Wednesday, August 12, 2009
WABAK SELESEMA BABI MENCEMASKAN WARGA IPOH (THE INFLUENZA H1N1 PANDEMIC SCARED THE CITY FOLKS)
Ipoh, Rabu: 12 Ogos 2009 / 21 Syaaban 1430
Ramalan dan unjuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang bernaung di bawah Bangsa Bersatu memang mencemaskan rakyat Malaysia. Dianggarkan sejumlah 500,000 rakyat Malaysia dikatakan akan terkena jangkitan selesema babi, dengan angka korban mencecah 28,000 orang. Maknanya, catatan 42 kes kematian sehingga semalam menunjukkan bahawa penularan wabak baru pada peringkat awal.
Vaksin melawan jangkitan selesema babi baharu sahaja tiba secara besar-besaran di Malaysia. Marilah kita berdoa mudah-mudahan ramalan dan unjuran WHO itu tidak benar. Ya Allah, panjangkan umur kami dan murahkan rezeki kami. Dengan kemurahan-Mu jauhilah kami daripada azab dan bala bencana akibat wabak selesema babi. Amin.
Dalam pada itu, masih ada pihak yang secara tiba-tiba bagaikan mendapat durian runtuh. Klinik swasta dan farmasi diserbu hampir saban waktu. Produk penyembur anti bakteria dan pencuci tangan pelbagai jenama menjadi rebutan sehingga kehabisan stok dalam tempoh yang singkat. Cakap-cakap dan temberang jurujual langsung mungkin sekali laku pada ketika ini.
Di sana sini, termasuk dalam kalangan warga sekolah kelihatan orang memakai topeng perlindungan. Kalau dulu mereka memperli si pemakai purdah yang menutup hidung dan mulut, kini giliran mereka berbuat perkara yang serupa sudah tiba! Malangnya, sudah ada pula penjenayah yang mengambil kesempatan melakukan penyamaran sebagai pemakai topeng perlindungan supaya identiti mereka sukar dicam.
Wabak selesema babi sebenarnya menambah sesenarai panjang ancaman jangkitan terhadap warga kota secara besar-besaran bermula dengan demam denggi, koksaki, J.E. (virus nipah), selesema burung, penyakit kuku dan mulut, pneumonia, dan lain-lain lagi. Kebanjiran pendatang asing pula mengembalikan penyakit yang hampir dapat dicegah sepenuhnya di Malaysia seperti cacar, batuk kering, polio dan untut.
Pada peringkat permulaan penularan selesema babi, rakyat Malaysia digesa supaya menunda dahulu aktiviti perjalanan dan pelancongan ke destinasi luar negara, khususnya ke negara berisiko tinggi seperti Mexico, Amerika Syarikat dan Australia. Namun, seperti biasa masih terdapat sebilangan rakyat yang berasa diri mereka kebal dan mempunyai sistem pertahanan fisiologi (antibodi, imuniti) yang sukar ditembusi serangan virus selesema babi.
Banyak kes membuktikan golongan ’degil’ berkenaan menyumbang terhadap penularan wabak selesema babi ketika ini. Keadaannya ialah seakan-akan negara kita sudah terkepung oleh virus selesema babi. Untuk bolos dari jangkitan, hanya kepada Allah kita bergantung harap.
Sektor pelancongan terjejas dengan teruk. Tempahan penginapan hotel dibatalkan dalam skala yang besar. Majlis rasmi dan keramaian juga menerima nasib yang serupa. Maka, syarikat, ejen, dan pekerja sektor yang berkaitan dengan ketibaan pelancong dan pengurusan majlis sekali lagi melalui tempoh suram menyusuli ujian berat jerebu, taufan dan tsunami beberapa tahun belakangan.
Ada pihak yang mendakwa bahawa fenomena dan wabak selesema babi bukanlah perkara baru. Kata mereka, pada zaman dahulu lagi banyak kes penularan sesuatu wabak telah berlaku tanpa nama dan publisiti. Bomoh dan dukun yang menjadi rujukan hanya memberi diagnosis dan rawatan palsu. Tiada SMS, MMS, facebook, myspace dan twitter sebagai medium jaringan maklumat.
Dari sudut yang lain pula, ada kalangan yang mengatakan penularan wabak selesema babi secara global ini ialah peringatan dari Tuhan Rabbul-Alamin. Manusia sudah sampai ke kemuncak kezaliman, kemungkaran dan kemaksiatan. Penzina dan pelaku maksiat disanjung tinggi. Mereka bahkan diangkat sebagai duta hak asasi manusia dan duta perlindungan flora-fauna sedunia. Orang-orang alim dan warak pula dicemuh, dinista dan diancam keselamatan mereka. Pengganas sebenar menggelar pejuang suci sebagai pengganas yang perlu diburu hingga ke lubang cacing!
Kita boleh sahaja berbahas, berdebat dan berforum hingga ke dini hari. Namun, pada akhirnya kesimpulannya akan sama, iaitu wabak selesema babi sudah berlegar di sekeliling kita mengintai mangsa yang cuai dan lemah. Virus H1N1 tidak mengira orang jahat, orang baik, bangsawan atau si miskin. Sesiapa jua berpotensi untuk dijangkiti.
Marilah kita bersama-sama berikhtiar melawan ancaman pandemik selesema babi. Jangan sesekali kita mengalah dan menyerah begitu sahaja. Di samping akur akan nasihat profesional perubatan, senjata ampuh yang masih ada pada kita ialah doa. Pada detik-detik getir yang melibatkan nyawa dan kehidupan kita, kepada Allah jua kita bermunajat agar Malaysia segera bebas dari bala selesema babi. Amin...

Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment