SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, February 5, 2011

SAJAK "KECEK - (V)" KOMSAS TINGKATAN 5 (THE BREACH OF TRUST)

Pengenalan

Sajak empat rangkap bernombor siri karya Awang Abdullah yang bertajuk "Kecek - (V) dipilih untuk pembelajaran komsas tingkatan 5 menerusi antologi "Dirgahayu Bahasaku", muka surat 22 - 23. Sumber ambilan asalnya ialah Dewan Sastera, 1989. Maknanya, sajak "Kecek - (V)" telah berusia lebih dua dekad, tetapi kekal relevan sepanjang zaman.

Bahagian pengenalan antologi (muka surat 18) memberikan gambaran yang agak terperinci tentang maksud sajak yang disampaikan. Antara lain dicatatkan:

1   Penyajak secara sinis menegur sikap orang kaya yang tidak jujur dalam mengumpul harta untuk diri dan keluarga;

2     Orang kaya sanggup melihat orang lain hidup susah asalkan mereka hidup senang di dunia ini;

3    Orang miskin seperti petani dan nelayan walaupun hidup susah, tetapi tidak pernah menyusahkan orang lain untuk mendapatkan sesuap nasi buat diri dan keluarga;

4     Apa-apa sahaja yang kita lakukan di dunia tidak terlepas daripada pengetahuan Allah;

5     Perbuatan yang baik pasti mendapat balasan yang baik, sementara perbuatan yang jahat pasti akan mendapat balasan yang setimpal.

Analisis Rangkap demi Rangkap

          1
          seorang pengarah
          membuka akaun semasanya
          di sebuah bank ternama
          tetapi dalam diam
          dia mencantum kemiskinan
          orang lain
          ke dalam amanahnya
          yang telah lama pecah.

Seorang pegawai tinggi bertaraf pengarah membuka akaun semasa (boleh mengarahkan bank membuat bayaran dengan menandatangani cek) di sebuah bank terkenal. Proses membuka akaun semasa memerlukan tapisan yang ketat dari segi pendapatan dan kedudukan seseorang. Pengarah yang disebut oleh penyajak telah menggunakan kedudukannya dengan melakukan pecah amanah, iaitu menyeleweng dengan cara menafikan hak-hak orang-orang miskin untuk menambah kekayaan diri sendiri secara senyap.

           2
           di kampung
           seorang petani
           membuka akaun kemiskinannya
           di ruang kedaifan
           dan mengunci sedozen anak-anaknya
           di dalam pagar sengsara
           tetapi dia tidak pernah mencantum
           kekayaan orang lain
           ke dalam getirnya
           yang sudah lama
           berumbi.

Sebaliknya, seorang petani kampung hanya mampu kekal dalam kemiskinan dengan rumah yang serba daif dengan bilangan anak yang ramai dalam kesengsaraan hidup susah. Petani tidak pernah mengambil milik kekayaan orang lain. Dia pasrah dengan getir hidup (kesusahan) yang sudah sebati, serta telah diwarisi generasi demi generasi. 

           3
           di pantai
           seorang nelayan
           membuka akaun sengsaranya
           di rahang lalut ternganga
           dan mengurung sederet anak-anaknya
           di bawah pusaran nasib
           tapi dia tidak pernah mengumpul
           kesenangan orang lain
           ke dalam kegusarannya
           yang telah sekian musim
           berlumut
           di papan hidupnya.

Seorang nelayan pantai juga hanya bertahan dengan kesusahan hidup mencari rezeki di laut lepas yang penuh risiko. Walaupun terpaksa berkongsi nasib hidup yang tidak menentu dengan sejumlah anak yang ramai, sang nelayan juga tidak pernah mengambil kesempatan atas kesenangan orang lain bagi menoktahkan kesusahan hidup yang dilalui. Nelayan sudah terbiasa, lali, dan mangli dengan kemiskinan yang telah mencengkam hidup mereka anak-beranak sekian lama.

          4
          Tuhan tidak pernah mungkir
          mencatatkan setiap angka
          dan nilai hitungan paling kecil
          ke dalam akaun-Nya
          di rumah keadilan.

Setiap sen harta dan kekayaan yang dimiliki tidak akan terlepas daripada catatan Tuhan. Semuanya akan dihitung dan disoal pada hari kiamat kelak. Janji Tuhan ialah keadilan terhadap mereka yang memperoleh harta secara bersih, berbanding dengan golongan yang menimbun-nimbun harta secara tidak sah.


Contoh Tugasan


Soalan petikan:


1.   Jelaskan maksud rangkap pertama dalam sajak   (3 markah)


2.   Gambarkan kemiskinan golongan petani dan nelayan.   (4 markah)


3.   Bagaimanakah sumber kekayaan seseorang akan diadili?  (2 markah)


Soalan kbkk:


4.   Cadangkan dua cara untuk menyemai perasaan benci terhadap rasuah dalam kalangan generasi muda. (3 markah)


5  Pada pendapat anda, mengapakah kemiskinan golongan petani masih belum dapat diatasi dengan berkesan? (4 markah)


6    Jelaskan dua faedah meningkatkan taraf hidup nelayan mengikut pandangan anda.  (4 markah)


Soalan komsas:


7    Nyatakan tiga persoalan yang terdapat dalam sajak.    (4 markah)


8    Jelaskan dua latar masyarakat sepertimana yang digambarkan oleh penyajak.   (4 markah)


9    Huraikan dua pengajaran yang terdapat dalam sajak.   (4 markah)


Selamat mencuba. Hantarkan jawapan anda menerusi e-mel.

No comments: