SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, November 27, 2013

PANTAI REMIS MILIK ORANG (FALLS IN THE SAME HOLE)

Pertama kali berkunjung ke pekan berasaskan kegiatan perikanan dalam pentadbiran daerah Manjung itu ialah ketika menghadiri program anjuran sebuah jabatan kerajaan dekat Akademi Segari. Di kiri dan di kanan jalan menuju Pantai Remis ialah pemandangan kampung dengan saiz keluasan pemilikan tanah mencecah sepuluh ekar bagi setiap keluarga. Namun, kewujudan rumah colok di setiap lot tanah yang diperhatikan menjadi saksi betapa hampir seluruh kampung tradisional Melayu di situ sudah bertukar tangan.
premis peniagaan hasil laut milik bumiputera di Pantai Remis

Pemilikan ke atas tanah merupakan asas pembentukan sesebuah masyarakat, daerah, negeri dan negara. Jika tanah milik penduduk asal sesebuah kawasan terlepas kepada orang lain dengan saiz keluasan yang besar, maka secara tidak langsung, penduduk asal akan terusir. Ke manakah perginya penduduk asal kampung tradisional Melayu di situ?

Nampaknya pengalaman sejarah Palestin belum cukup untuk menjadi iktibar. Pendatang yahudi yang tidak lagi disenangi di negara-negara Barat berkelana ke wilayah Palestin dengan tidak mempunyai tempat tinggal, tetapi mereka berbekalkan sejumlah wang yang banyak. Mereka melakukan pembelian tanah milik penduduk asal Palestin secara sedikit demi sedikit.

Lama-kelamaan, kaum pendatang Yahudi sudah menguasai sejumlah besar kawasan tanah di Palestin dan menjemput lebih ramai pendatang Yahudi ke sana. Setelah memiliki kekuatan dari segi pemilikan tanah dan masyarakat, pendatang Yahudi mula merampas tanah penduduk Palestin tanpa belas kasihan, lalu pada akhirnya dengan dukungan Barat, membentuk negara dan rejim haram Tel Aviv. Kesilapan yang berlaku telah mengakibatkan penduduk Palestin hidup dalam kesengsaraan dan terdedah kepada serangan tentera jahat yang asalnya pembeli tanah yang sangat licik.

Dalam konteks tempatan, sejarah Temasek dan Pulau Pinang terbentang di hadapan mata. Sekali pemilikan tanah terlepas, maka sukar untuk ditebus kembali. Kelak anak cucu hanya mampu menangis tidak berlagu sambil menyalahkan sikap haloba nenek moyang mereka yang cepat gelap mata dan cuai.

Kejahilan, manipulasi, sistem riba dan kegiatan ekonomi moden boleh dijadikan alasan penyusutan saiz tanah milik orang Melayu, termasuk di kawasan strategik. Perbuatan menyalahkan pihak ketiga, tetapi dalam masa yang sama enggan mengaku kecuaian diri sendiri ialah tanda kecelaruan fikiran. Pemimpin yang peka terhadap kekuatan umat mesti melakukan sesuatu supaya kesedaran tentang peri pentingnya mempertahankan pemilikan tanah kembali berputik dan bersemi dalam kalangan orang Melayu.

Kefahaman terhadap Kanun Tanah Negara 1965 dengan pindaan  (klik di sini)  perlu disampaikan kepada pemilik tanah dengan laras bahasa mudah difahami. Data terkini tentang status pemilikan tanah di seluruh negara juga patut didedahkan. Ruang untuk amalan rasuah dalam urusan jual beli tanah sama ada oleh pihak broker atau kakitangan pihak berkuasa negeri hendaklah ditutup rapat.

Isu tanah terbiar dan tanah simpanan kekal orang Melayu juga harus ada jalan keluar. Di kawasan sawah padi Kampung Gajah dan Sungai Manik sebagai contoh, sudah diusahakan oleh orang lain walaupun hak milik tanah masih di tangan pemilik asal. Orang Melayu lebih rela berpeluk tubuh, berpangku tangan dan goyang kaki untuk menikmati hasil yang tidak seberapa berbanding dengan pulangan moncah yang dikaut oleh orang lain yang mengerjakan sawah secara komersial.

Keadaan yang sama berlaku di sebelah pantai timur. Orang Melayu lebih rela menjadi kuli menangkap ikan berhari-hari di laut dengan bot kepunyaan taukeh luar daripada bersatu di bawah naungan koperasi nelayan tempatan misalnya. Ketika mereka dilambung ombak dan memerah keringat, taukeh bot bergelak ketawa di rumah masing-masing, atau melilau di gedung beli-belah berhawa dingin.

Tidak dinafikan sudah banyak tokoh korporat dalam kalangan orang Melayu bergelar yang telah berjaya membina empayar perniagaan yang bertapak kukuh dalam ekonomi hingga tersenarai di bursa saham. Namun, mereka juga harus sanggup berkorban dengan margin keuntungan yang relatif lebih rendah demi memastikan bahawa saudara serumpun mereka juga mampu memiliki hartanah di kawasan segi tiga emas yang mereka bangunkan. Semoga kisah Pantai Remis akan sentiasa mengingatkan orang Melayu supaya bangkit daripada dibuai mimpi yang panjang dan bersegera mengembalikan kekuatan umat ...

No comments: