjang umur dan murah rezeki.

bersambung...

Saturday, March 13, 2010

PENGURUSAN SUKAN SEKOLAH RENDAH (ELEMENTARY SCHOOL'S SPORT MANAGEMENT)

Perkembangan potensi dan fakulti kanak-kanak digembleng menerusi aktiviti kognitif, afektif dan psikomotor. Dalam bahasa yang lebih mudah, proses pembelajaran menjurus kepada peningkatan keupayaan pengetahuan, sikap dan kemahiran. Ketiga-tiga elemen berkenaan  juga menjadi asas konsep modal insan yang diketengahkan secara teratur oleh sarjana ekonomi pendidikan  (khususnya Scultz) pada dekad 1960-an. Perbahasan secara ekonometrik tentang teori perbakian (residual) masih menjadi bahagian kuliah yang penting dalam bidang berkenaan.

Ketika bertugas di SM Teknik Ipoh (Persiaran Brash), penulis blog (PB) pernah diminta oleh pentadbiran sekolah untuk menyenaraikan beberapa tema untuk kejohanan sukan tahunan. Daripada 10 cadangan yang PB kemukakan, tema "kecemerlangan melalui sukan" menjadi pilihan pihak sekolah. Ertinya, bidang sukan boleh dianggap sebagai wahana kecemerlangan pendidikan asalkan falsafah, serta pengurusan sukan peringkat sekolah diberikan perspektif yang jelas.
Baru-baru ini, PB berkesempatan menghadiri kejohanan sukan tahunan SK Seri Ampang, Ipoh. Acara dimulai dengan perarakan bendera kejohanan dan perbarisan kontinjen empat rumah sukan yang mengambil bahagian. Latihan dan raptai yang dijalani membantu kelancaran pergerakan murid dalam acara pembukaan sukan itu.
Seperti biasa, tuan rumah akan mengalu-alukan kehadiran tetamu dan ibu bapa, di samping menaikkan semangat para peserta kejohanan. Ucapan disampaikan oleh Guru Besar, Yang Mulia Raja Zainal Abidin. Walaupun tanpa teks ucapan, beliau berjaya membuat kawalan  jangka masa dengan baik.
Ucapan persamian dilakukan oleh bekas Yang Dipertua PIBG SK Seri Ampang. Sebagai orang lama, banyak nostalgia hendak diceritakan. Ada baiknya teks ucapan disediakan sebagai kawalan masa, kerana seorang murid lelaki pitam akibat berdiri agak lama.
Temasya sukan peringkat sekolah telah dimulai seawal sesi persekolahan dengan aktiviti latihan, saringan, sukan tara dan kebanyakan acara akhir diselesaikan sebelum hari sukan secara rasmi. Biasanya hanya acara pecut, tarik tali dan jemputan dipilih untuk pertandingan hari kemuncak sukan sekolah. Kemeriahan jelas tergambar dengan variasi warna pakaian dan khemah pasukan rumah sukan.
Pengalaman dikalungkan pingat kemenangan mungkin menjadi kenangan manis kepada peserta yang beroleh kejayaan. Lebih-lebih lagi, peluang untuk bertanding di peringkat lebih tinggi mungkin terbentang luas. Terpulang kepada pihak sekolah untuk terus menggilap bakat kanak-kanak dalam bidang sukan sebagai pelengkap kecemerlangan akademik...