SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, April 21, 2011

"SELOKA SI LUNCAI" KOMSAS TINGKATAN 5 (A MISCHIEVOUS PRANK AND WIT)

Pengenalan

Hanya 47 patah kata dan 12 baris, tetapi mengandung maksud yang begitu mendalam. Termuat dalam antologi "Dirgahayu Bahasaku" muka surat 13, seloka selenggaraan Md. Ali Bachik itu bertemakan penggunaan akal dalam membuat keputusan dan tindakan. Sebenarnya terdapat banyak versi kisah Luncai yang suka mengenakan orang, termasuk raja, tetapi untuk komsas tingkatan 5 sisi negatif sikap si Luncai yang ditonjolkan buat diambil pengajaran dan ingatan generasi muda Malaysia.

Perbincangan


          Sikap Si Luncai, biarkan, biarkan ...
          Ada rumah tidak dijaga,
          Ada anak tidak dilatih,
          Ada ternakan tidak dibela,
          Ada kebun tidak ditanam,
          Ada cerdik tidak selidik,
          Ada belajar kepalang ajar,
          Ada mengaji tiada mengkaji,
          Ada mata tiada kuasa,
          Ada kuat tiada buat,
          Biarkan, biarkan ...!
          Si Luncai pun terjun dengan labu-labunya.


Secara amnya, Si Luncai memiliki begitu banyak kelebihan dan peluang, tetapi tidak pernah cuba memanfaatkan semuanya. Seawal baris pertama lagi seloka telah menegaskan sikap Si Luncai yang tiada wawasan, tiada kesungguhan dan tiada keinginan memajukan sumber yang dimiliki. Sebaliknya bagi Si Luncai hanyalah "biarkan, biarkan ..", iaitu mensesiakan segala kelebihan dan peluang begitu sahaja.


Terdapat sembilan perkara yang Luncai ada, tetapi semuanya tidak dimanfaatkan, atau tiada tindakan susulan, termasuk:

   1   Rumah tidak dijaga:  kediaman yang tidak terurus sebagaimana layaknya

   2   Anak tidak dilatih:  anak juga terbiar tanpa latihan, maknanya terdedah kepada kejahilan

   3   Ternakan tidak dibela:  binatang ternak dilepaskan tanpa pengawasan dan perancangan

   4   Kebun tidak ditanam:  kebun terbiar tanpa diusahakan

   5   Cerdik tidak selidik:  Kepintaran tidak diserlahkan dalam keperibadian dan tindakan

   6   Belajar kepalang ajar:  Menuntut ilmu secara sambil lewa

   7   Mengaji tiada mengkaji:  Memiliki ilmu, tetapi tidak pernah nampak natijah / impak / implikasi / kesan

   8   Mata tiada kuasa:  Melihat dengan pandangan kosong, tidak nampak peluang yang muncul

   9   Kuat tiada buat:  Tenaga tidak digunakan (dimobilisasi) ke arah kebaikan

Pada baris ke-11, sekali lagi sikap "biarkan, biarkan...!" Si Luncai diulang supaya pembaca yang mungkin sudah berasa geram dan kesal akan kembali ke garisan mula tentang sikap tegar Si Luncai yang perlu mereka jauhi dan buang jauh-jauh daripada menjadi stigma dalam diri masing-masing. Sikap tidak kisah Si Luncai disimpulkan dengan lambang tindakannya terjun dengan labu-labunya. Dalam kata lain, sikap yang demikian bukan sahaja membazirkan kelebihan, peluang dan sumber yang dimiliki, bahkan menjerumuskan seseorang ke dalam kancah kebinasaan dan kemusnahan diri.

Contoh Tugasan

i)    Nyatakan dua contoh sikap Si Luncai.    (2 markah)

ii)   Jelaskan dua akibat sikap ambil mudah dalam kalangan masyarakat?   (4 markah)

iii)  Berikan tiga pengajaran daripada Seloka Si Luncai.   (3 markah)

Analisis Tugasan

Soalan i)  aras petikan: ambilan jawapan daripada petikan seloka, tanpa ubah suai

Soalan ii)  aras kbkk:  ambilan jawapan luar petikan, idea sendiri

Soalan iii)  aras komsas:  pengajaran ditulis bermula dengan "kita hendaklah / kita janganlah ..."

Contoh ayat jawapan

i)  Dua sikap Si Luncai ialah tidak menjaga rumah dan tidak melatih anak.

ii) Sikap ambil mudah dalam kalangan masyarakat mengakibatkan pembaziran sumber yang sepatutnya mendatangkan faedah dan kemajuan. Selain itu, masyarakat akan sentiasa ketinggalan kerana tidak merebut peluang yang terbentang di hadapan mata.

iii)  Pengajaran seloka termasuk kita hendaklah menggunakan segala kelebihan yang dimiliki. Kita juga hendaklah menjaga harta yang ada. Kita janganlah membiarkan segala peluang yang muncul berlalu begitu sahaja.

2 comments:

Anonymous said...

cikgu dekat title blog cikgu mengharap redha- Nya itu salah..perkataan redha sepatutnya dieja dengan reda. maaf, sekadar berkongsi ilmu

cikgu azhar said...

terima kasih atas teguran dan juga pembetulan.

"pelanggaran" yang dilakukan itu lebih bersifat kaedah transliterasi sebutan bahasa arab dengan lahzah dan makhraj yang tersendiri.

memang benar bahawa tiada ejaan 'redha' dalam kamus dewan (edisi IV: muka surat 1301).

tidak mengapa jika masih dikekalkan pada tajuk blog ini, kan?