SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, March 4, 2014

PENCAPAIAN KERTAS EKONOMI MALAYSIA STPM LUAR BIASA? (COMPLIANCE ASSESSMENT AND OPPORTUNITY OF CANDIDATES)

Maklum balas yang lazim diterima daripada calon yang kecundang dalam kertas Ekonomi Malaysia (Ekonomi 3) ialah mereka tidak menjangka sama sekali akan beroleh gred F dengan purata nilai gred 0.00. Sebahagian mereka berjaya mencatat 3A dalam ketiga-tiga kertas lain, tetapi sangat terjejas dengan keputusan kertas Ekonomi Malaysia. Hanya kertas Ekonomi 4 (kerja kursus PBS / kertas projek) barangkali membantu.

Tarikh peperiksaan ulangan penggal 3 ialah pada 12, 13, 17 dan 18 Mac ini. Calon yang mendaftar untuk menduduki semula kertas Ekonomi Malaysia hanya mempunyai masa lebih kurang seminggu untuk membuat persediaan. Harapan yang disandarkan begitu tinggi justeru kesempatan untuk membaiki gred pencapaian dan purata nilai gred kumulatif (PNGK)secara keseluruhan.

Apabila pengajian prauniversiti masih dilaksanakan di bawah bumbung sekolah menengah harian, maka pencapaian keputusan STPM masih tertakluk kepada sasaran pencapaian sekolah, bukan terhadap prinsip tanggungjawab calon sebagaimana di universiti. Panitia mata pelajaran atau jabatan yang menerima giliran berpencapaian lebih rendah daripada sasaran akan diberi teguran yang tertentu. Pencapaian cemerlang terdahulu dengan sekelip mata tidak disebut lagi.

Terdapat sekolah yang mencatat peratus lulus Ekonomi Malaysia di bawah lima peratus, iaitu 95 peratus calon telah gagal. Bentuk herotan pencapaian yang luar biasa itu menimbulkan tanda tanya tentang keakuran pembelajaran, keakuran item soalan dan keakuran peluang calon untuk menulis jawapan yang tepat. Sudah tentu terdapat kesilapan di mana-mana.

Keakuran pembelajaran merujuk terhadap kesesuaian pelaksanaan kuliah, tutorial, pentaksiran dan perundingan akademik dengan pelajar oleh guru atau pensyarah Ekonomi Malaysia. Maksim bahawa pencapaian pelajar ialah bayangan kepada keberkesanan guru mungkin telah diambil alih oleh faktor di luar kawalan mereka (extraneous variables). Memandangkan kertas Ekonomi Malaysia baharu diperkenalkan semula, guru tidak mempunyai akses tentang format dan persembahan jawapan yang dikehendaki.

Keakuran item soalan merujuk kepada kesahan dan kebolehpercayaan instrumen pentaksiran yang ditadbirkan dalam peperiksaan. Calon dikehendaki menjawab lima soalan esei pendek (5 soalan @ 6 markah = 30 markah) dan satu soalan kuantitatif (1 @ 10 markah). Jumlah masa yang diperuntukkan hanyalah satu jam.

Keakuran peluang calon untuk menulis jawapan yang tepat sangat bergantung kepada kecekapan mereka mengenal pasti keperluan tugasan soalan dan merancang penulisan jawapan berdasarkan peruntukan markah dan peruntukan masa. Pada akhirnya, pencapaian calon akan ditentukan oleh pemarkahan yang sudah diselaraskan di peringkat Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM). Maka, naskhah laporan tahunan STPM 2013 bakal ditunggu bagi memperoleh kepastian tentang ralat pengukuran yang berlaku.

Anggapan bahawa kertas Ekonomi Malaysia mudah dapat gred tertinggi nampaknya jauh meleset. Sebaliknya, kertas Mikroekonomi (penggal 1) dan Makroekonomi (penggal 2) didapati jauh lebih baik. Sesuatu perlu dilakukan dengan segera supaya keadaan berkenaan tidak bersifat kekal.

Setakat ini, langkah penambahbaikan pembelajaran yang boleh dilakukan ialah melaksanakan kaedah latihan merancang isi jawapan dan menulis jawapan penuh dalam tempoh masa yang ditetapkan iaitu 8 - 9 minit untuk esei pendek dan 10 - 12 minit untuk tugasan kuantitatif. Memandangkan tiada buku teks khusus yang boleh dijadikan pegangan, maka pelajar boleh digalakkan untuk berkongsi buku teks oleh penulis yang berbeza.

Peperiksaan STPM merupakan laluan utama memasuki universiti awam tempatan dan tajaan biasiswa ke seberang laut. Urusan reka bentuk pentaksiran dan keperluan kurikulum ditentukan oleh MPM yang diletakkan di bawah naib canselor universiti awam tempatan. Maka, keperluan kurikulum dan pentaksiran kertas Ekonomi Malaysia juga terletak di bawah pengaruh kepakaran akademik mereka ...

No comments: