Sunday, October 26, 2014
PERANAN IBU BAPA MEMBANTU DAN MEMBIMBING ANAK DALAM PROSES MEMBUAT KEPUTUSAN PEMBELAJARAN (INCREASING AUTONOMY AND REDUCING DEPENDENCY AMONG CHILDREN)
Terdapat kecenderungan sebahagian
ibu bapa yang beranggapan bahawa anak-anak sebagai penyambung cita-cita mereka
yang mungkin tidak kesampaian pada masa yang lalu. Lalu, mereka cuba menetapkan
haluan pembelajaran anak-anak mengikut kehendak berkenaan. Mereka sedaya upaya
mengelakkan diri daripada terpacul pertanyaan tentang pendapat peribadi anak-anak.
Pengalaman masa lalu ibu bapa
yang harus akur dengan rancangan orang tua masing-masing berdasarkan
persekitaran berbeza cuba dilanjutkan. Tanpa disedari, anak-anak menjadi mangsa
paksaan atas sikap kuku besi yang mempengaruhi pemikiran ibu bapa. Sungguh
malang bahawa bakat terbaik dan impian kendiri anak-anak kekal terpendam dalam bentuk
sesalan yang panjang.
Saidina Umar al-Khattab radiallahu anhu pernah berpesan supaya
ibu bapa menyediakan pendidikan dengan berasaskan keperluan masa hadapan, iaitu
berciri futuristik. Maka, tugas ibu bapa yang sebenarnya ialah memperoleh input
terkini tentang bidang pengajian yang serasi dengan bakat dan minat anak-anak
menerusi pertolongan pakar, sama ada guru, kaunselor atau ibu bapa lain yang
berfikiran terbuka. Anak-anak diberi bimbingan yang cukup bagi membuat
keputusan pembelajaran yang cocok lagi terjamin.
Tekanan yang keterlaluan boleh
menggoncang emosi kanak-kanak yang masih mentah, walaupun ibu bapa mungkin
buat-buat tidak tahu akan bantahan senyap anak-anak. Andai kata pemberontakan
dalaman itu tidak lagi tertanggung, anak-anak mungkin menunjuk perangai dan
tingkah laku yang menakutkan ibu bapa. Sebelum perkara yang tidak diingini
seperti itu berlaku, ibu bapa hendaklah menghormati hak anak-anak untuk membuat
keputusan sambil melakukan intervensi dengan cara yang bijak dan berhikmah.
Seorang kenalan penulis blog (PB)
yang kini memiliki klinik perubatan banyak kali meluahkan perasaan terkilan justeru
cita-cita peribadi beliau ialah menjadi seorang arkitek. Namun, untuk tidak
menghampakan ibunya yang bertungkus-lumus mencari rezeki, beliau pasrah. Kini,
beliau turut bergelar ibu tunggal dan seorang anaknya sedang belajar di Mesir
dalam bidang perubatan.
Satu kes lagi ialah seorang
pelajar sekolah agama yang mula berkelakuan liar apabila mencecah usia remaja
kerana tidak tahan dengan desakan dan paksaan ibu bapa supaya dia belajar di
sekolah berkenaan. Remaja itu sanggup membantah cakap bapanya secara
berhadapan, serta langsung tidak makan nasihat. Kepatuhannya sebelum menginjak
akil baligh lenyap sama sekali.
…
…
…
…
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment