SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, August 16, 2009

JALUR GEMILANG SEBAGAI LAMBANG PATRIOTISME: SI JUJUR DAN SI PENDUSTA (THE MEANINGS OF NATIONAL FLAG AND PATRIOTISM AMONGST MALAYSIAN)

Pada zaman dahulu, bendera lebih dikenal sebagai panji-panji. Ketika berlaku pertempuran dan peperangan (secara berhadapan, konvensional), anggota ketumbukan hadapan akan sentiasa menjulang dan mengibarkan panji-panji sebagai lambang maruah dan perjuangan. Mereka juga melaungkan slogan tertentu sebagai pembakar semangat supaya tidak gentar berhadapan dengan musuh dan risiko gugur di medan tempur. Berpantang maut sebelum ajal!

Mungkin peperangan berbentuk demikian masih berlaku di benua Afrika dan Amerika Latin, serta taktik serangan gerila dalam kalangan pejuang yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai puak pemisah. Sebaliknya peperangan berskala besar seperti yang dilancarkan oleh Pentagon terhadap Afghanistan dan Iraq menggunakan serangan berteknologi tinggi menerusi intipan satelit, peluru berpandu dan jet tempur kawalan jauh tanpa juruterbang. Setelah sasaran strategik dan pangkalan lawan dimusnahkan, barulah tentera darat memasuki bandar dan desa untuk melemahkan saki-baki penentangan.

Generasi muda Malaysia mempelajari situasi perang menerusi filem, simulasi permainan dan pembacaan. Pelajar sekolah didedahkan dengan peristiwa perang tempatan sebelum merdeka menerusi buku Sejarah dan novel wajib komsas. Pengalaman peribadi boleh dikatakan sifar.

Maka, cara untuk membangkitkan rasa cinta negara dan kesanggupan mempertaruh jiwa raga demi nusa dan pertiwi ialah dengan menghormati lambang-lambang negara. Jalur Gemilang, iaitu bendera kebangsaan berkibar dengan megah di merata-rata pelosok negara. Malah, ketika jalur gemilang dinaikkan bagi mengiringi lagu “Negaraku”, semua hadirin diminta berdiri tegak. Kini, jurugambar juga tidak dikecualikan daripada berbuat demikian.

Sempena bulan kemerdekaan sepanjang Ogos ini, pengibaran Jalur Gemilang menjadi lebih banyak dan bervariasi. Ada bendera gergasi, dan ada bendera panjang yang membungkus keseluruhan pagar sesebuah institusi pengajian. Di jalan raya pula kenderaan persendirian, termasuk motosikal dan beca berlumba-lumba melekatkan Jalur Gemilang.

Dua tiga tahun lepas, pengibaran Jalur Gemilang pada kenderaan persendirian kelihatan mencapai tahap maksimum. Ada kenderaan yang memperagakan puluhan bendera negara sehingga timbul teguran dari segi keselamatan pengguna jalan raya. Setelah diselidik, terbongkarlah rahsia peraduan mengibar Jalur Gemilang pada kenderaan persendirian dengan tawaran hadiah yang lumayan juga.

Setelah peraduan ditiadakan, keadaan luar biasa tadi turut pudar. Bak kata orang putih, back to square one! Peniaga bendera juga mengalami kemerosotan jualan yang drastik.

Pemikir amatur tentu membuat kesimpulan mudah bahawa perlakuan seumpama itu menyerlahkan sikap pura-pura masyarakat kita. Mereka hanya sanggup berbuat sesuatu jika ada ganjarannya. Jika sebaliknya, sindrom menarik diri akan muncul sekelip mata!

Patriotisme berasal daripada kata dasar “patria” yang bererti bapa. Pada zaman dahulu, bapa dianggap sebagai kuasa mutlak dalam keluarga. Semua anggota keluarga yang lain mestilah menunjukkan kepatuhan tanpa syarat kepada sang bapa. Maka, negara juga dinisbahkan dengan kedudukan bapa itu.

Masyarakat timur pula lebih senang merujuk negara kepada ibu. Misalnya, ibu pertiwi. Lirik “Bahtera Merdeka”, sebuah lagu malar hijau (evergreen) yang sentiasa berkumandang sepanjang bulan kemerdekaan juga dimulai dengan bait “Bonda senyum riang menerima bahtera merdeka, tanah semenanjung permata nilam…”

Perubahan entiti geopolitik pasca-Perang Dunia Kedua telah mewujudkan konsep negara bangsa (nation state) . Sebagai contoh, Tanah Hijjaz telah dipecahkan kepada puluhan negara Arab oleh penjajah Barat yang menganut doktrin pecah dan perintah (divide et empera). Walaupun masih bernaung di bawah Liga Arab, kata sepakat didapati ialah suatu keajaiban.

Generasi muda Malaysia patut menyedari hakikat ini. Walaupun penjajah Barat tidak hadir secara fizikal, mereka tidak pernah jemu berusaha melakukan penaklukan secara senyap menerusi penyebaran ideologi, cara berfikir dan kecenderungan acuan Barat. Dr. Siddiq Fadhil, seorang sarjana ulung negara menamakan fenomena itu sebagai “al-ghazwul-fikri” atau serangan pemikiran.

Ibarat perlumbaan, kita sudah lama meninggalkan garis mula, dan kini tertumpu untuk pecutan. Maknanya, sejarah tidak bisa diubah. Namun, jika kita alpa, cuai dan leka, tidak mustahil bahawa sejarah pahit nenek moyang kita berulang kembali. Marilah kita berwaspada terhadap musuh yang tidak kelihatan.

Ayuh sama-sama kita berlaku jujur pada Jalur Gemilang. Janganlah sampai kita dicop sebagai pendusta yang hanya mengibarkan Jalur Gemilang jika ada peluang mendapat ganjaran. Biar di sanubari kita juga bertekad membawa Malaysia ke mercu kegemilangan dengan menyemai disiplin, jati diri dan kesungguhan untuk berbakti dengan cara yang kita mampu.

Merdeka, merdeka, merdeka!!!

No comments: