SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, November 19, 2013

KEMASUKAN SBP, MRSM, SMKA: IBU BAPA YANG TERUJA, ANAK BUAT SELAMBA (ENTHUSIASISM ABOUT THE LEARNING CHOICE)

Dengan pengecualian kepada sekumpulan kecil murid dan pelajar, kebanyakan budak sekarang seperti tidak kisah tentang bidang pengajian dan kerjaya yang bakal diceburi. Mereka tidak peduli terhadap hakikat persaingan sengit dalam kalangan rakan sebaya yang mencecah angka jutaan orang. Setiap peperiksaan awam bermula dengan UPSR, PMR, SPM dan STPM membabitkan puluhan dan ratusan ribu orang calon setiap tahun.

Sama ada ibu bapa yang terkongkong dengan kerangka pemikiran lama (the old school) atau anak-anak yang tidak ambil kisah, kita serahkan kepada bijak pandai untuk melaksanakan penyelidikan skala besar. Perkara yang jelas ialah setiap kali permohonan kemasukan ke sekolah berasrama penuh, Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, sekolah kawalan negeri, rancangan khas dan yang seumpamanya, ibu bapa yang lebih sibuk mencari maklumat di laman sesawang dan mengumpul dokumen yang berkaitan. Anak pula hanya menunggu untuk menurunkan tandatangan pada borang permohonan itu.

Seorang profesor pendidikan pernah bercerita betapa anaknya sendiri tidak berusaha untuk mengisi borang kemasukan ke universiti dan langsung tidak memberi kredit atas status bapanya itu. Lebih kurang si anak mengungkapkan: di universiti memang bapa profesor, tetapi di rumah tiada apa-apa! Kalau digesa lebih-lebih, si anak akan hanya menduga kesabaran si bapa dengan soalan provokatif: mengapakah saya dilahirkan ke dunia ini?

Barangkali model piramid susun lapis masyarakat yang meletakkan hanya lima peratus golongan pemimpin, 90 peratus golongan awam dan baki lima peratus lagi golongan bertingkah laku lencongan juga sesuai untuk menghuraikan isu anak-anak yang tidak kisah. Majoriti anak umpama 90 peratus orang awam yang bergantung kepada pengaruh persekitaran. Mereka tidak mempunyai kekuatan yang ampuh bagi menetapkan hala tuju yang jelas dalam perjalanan pembelajaran dan bidang mencari rezeki yang bakal ditempuhi.

Maka, hendak tidak hendak, ibu bapa terpaksa berkorban dan bersaing dengan ibu bapa yang lain supaya anak yang dikasihi tidak ketinggalan dalam proses merebut peluang pembelajaran dan laluan kerjaya yang terbaik. Anak mungkin tidak bersedia untuk berpisah dengan segala keselesaan di rumah dan persekitaran bandar yang canggih untuk menghuni kamar asrama yang harus dikongsi secara beramai-ramai. Keseronokan yang bersifat jangka pendek dan di depan mata lebih menangkap imaginasi mereka daripada memilih untuk berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

Sebagai insan yang lebih dewasa dan matang, ibu bapa tidak seyogia berasa kecewa dengan sikap anak-anak zaman sekarang. Ibu bapa perlu menggunakan segala hikmah dan kebijaksanaan bagi memupuk kesedaran kendiri yang utuh dalam jiwa anak-anak mereka perihal pentingnya bekalan ilmu dalam mengharungi kehidupan hari muka yang penuh pancaroba. Jika guru kaunseling berdaftar pun pening kepala untuk memikirkan kaedah terapeutik terbaik untuk membimbing klien meneroka potensi diri dan melakukan muhasabah, maka ibu bapa sudah tentu lebih berat lagi keadaannya.

Kisah Nabi Nuh yang berharap anak dan isterinya ikut serta dalam bahtera penyelamat patut menjadi iktibar kepada semua ibu bapa yang meletakkan jangkaan yang sangat tinggi kepada anak masing-masing. Sebaliknya, terdapat banyak juga anak yang lebih cerdas dan pintar daripada ibu bapa sepertimana yang terungkap dalam catatan sejarah dan kitab suci. Maka, ibu bapa perlu mengimbangi impian mereka sendiri dengan dunia anak mereka yang sudah berbeza zaman supaya ikatan kasih sayang yang dibina atas dasar iman dan taqwa dapat disuburkan secara berterusan.

Peranan ibu bapa ialah membimbing anak membuat keputusan yang betul dalam hal ehwal kehidupan yang kritikal, terutama proses pembelajaran dan mencari rezeki yang berkat lagi halal. Proses pertumbuhan jasmani dan akal anak menjadikan mereka mengurangkan pergantungan kepada ibu bapa, sebaliknya meningkatkan autonomi dalam proses membuat keputusan. Mereka melihat ibu bapa sebagai masa silam dan sejarah, sedangkan rakan sebaya sebagai masa hadapan dan impian.

Berbalik kepada isu kemasukan ke sekolah pilihan bagi lepasan UPSR. Di samping memberi ruang kebebasan untuk anak membuat pilihan, sebagai pemimpin, ibu bapa perlu menunjuk jalan dan mempengaruhi anak supaya tetap berada pada landasan kecemerlangan. Hakikatnya anak seperti tidak kisah, tetapi mahu pendirian mereka dihormati.

Kesimpulannya, jika anak-anak buat selamba terhadap pilihan laluan pembelajaran dan mencari rezeki, ibu bapa perlu bertindak lebih pantas. Sementara itu, ibu bapa hendaklah terus berdoa supaya akan segera berputik kesedaran dan kesungguhan dalam diri anak mereka terhadap tanggungjawab insan yang mukalaf. Biarlah nampak seperti kalah dahulu, asal sahaja tidak dipersalahkan pada belakang hari sebagaimana nenek moyang kita yang terlepas sekian banyak kekayaan yang sepatutnya diwariskan kepada generasi kemudian, justeru alpa terhadap jerat yang dipasang oleh orang asing ...

No comments: