Thursday, November 28, 2013
PERANCANGAN BELANJAWAN KELUARGA 2014 (ESTIMATING INCOME AND SPENDING ACCORDINGLY)
Setiap organisasi yang rasmi dan membabitkan kepentingan banyak pihak wajib membentangkan belanjawan tahunan yang berupaya penyata anggaran pendapatan dan perbelanjaan untuk tempoh setahun berikutnya. Belanjawan boleh disemak semula berdasarkan keperluan, tetapi tertakluk kepada tatacara kelulusan pembentangan yang asal. Pendek kata, pengurusan kewangan sesebuah organisasi tidak boleh bercanggah atau melencong daripada belanjawan yang diluluskan.
Bagaimanakah pula sesebuah keluarga merancang belanjawan masing-masing walaupun hakikatnya dilakukan secara sukarela? Perbelanjaan keluarga secara berhemah yang sejajar dengan jumlah pendapatan ketua keluarga dapat mengelakkan pembaziran dan beban hutang keliling pinggang. Tanggungjawab menyara keluarga terpikul di atas bahu bapa, dan boleh dibantu oleh ibu yang memiliki pendapatan sendiri.
Di negara maju, sesebuah keluarga boleh mendapatkan khidmat nasihat secara percuma dalam penyediaan belanjawan isi rumah. Pelbagai agensi awam dan organisasi sukarela menawarkan bantuan merancang belanjawan yang seimbang dan selamat (klik di sini). Jika anggaran perbelanjaan melebihi pendapatan sedia ada,ketua keluarga kena mencari jalan bagi memperoleh pendapatan tambahan, atau memotong perbelanjaan kurang mustahak, atau jika masih tidak boleh dielakkan juga, menjadualkan pembayaran hutang kepada institusi kewangan yang sah.
Pecahan butir belanjawan harus merangkumi jumlah pendapatan boleh guna isi rumah, iaitu setelah ditolak cukai pendapatan. Perincian slip gaji boleh menjadi panduan kasar tentang baki pendapatan yang boleh dibawa balik kerana masih ada bayaran tunai bulanan yang perlu dibuat. Contoh jadual belanjawan secara atas talian boleh dimanfaatkansepenuhnya (klik di sini).
Di Malaysia, nisbah hutang isi rumah terhadap pendapatan bulanan dianggarkan mencecah angka 60:40. Sesebuah keluarga harus menanggung hutang pembelian rumah sehingga ketua keluarga bersara, atau jika berlaku kematian sebelum tamat tempoh bayaran. Selain itu, terdapat hutang kenderaan, pinjaman peribadi dan pembelian barang secara ansuran (bayaran tertangguh).
Dengan baki pendapatan yang tidak seberapa bagi keluarga kelas pertengahan, ketua keluarga perlu merancang perbelanjaan keperluan asas, iaitu makanan, pakaian, bil kemudahan rumah dan telekomunikasi, serta kos bahan api kenderaan. Semua perbelanjaan pembelajaran anggota keluarga juga mesti dimasukkan. Pendidikan anak menjadi tanggungjawab wajib para ibu bapa, bukan satu pilihan.
Tabungan minimum sebanyak 10 peratus daripada pendapatan ketua keluarga juga perlu diperuntukkan dalam jadual belanjawan untuk pelbagai tujuan, misalnya untuk menunaikan ibadah haji, melancong dan luar jangka (urusan kecemasan). Simpanan tunai juga merupakan satu bentuk kuasa beli yang luar biasa apabila terdapat tawaran pembelian hartanah yang memerlukan bayaran pendahuluan tunai. Tabiat menabung memerlukan disiplin yang tinggi dan sukar dilakukan oleh orang yang tidak mempunyai wawasan.
Bagi orang Islam, kekayaan bukan diukur dengan menghitung jumlah wang di tangan, atau akaun simpanan bank, tetapi terhadap perbelanjaan yang menjurus kepada konsep kebajikan, kebaktian, tolong-menolong dan taqwa. Setiap sen perbelanjaan yang dikeluarkan untuk keluarga dikira sebagai infaq fi sabilillah dan sedekah jika diniatkan kerana Allah. Begitu juga dengan pertolongan kewangan, jika mampu, kepada sanak saudara terdekat, jiran tetangga dan masyarakat yang memerlukan selain bayaran zakat yang wajib.
Kad kredit ialah kemudahan belanja dahulu, bayar kemudian. Namun, penggunaan kad kredit hendaklah dikawal mengikut belanjawan keluarga yang ditetapkan dengan sejumlah peruntukan wang yang disediakan terlebih dahulu. Maksudnya, kad kredit hanya patut digunakan berdasarkan jumlah wang sebenar di tangan (atau dalam akaun simpanan khas) dan bukan mengakibatkan pendapatan bulan akan datang habis begitu sahaja sebelum dapat dinikmati.
Begitu banyak kebijaksanaan dan pesanan generasi dahulu boleh dijadikan pedoman dalam proses penyediaan belanjawan keluarga yang berhemah, bijak dan berimbang. Ukur baju di badan sendiri; jika melihat bintang di langit jangan lupa rumput di bumi; mendengar guruh di langit, air tempayan jangan dicurahkan dan sesenarai panjang peribahasa yang seumpamanya. Paling penting ialah peruntukan belanjawan yang dibuat mempunyai nilai ibadah dan akur terhadap segala prinsip yang digariskan ...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment