Friday, August 2, 2013
SALAH SANGKA PADA BULAN PUASA (PERSONAL FUNNY EXPERIENCE AT 7-11)
Waktu itu pukul lapan pagi berhadapan dengan pejabat Maxis, Greentown, Ipoh. Penulis blog (PB) masuk ke kedai 7 Eleven, lalu membeli sebotol air minuman 1.5L. Juruwang bertudung itu mempamerkan wajah kaget memandangkan awal-awal pagi sudah seperti ada yang tidak kena.
Hari itu Ahad, 26 Ramadan 1434, masih bulan puasa. Bagi merungkaikan kekeliruan, PB terus bertanya jika ada bengkel kereta berdekatan. Sambil itu, PB menjelaskan bahawa air minuman itu untuk dituang ke dalam tangki kereta, bukan untuk 'berbuka'. Juruwang tadi kelihatan lega sedikit.
Sebenarnya sang wira PB meragam sedikit. Kebetulan wang tunai ketika itu ciput dan isyarat telefon bimbit tinggal satu bar sahaja. Keputusan mesti dilakukan dengan segera kerana hari minggu begitu tidak banyak mekanik yang boleh dihubungi. Keanggotaan AAM juga sudah luput, manakala Narsqo memang tidak boleh diharap.
Panggilan ke rumah semua tidak berjawab, mungkin dalam mod senyap belaka. Enjin Wira langsung tidak boleh dihidupkan walaupun bateri masih baru dua bulan ditukar. Akhirnya PB membuat keputusan menghubungi teksi radio BK apabila mendapati wang di tangan mencukupi untuk membayar tambang (RM10).
Dalam perjalanan, PB batuk-batuk sedikit. Pemandu teksi keturunan Cina dalam lingkungan 40-an segera memberitahu bahawa dia pernah mengalami keadaan yang sama dan mula memberi nasihat percuma. Katanya ubat batuk yang paling mujarab ialah madu asli.
Bedasarkan pengalaman, dakwa pemandu teksi itu, kebanyakan madu yang dijual di pasar tani dan farmasi bukan tulen, sebaliknya dicampur dengan gula. Harga sebotol madu tipu hanya RM10 hingga RM50 untuk saiz sederhana. Dia biasa membeli madu Amway bersaiz 0.2 liter yang berharga RM75.
Selain batuk-batuk, pemandu teksi sering lenguh lutut. Madu asli membunuh semua bakteria yang menyerang sistem fisilogi manusia, dakwanya lagi. Dia turut mendakwa bahawa makan ayam bukanlah amalan pemakanan yang baik kerana mengandungi paling banyak bakteria jahat.
Nasib PB baik juga kerana kira-kira pukul 10.30 pagi kedai membaiki kereta Auto Friendly sudah dibuka. Sebagai pelanggan tetap, tidak menjadi masalah bagi PB mendapatkan perkhidmatan luar mereka. Mekanik yang dihantar mengatakan sudah ada masalah dengan starter dan alternator.
Setakat itu sahajalah yang boleh dikongsikan. Mudah-mudahan perkongsian pengalaman kali ini membawa manfaat kepada yang sudi membaca. Sekianlah adanya ...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment