Monday, March 24, 2014
POLITIK GURU SEKOLAH (THE CLASH OF POWER IN THE CLASSROOM)
Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail
disytiharkan secara rasmi sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang,
Selangor setelah memenangi pilihan raya kecil berkenaan pada hari Ahad, 23 Mac
2014. Beliau menang dengan majoriti 5XXX undi dalam pertandingan satu lawan
satu dengan Datin Paduka Chew Mei Fun. Wan Azizah ialah presiden Parti Keadilan
Rakyat (PKR) sebagai parti komponen Pakatan Rakyat, PR; manakala Chew Mei Fun
ialah naib presiden Malaysian Chinese
Association (MCA), komponen
Barisan Nasional, BN.
Sudah pasti bahawa antara petugas
penting pilihan raya dan juga pengundi dalam pilihan raya di Kajang ialah guru.
Kebanyakan tempat membuang undi ialah premis sekolah, di samping balai raya dan
bangunan kerajaan yang lain. Maka, tenaga guru digunakan sebagai ketua tempat
mengundi, ketua peti undi dan pelbagai tugas lain.
Pembabitan guru dalam bidang
politik negara memang penting, terutama dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.
Pensyarah dan guru pelatih Sultan Idris
Training College (SITC, kini
Upsi) telah memupuk semangat jati diri yang kental dalam kalangan masyarakat
Melayu menerusi pendidikan dan kepimpinan masyarakat. Sebelum kemasukan tokoh
korporat dan profesional, kaum guru memegang jawatan penting dalam organisasi
politik dan pertubuhan bukan kerajaan.
Guru ialah penjawat awam yang
tertakluk kepada perintah am, tatacara kewangan dan segala pekeliling yang
berkuat kuasa. Guru yang berhasrat untuk terbabit aktif dan memegang jawatan
dalam parti politik dikehendaki mendapat kebenaran ketua pengarah pelajaran
Malaysia. Kebenaran berkenaan tertakluk kepada prinsip bahawa tugas asasi
keguruan, iaitu pengajaran dan pembelajaran, tidak terjejas.
Sebagai ahli ikhtisas, guru
hendaklah kelihatan non-partisan,
iaitu tidak menzahirkan pendirian politik parti masing-masing semasa bertugas.
Guru perlu mengambil kira kemungkinan bahawa terdapat perbezaan pendirian dan
pendapat dalam isu politik parti di sekolah. Sejajar dengan prinsip penerimaan
tanpa syarat, tiada tekanan harus dikenakan kepada mana-mana pihak, terutama
murid, hanya kerana perbezaan latar belakang sosioekonomi, kepercayaan dan
paras rupa.
Walaupun politik parti ialah
urusan di luar pagar sekolah, hakikatnya guru ialah ahli politik yang hebat,
iaitu ahli politik di bilik darjah. Maksudnya, guru memiliki ciri dan citra
politik tulen, iaitu melaksanakan proses mempengaruhi murid supaya mencapai
matlamat pembelajaran. Guru sentiasa berusaha dengan pelbagai muslihat supaya
pada akhirnya berjaya memenangi penglibatan, perhatian dan tumpuan murid dalam
aktiviti bilik darjah secara terancang.
Proses pembelajaran yang berkesan
memerlukan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi daripada semua murid. Maka,
politik guru di bilik darjah ialah melaksanakan segala perancangan kegiatan
pembelajaran dengan adil, berkesan dan meyakinkan semua murid. Guru
mengaplikasi input psikologi seperti analisis daya lapangan Kurt Lewin tentang
daya pacu dan daya rintang perubahan dalam kalangan murid.
Seperti ahli politik yang sanggup
menjanjikan bulan dan bintang, guru sentiasa menyalakan harapan dan impian yang
tinggi kepada murid. Guru menunjukkan empati dan kepekaan yang tinggi terhadap
perkembangan alam kanak-kanak dan remaja yang sedang dilalui oleh murid. Guru menggunakan
pengalaman sebenar murid seperti akronim REACT
dalam kaedah kontekstual yang popular di sekolah teknik suatu ketika dahulu.
Sebagai politikus pembelajaran
(bukan tikus membaiki labu), guru hendaklah cekap dalam konteks pengurusan
krisis dan penyelesaian masalah murid. Maksudnya, guru berupaya menyelami
peluahan perasaan murid yang berasa tertekan dengan tahap penerimaan isi
pelajaran yang disampaikan. Guru dapat membaca maklum balas murid yang tersirat
menerusi cara murid duduk, dan lirikan atau sorotan mata mereka.
Tujuan ahli politik mengambil
risiko menceburi bidang yang danggap sebagai seni kemungkinan ialah untuk
menikmati pengaruh dan kuasa supaya dapat berkhidmat kepada pengundi, sama ada
yang menyokong mahupun yang sebaliknya. Sesetengah ahli politik menggunakan
taktik yang sangat licik bagi memenangi sokongan pengundi. Guru hanya perlu
mengambil contoh yang baik dan berkesan sahaja dari kancah dunia politik di
luar pagar sekolah demi kebaikan, kebajikan dan keperluan murid, duniawi dan
ukhrawi …
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment