Saturday, August 20, 2011
TRAVELOG RAMADAN MEMACU KECEMERLANGAN UMAT (LEARNING AND SELF-REFORMATION AT THE END OF FASTING MONTH)
Bulan rahmah, keampunan dan pembebasan daripada api neraka, yakni Ramadan, sudah memasuki fasa penghujung. Perjalanan masa yang berlalu menandakan usia kita makin singkat dan suntuk bagi mengumpul bekalan taqwa yang menjadi penanda aras kecemerlangan iman, syariat dan akhlak yang kita dambakan. Mudah-mudahan madrasah Ramadan tahun 1432 Hijriyyah ini benar-benar membawa perubahan ke arah penambahbaikan dari segi ilmu dan amal kita secara berterusan sepanjang hayat kita.
Travelog berasal daripada cantuman kosa kata travel dan monologue. Dalam bahasa yang mudah, travelog bermaksud catatan, keterangan atau kisah tentang perjalanan atau pengembaraan seseorang (Kamus Dewan Edisi IV, 2005: 1713). Travelog juga boleh dipersembahkan dalam bentuk bersemuka seperti kuliah, risalah, wacana dan multimedia, atau difilemkan.
Rekod atau atur cara dalam sesuatu pakej pelancongan juga boleh disebut sebagai travelog, atau biasa juga dinyatakan sebagai itinerary. Gambaran asas perjalanan akan memberi maklumat kepada pelancong untuk memilih pakej pelancongan yang sejajar dengan kecenderungan dan kemampuan kewangan peribadi. Namun, penganjur pakej akan turut meletakkan penafian (disclaimer) memandangkan banyak perkara yang bakal dihadapi hakikatnya di luar kawalan dan sumber manusia.
Ramadan juga ialah perjalanan dan pengembaraan jasmani, emosi, rohani dan inteleks yang membentuk domain utama pendidikan. Sebelum menjengah Ramadan, umat Islam sibuk melakukan ulang kaji ilmu tentang konsep dan pelaksanaan puasa sebagai rukun Islam Islam ketiga dan bulan kesembilan dalam takwim Hijriyyah. Kini, setelah Ramadan makin hampir pamit, adakah perjalanan menuju destinasi taqwa yang mudah dilafazkan, tetapi tidak semudah itu tercapai, sudah dekat?
Cabaran getir Ramadan ialah pantulan realiti cabaran yang dihadapi oleh umat sepanjang zaman, apatah lagi apabila berhadapan dengan agenda tersembunyi musuh yang menggunakan pelbagai peluru dan taktik yang sungguh licik. Jumlah umat Islam yang besar bukanlah jaminan kemenangan andai mereka umpama buih ketika air bah sebagaimana yang diisyaratkan lewat sebuah hadith tentang akhir zaman. Adakah bulan Ramadan sebagai pesta kebajikan dan perkongsian dapat dilanjutkan hingga menunggu Ramadan berikutnya?
Maka, Ramadan sebagai satu catatan perjalanan dan pengembaraan jasmani, emosi, rohani dan inteleks seharusnya dapat mengikat umat dengan konsep taqwa yang terjelma menerusi persaudaraan dan perpaduan (ukhuwwah), lantas membuka laluan mudah terhadap usaha menyebarkan risalah tawhid untuk kesejahteraan manusia sejagat (rahmatan lil 'alamin). Sesungguhnya lulusan madrasah tarbiyyah Ramadan bagaikan sekumpulan askar yang telah dilengkapi dengan disiplin, ilmu pertempuran dan teknologi terbaharu. Askar yang bertaqwa tidak bertindak sebarangan atau melulu, sebaliknya menumpahkan taat setia (wala') yang tidak berbelah bahagi kepada misi pasukan dan kebijaksanaan kepimpinan...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment