SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, March 28, 2014

CARA MEMBACA BUKU EKONOMI YANG BERKESAN ( EXPLAINING COMPLEXITY WITHIN BRIEF CONCEPT AND THEORY )

Apabila pelajar kelas ekonomi prauniversiti tingkatan enam bertanya soalan yang sangat asas dan sepatutnya sudah di hujung jari masing-masing, guru menyarankan supaya mereka merujuk kembali buku teks dan modul edaran yang sudah dijelaskan sebelumnya. Maka, setiap kali ada pelajar lain yang cuba bertanya, belum sempat guru menjawab, mereka mengajuk cakap guru supaya merujuk buku teks dan modul edaran. Guru hanya mampu tersenyum (kelat atau tawar?) selain mengelakkan diri daripada marah-marah yang hanya membazirkan tenaga produktif demi menolong pelajar mengekalkan momentum keinginan yang tinggi untuk belajar ekonomi, sekali gus memastikan bahawa pelajar tidak membuat keputusan yang merugikan seperti membuang kuliah ekonomi dalam zon penolakan.

Walaupun dalam nada yang separuh bergurau, perbuatan pelajar yang melontarkan kembali saranan guru secara tiba-tiba tanpa mengambil kira konteks keperluan boleh memberi gambaran yang sipi. Apatah lagi pelajar itu ialah pemimpin pendapat (opinion leader) yang berpengaruh di sebalik pencapaian sederhana dalam kertas ekonomi. Sedikit sahaja kerosakan yang berlaku sudah berupaya menjejaskan kepercayaan pelajar lain terhadap kelebihan belajar ekonomi dan seterusnya mencatat pencapaian cemerlang semasa peperiksaan.

Kerjaya sebagai guru dan pensyarah tergolong dalam perkhidmatan menolong, iaitu menolong pelajar menuju kecemerlangan dalam pembelajaran dan pencapaian. Guru ekonomi sangat akur kepada prinsip bahawa bertanya ialah anak kunci ilmu (miftahul ‘ilm, as-sa-al), lalu sentiasa bersedia melayan kemusykilan pelajar. Namun, jika pertanyaan yang dilontarkan tentang isi pelajaran terdahulu yang tidak diberi tumpuan atau kerana pelajar tidak hadir, saranan merujuk buku dan modul edaran (dan rakan) lebih menjurus kepada teguran yang membina.

Guru dan pensyarah ekonomi sendiri telah melalui pengalaman peribadi sebagai pelajar ekonomi prauniversiti dan kuliah pengajian tinggi. Maka, kemahiran bertanya dipelbagaikan dengan merujuk terus kepada guru dan pensyarah semasa atau selepas kuliah, mendapatkan bantuan rakan atau merujuk buku meskipun harus mengambil masa yang panjang justeru membaca sebaris ayat ekonomi selalunya lebih sukar daripada membaca sebuah novel yang tebal! Pelajar perlu ingat bahawa tidak semua perkara boleh dicapai dengan mudah, bak kata pepatah Inggeris, no pain no gain (less pain less gain).

Benarkan tiada lampu ajaib Aladin dan tiada jalan pintas untuk belajar dan membaca buku ekonomi dengan berkesan? Peribahasa Melayu ada menyebut bahawa kalau tidak dipecahkan ruyung, masakan (baca: masa akan) dapat sagunya, bermakna idea baharu dan kreativiti sebagai prasyarat. Kaedah usul-fiqh juga menyebut, ma la yatimmul wajib illa bihi fahua wajib, tidak sempurna sesuatu yang wajib itu melainkan jalan kepadanya juga menjadi wajib.

Lampu ajaib Aladin dan jalan pintas untuk belajar menerusi bacaan buku ekonomi boleh diperoleh daripada pakar, iaitu guru dan pensyarah, atau menerusi pelajar ekonomi yang telah terbukti  berjaya. Kaedah dan pendekatan bacaan ekonomi mereka boleh diambil secara bersemuka, mahupun secara atas talian. Dalam laras bahasa kaunseling, kemahiran belajar untuk belajar juga disebut sebagai kemahiran generik pembelajaran.

Contoh ayat makroekonomi: perangkap kecairan ialah keadaan apabila kadar bunga berada pada tingkat paling rendah dan tidak akan turun lagi, mengakibatkan orang ramai menjual bon untuk memegang wang tunai. Memang benar budak berusia empat tahun pun boleh membaca ayat itu dengan lancar, tetapi langsung terpinga-pinga jika ditanya akan maksudnya. Hal yang sama akan berlaku kepada pelajar prauniversiti dan orang dewasa yang fobia dengan konsep dan pemboleh ubah yang bersifat abstrak.

Ayat di atas langsung tidak bermakna apa-apa andainya pelajar tidak terlebih dahulu kukuh dengan teori permintaan wang Keynes (John Maynard King) yang berbeza dengan teori kuantiti wang klasik
(Irving Fisher), iaitu masyarakat meminta wang bukan sahaja untuk tujuan urus niaga, tetapi juga untuk tujuan awasan dan spekulasi. Urus niaga jual beli bon termasuk dalam kategori permintaan wang untuk spekulasi yang dipengaruhi oleh kadar bunga, Ls = f (r). Apabila kadar bunga mencapai tingkat paling rendah, harga bon meningkat tinggi, lalu masyarakat memilih untuk menjual bon, serta memegang tunai (kecairan) sepenuhnya.
sumber grafik: klik di sini

Perangkap kecairan juga boleh dijelaskan menerusi gambar rajah, iaitu bahagian keluk permintaan wang (MD) yang anjal sempurna, iaitu garis lurus serta selari dengan paksi kuantiti wang. Keluk MD   menunjukkan hubungan antara kadar bunga ( r ) dengan kuantiti wang ( M ). Pada mulanya, keluk MD  bercerun negatif yang merujuk hubungan songsang antara r dengan M sebelum menjadi anjal sempurna sebaik sahaja r mencapai tingkat minimum yang menandakan bermulanya perangkap kecairan.

Laras ayat ekonomi lebih mirip kepada ayat matematik, iaitu termasuk sebagai logik yang sempurna.
Mengikut hukum logik yang sempurna (misalnya syllogism), kalau hujan maka basah atau ditukar dalam bentuk simbol pemboleh ubah, kalau A maka B. Namun, seperti biasa teori ekonomi tertakluk kepada andaian tertentu (ceteris paribus, diandaikan faktor lain tidak berubah), membuat analisis terhadap sesuatu pemboleh ubah (umpama satu sahaja bergerak, yang lain jadi patung!).

Maka, dalam ayat ekonomi yang dibaca, pelajar hendaklah mengenal pasti pemboleh ubah yang digunakan, kemudian cuba menjelaskan hubungan antara pemboleh ubah yang tersenarai. Pelajar ekonomi tidak boleh berharap untuk membaca ayat ekonomi sebagai sama dengan ayat-ayat cinta (novel) yang boleh diselesaikan dengan cepat atau secara tebuk-tebuk (zig-zag). Lebih baik pelajar memberikan tumpuan secara tuntas semasa kelas atau kuliah supaya pelajar dapat menangkap cara seseorang guru dan pensyarah menyampaikan ayat ekonomi dengan lancar sekali sebelum membuat bacaan buku ekonomi secara bersendirian atau secara berkumpulan …

No comments: