Terima kasih saudara pengacara majlis
Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat sejahtera
Yang Berusaha Tuan pengetua, penolong-penolong kanan, guru kanan, guru dan Michaelian sekalian.
Saya, Cikgu ____________________, mewakili Jawatankuasa Keselamatan Sekolah memohon perhatian semua warga SMI, baik guru ataupun murid supaya dapat mengikuti taklimat ringkas tentang latihan kawad pengungsian bangunan dan demonstrasi memadam kebakaran yang bakal dilaksanakan pada minggu hadapan.
Mengikut prosedur biasa Jabatan Bomba dan Penyelamat, sesebuah premis jabatan kerajaan mestilah mempunyai pelan keselamatan kebakaran dan mengadakan latihan mengikut pelan berkenaan sekurang-kurangnya dua kali dalam setahun. Akta Bomba memperuntukkan kuasa kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memastikan bahawa peraturan ini dipatuhi tanpa gagal. Maksudnya proses undang-undang boleh digunakan terhadap jabatan kerajaan yang cuai. Premis sekolah tidak terkecuali.
2 Konsep Latihan
Sebenarnya banyak tahap latihan yang perlu dilalui oleh warga sekolah. Ini termasuk ujian masa dan simulasi kebakaran. Namun demikian latihan kali ini akan memberi fokus terhadap ujian masa dalam konteks pengungsian bangunan. Pihak sekolah mengharapkan kerjasama sepenuhnya dari seluruh warga sekolah sama ada pihak pengurusan, guru, kakitangan dan pelajar. Kejayaan kita memenuhi kehendak latihan akan menggambarkan bahawa SMK St Michael, Ipoh benar-benar merupakan sekolah selamat dan warganya mempunyai tahap kepekaan dan persediaan yang tinggi dalam menghadapi kemungkinan risiko kebakaran.
3 Maksud Pengungsian Bangunan
Dalam bahasa yang mudah, pengungsian bangunan bererti bahawa para penghuni sesebuah bangunan keluar daripada bangunan berkenaan secara tenang dan teratur mengikut pelan laluan menuju tempat berkumpul dengan hanya membawa dokumen terpenting sahaja. Ringkasnya, sehelai sepinggang. Mengikut piawai latihan kebakaran, masa maksimum yang diambil untuk berkumpul di tempat yang ditetapkan ialah tujuh minit sahaja.
4 Modus Operandi Latihan Keselamatan Kebakaran SMK St Michael, Ipoh 2011
Pihak sekolah telah memutuskan bahawa latihan akan diadakan secara mengejut, iaitu bermula pada hari Isnin, 21.2.2011. Apabila deringan loceng secara berterusan dibunyikan pada waktu pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung, semua aktiviti bilik darjah, makmal, bengkel dan seumpamanya hendaklah dihentikan. Guru yang sedang mengajar hendaklah mengarahkan pelajar beratur mengikut pelan laluan yang ditetapkan menuju tempat berkumpul. Hanya dokumen pengenalan diri yang perlu dibawa bersama-sama. Pelajar diingatkan supaya tidak bersenda gurau, bertolak-tolak atau berebut-rebut ketika bergerak, terutamanya apabila hendak menuruni tangga. Pelajar juga tidak dibenarkan menggunakan sebarang jalan pintas atau dengan sengaja menghilangkan diri dalam latihan ini. Tindakan disiplin boleh dikenakan terhadap mereka yang ingkar arahan.
Untuk latihan kali ini pihak sekolah menggunakan padang sebagai tempat berkumpul. Pelajar dikehendaki bergerak menuju depan astaka. Pelajar yang berada di tingkat atas bangunan hendaklah bergerak dan menuruni tangga yang mengarah ke tempat berkumpul sahaja. Semua guru juga perlu bergerak mengikut laluan pelan blok ketika itu. Patuhi pelan laluan yang telah disediakan di setiap kelas.
Guru yang sedang mengajar tadi hendaklah mengawal pergerakan murid dan akan menyemak kehadiran pelajar di tempat berkumpul, serta melaporkannya kepada pegawai panggilan baris yang seterusnya bertanggungjawab kepada pegawai insiden. Pegawai insiden ialah Tuan Pengetua, dan dibantu oleh Penolong Kanan HEM. Pegawai panggilan Baris (Guru PKBM) akan menerima laporan lisan kehadiran setiap kelas, kemudian melaporkan jumlah kesemuanya kepada pegawai insiden.
Setelah selesai, pelajar yang berkumpul dikehendaki mendengar ulasan dan penilaian latihan oleh tuan pengetua. Jika beliau tidak berpuas hati, latihan pengungsian bangunan berkenaan boleh diulangi serta-merta. Saya percaya warga SMI boleh melakukannya sekali sahaja, insya-Allah.
SMK ST MICHAEL, IPOH: CARTA ALIRAN LATIHAN
LOCENG KECEMASAN DIBUNYIKAN
|
P & P DIHENTIKAN SERTA-MERTA
|
GURU DALAM KELAS ARAH PELAJAR BERATUR
|
BERGERAK MENGKUT LALUAN KE TEMPAT BERKUMPUL
|
TEMPOH PERGERAKAN DICATAT OLEH PEGAWAI LATIHAN
|
SERAHAN BUKU DAFTAR PELAJAR DAN SEMAKAN OLEH GURU
|
PROSES MELAPOR KEPADA PEGAWAI INSIDEN
|
PENILAIAN LATIHAN OLEH TUAN PENGETUA
|
2 comments:
assalamualaikum. nak mintak izin pinjam teks boleh tak
W.salam,
silakan ...
Post a Comment