SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, August 5, 2009

DURIAN MENJEJASKAN KESIHATAN? (THE KING OF FRUITS IN MALAYSIA)



Sejak sebulan yang lalu, kelihatan di sana sini orang ramai mengerumuni longgokan buah durian sambil berlaku proses tawar-menawar harga. Peniaga durian tidak menang tangan berpisah dengan durian dan sibuk mengira wang besar! Nampaknya, jualan durian masih hebat walaupun ada pelbagai versi cerita tentang risiko makan isi durian yang enak dan manis-manis lemak.

Pusingan pertama bekalan durian dari Kuala Kangsar dan Taiping sudah berlalu. Kini, giliran durian Gerik memberi pulangan lumayan kepada peniaga durian. Penulis blog dimaklumkan bahawa seorang peniaga durian mampu menghabiskan stok durian seberat 6 tan sehari. Mereka mendakwa mampu mencatat untung bersih hampir RM 40 ribu setiap musim durian. Tempoh masanya lebih kurang tiga bulan.

Biasanya apabila seorang peniaga durian berjaya menghabiskan 30 peratus stok durian, dia sudah pulang modal (untung normal, break even). Setelah itu, peniaga boleh menjeritkan harga yang lebih rendah, dan pada penghujung jualan, sesi lelong biasanya dilakukan. Semuanya sudah dikira untung. Esok, stok baru 6 tan akan datang lagi.Wow!!!



Buah durian mengingatkan penulis blog ketika di bangku sekolah rendah dan tinggal di Parit 13, Ayer Deras, Kampung Sungai Tukang Sidin (20 km dari Teluk Anson, kini Teluk Intan). Satu keluarga memiliki tanah seluas 10 ekar, lengkap dengan sawah padi, kebun getah, pokok durian, rambutan, manggis, rambai, pulasan, cempedak, nangka, dan banyak lagi.

Ketika musim durian, saat yang paling seronok ialah apabila mendengar bunyi durian gugur, ’dup’, penulis blog berkejar dengan adik mencari buah durian itu. Kini, seperti orang lain, penulis hanyalah pembeli durian. Semuanya tinggal kenangan, dan tanah pusaka yang banyak pemilik di Tukang Sidin sudah jadi bertukar tangan.

Penghidap kencing manis dan darah tinggi biasanya dinasihati doktor menjauhi raja buah. Terdapat juga dakwaan bahawa selepas makan durian, tidak boleh minum kopi. Data kajian tentang perkara berkenaan belum pernah diuar-uarkan secara rasmi. Maka, orang ramai tidak begitu ambil pot (tidak ambil kisah, tidak peduli). Kata mereka, belasah jer!

Selain dimakan mentah, isi durian boleh diproses menjadi lempuk, atau dodol. Durian yang sudah terlalu masak boleh diproses sebagai tempoyak. Gulai tempoyak ikan patin, pasti mengancam!

Buah durian ada banyak jenis. Ada durian jantung, durian kacukan (D24), dan pelbagai lagi. Isi durian pula ada yang nipis, yang tebal, yang kisit (tiada biji), kucing duduk, isi kuning, isi lemak susu, mangkar, dan lain-lain. Jika mahu menikmati isi durian yang lazat, pembeli mesti memilih durian yang baru gugur, tidak merekah, dan tiada ikatan getah. Alah membeli menang memakai. Asalkan tidak membazir, janganlah kikir untuk berbelanja membeli buah durian yang ada kelas, dan berbaloi dengan perpisahan wang dari kocek anda!

Penulis blog sering bertanya kepada murid dan pelajar, apa jadi dengan biji dan kulit durian yang lebih berat jika kita membeli durian secara timbang kilo? Jawapan lazim ialah berakhir di tong-tong sampah. Mengapa tiada penyelidikan yang mendalam tentang kemungkinan potensi biji dan kulit durian sebagai bahan pembuatan barang dan produk ubat-ubatan? Bukankah tiada suatu pun kejadian alam ini yang dijadikan sia-sia? Subhanallah.

Tanaman serai sudah pun dikomersialkan dan mula menjadi bahan eksport. Seorang saintis Yahudi membuat penemuan bahawa bahagian umbi serai berkesan sebagai penawar barah. Maka, jika dahulu serai hanya menjadi sebahagian rencah masakan di Alam Melayu dan China, kini turut menjadi rebutan masyarakat Eropah dan Amerika Utara. Sudah ada usahawan tani serai yang bergelar jutawan.

Bayangkan jika biji durian dan kulit durian mempunyai harga yang tinggi. Nescaya, kita tidak lagi melihat longgokan buah durian di pasar-pasar malam, atau pasar tani, serta di gerai jualan sementara di tepi-tepi jalan. Kelak yang ada hanya ulas-ulas durian yang dibungkus dalam plastik telus cahaya dengan jenama-jenama tertentu. Mungkin isi durian akan mempunyai gred tertentu, diperincikan kandungan khasiat, kalori, dan tarikh luput untuk dimakan. Wallahu a’lam!

No comments: