SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, August 16, 2011

MENGINSTITUSIKAN AL-QUR'AN DALAM KEHIDUPAN (THE FINAL SYNTHESIS OF WISDOM AND PRACTICE)

Tanggal 17 Ramadan ialah detik bersejarah turunnya ayat al-Qur'an yang pertama kepada baginda Junjungan Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wasallam menerusi perantaraan malaikat Jibrail di Gua Hira'. Ayat pertama yang diwahyukan ialah Iqra' yang bererti bacalah. Sejak itu al-Qur'an tidak putus-putus dibaca, ditelaah, dikaji dan dijadikan rujukan muktamad umat Islam merentas ruang dan waktu.

Al-Qur'an ialah mukjizat yang diturunkan kepada baginda Junjungan Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wasallam untuk menjadi pegangan orang-orang yang beriman dan digandingkan dengan al-Hadith atau sunnah baginda. Allah sendiri yang memelihara al-Qur'an walaupun orang-orang kafir sentiasa berusaha menjauhkan al-Qur'an daripada umat Islam. Sebarang cubaan mereka untuk menafikan kesucian kitab al-Qur'an akan menemui kegagalan.

Para sarjana orientalis (orang Barat yang mengkaji masyarakat Islam dan timur) mengakui hakikat kebenaran al-Qur'an, tetapi justeru hati mereka ada penyakit, maka mereka bertindak sebaliknya. Tony Blair, mantan Perdana Menteri Britain dilaporkan membaca naskhah terjemahan al-Qur'an setiap hari. Begitu juga pendeta-pendeta Yahudi dan Nasrani yang fasih tentang al-Qur'an, tetapi mereka bertujuan melakukan putar belit tentang mesej al-Qur'an.

Pemuka-pemuka Barat sebenarnya tidak kisah jika umat Islam membaca al-Qur'an secara lafaz zahir sahaja. Kalau boleh biarlah al-Qur'an hanya dibacakan untuk orang-orang yang sedang nazak, atau dalam majlis-majlis kematian dan di pusara. Selain itu, naskhah al-Qur'an tersimpan dalam rak yang tinggi tanpa dibaca.

Hakikatnya al-Qur'an perlu dibacakan kepada orang-orang yang masih hidup lagi sihat kerana hanya mereka yang memiliki daya upaya bagi melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Umat Islam perlu menelusuri sirah  baginda Junjungan Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wasallam supaya mereka dapat mempelajari bacaan al-Qur'an yang sentiasa dipindahkan terus dalam segala urusan kehidupan, tanpa kecuali. Dalam kata lain, isi kandungan al-Qur'an diinstitusikan dalam kehidupan individu, keluarga, masyarakat, negara dan hubungan antarabangsa.

Al-Qur'an bukanlah alunan melankolik mendayu-dayu sekadar halwa telinga. Kandungan al-Qur'an sarat dengan kisah teladan umat terdahulu, khabar gembira dan ancaman. Al-Qur'an telah menggerakkan generasi awal Madinah untuk mengabdikan diri hanya kepada Allah, hingga akhirnya kekuatan yang dibina memungkinkan umat pernah menguasai dua per tiga muka bumi.

Seperti yang diisyaratkan lewat hadith, umat Islam akhir zaman bagaikan buih (di permukaan air), iaitu jumlahnya besar, tetapi tidak kuat. Mereka berjaya dijauhkan daripada tunjang kekuatan mereka sendiri, iaitu al-Qur'an dan as-Sunnah. Sebahagian umat menderita penyakit cintakan dunia dan takutkan mati.

Sempena memperingati Nuzul Qur'an, marilah kita kembali kepada tujuan al-Qur'an diturunkan menerusi pelaksanaan isi kandungannya sepertimana yang ditunjukkan oleh baginda Junjungan Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wasallam, keluarga dan para sahabat. Kalam Allah dalam al-Kitab juga menggesa umat supaya mengambil pelajaran daripada Ayatullah fi'l-kaun, iaitu tanda-tanda kebesaran Allah di muka bumi.Wahai Tuhan kami, tidak Engkau ciptakan semuanya dengan sia-sia, Maha Suci Allah, jauhilah kami daripada api neraka (ali-Imran,3: 191-192). Amin...

No comments: